Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

31 Ogos 2009

Ribut kepala gajah


Oleh Mohd Azis Ngah


Kedudukan batu secara menegak di air jeram berbentuk kepala gajah, manakala lubang pada batu seakan mata gajah.

Ribut dan hujan tiba-tiba saja datang dan pokok di jeram Batu Gajah bergerak ke kiri dan kanan seolah-olah mahu tumbang

"ALANG dah sampai sini, kita mesti jenguk Jeram Batu Gajah. Tempatnya menarik tetapi sekarang orang sudah tak ke sana, semak dan tidak terjaga.

“Dulu ketika zaman persekolahan, saya selalu lepak di situ dengan kawan, orang kata itu tempat tuan puteri mandi. Rambut panjang mengurai, duduk atas jeram, rambut sampai ke jeram paling bawah,” kata teman penulis, Enal, penduduk asal di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan.


Berderau darah penulis apabila Enal mengatakan ia tempat mandi tuan puteri. Tetapi perasan takut diketepikan kerana niat kami cuma datang untuk melihat sendiri keunikan batu berbentuk gajah, merakam gambar untuk berkongsi pengalaman dengan pembaca.

Ketika tiba di situ, waktu sudah menunjukkan jam 5 petang. Kami dibawa ke sebuah rumah seorang penduduk di situ untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai cerita lisan bagaimana batu kepala gajah itu terbentuk.

Ada yang mengatakan ia disumpah mitos Sang Kelembai, tetapi setakat mana kebenarannya mungkin boleh diselidiki melalui temubual dengan beberapa ‘orang lama’ di situ. Malangnya, seorang lelaki warga emas yang ditemui itu tidak mempunyai maklumat yang diinginkan.

Kami diminta ke sebuah rumah lain, katanya di situ masih ada seorang tua yang tahu latar belakang cerita berkenaan. Namun, bukan rezeki kami, orang tua itu tidak berapa sihat dan kami tidak mahu mengganggunya.

Akhirnya, keputusan sepakat dicapai, kami bertiga bergerak sendiri ke kawasan berkenaan. Alasannya, merakam seberapa banyak gambar dan kemudian dapatkan maklumat.

Kami menuju ke sebuah rumah di hujung kampung, paling hampir dengan kawasan jeram. Selepas memberi salam, seorang lelaki pertengahan umur muncul dan difahamkan beliau seorang guru. Dengan izinnya kami dibenarkan melintasi pagar di belakang rumahnya.

Pada mulanya, cikgu berkenaan menuruti perjalanan kami tetapi selepas beberapa langkah, beliau membatalkan niat dengan alasan masih ada kerja lain perlu dilakukan.

Itu bukan masalah, kami teruskan perjalanan dan selepas hampir 20 minit berjalan kaki meredah semak dan kawasan hutan, kami tiba ke destinasi.

Memang menarik dapat melihat sendiri batu berbentuk kepala gajah itu. Rakan setugas sibuk merakam gambar. Terlintas di fikiran penulis, mungkin gambar itu lebih menarik jika diselitkan individu berada di atas kepala gajah itu.

Sudah tentu, penulis yang perlu ke sana. Dengan langkah berhati-hati, penulis menuruni batu curam menuju ke batu gajah dengan tujuan untuk duduk dan menunjukkan lokasi kedudukan kepala gajah.

Batu berbentuk kepala gajah itu dianggarkan sebesar kepala trak lori, lengkap dengan mata, telinga, mulut dan belalai. Air terjun mengalir di antara belalainya.

Menariknya, kepala gajah dewasa itu tanpa gading, mungkin terbenam dalam batu atau belum terbentuk, tetapi penduduk tempatan percaya ia ada kaitan dengan satu lagi jeram tidak jauh dari situ yang dinamakan Jeram Gading.

Namun, di Jeram Gading, pengunjung tidak akan menemui batu berbentuk seakanakan gading dan tidak pasti bagaimana ia mendapat nama. Mungkin ia sudah terhapus atau kedudukannya gagal dikesan oleh mata kasar.

Kedudukan batu kepala gajah itu boleh dilihat dari dua sisi. Jika dilihat dari sisi kiri, kelihatan seolah-olah kepala gajah sedang terbaring dengan matanya terbuka.

Air terjun di jeram kecil itu mengalir melalui belalai dan mulutnya, tetapi jika dilihat dari sisi kanan, batu itu kelihatan seperti kepala seekor gajah yang berdiri, seolah-olah marah dengan telinganya agak kembang dan belalainya hampir menegak.

Walaupun dilihat dari dua sisi kiri dan kanan, kedudukan mata tidak berubah dan tetap sepadan. Mata gajah sebesar pinggan itu dikatakan sentiasa dipenuhi air dan tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau.

Penulis mencecahkan tangan ke dalam lubang ‘mata gajah’, dengan niat untuk aksi merakam gambar. Dibuang sampah daun di dalamnya dan kemudian naik semula ke tempat asal. Rakan setugas mencadangkan supaya penulis turun semula ke situ untuk mendapatkan sudut gambar lebih menarik.

Ketika turun kali kedua, penulis sekali lagi mencecahkan tangan ke dalam ‘mata gajah’, tiba-tiba air terpercik ke mata, sangat pedih. Terdetik di hati mungkin air jeram terpercik ke mata, namun air terus memercik ke mata buat kali kedua dan ketiga.

Dari mana datangnya air itu sukar dipastikan, cuaca cukup cerah, langsung tiada tanda hari mahu hujan. Penulis pantas naik semula ke tebing.

Secara tiba-tiba cuaca bertukar gelap, angin kencang melanda kawasan itu seolah-olah hujan ribut akan turun. “Jom kita balik. ‘Mereka’ suruh kita balik,” kata rakan setugas.

Belum sempat kami beredar walaupun setapak langkah, hujan begitu lebat, angin kencang dan pokok bergerak ke kiri dan kanan seolah-olah akan tumbang. Kami bertiga pantas turun ke kawasan rendah dalam keadaan basah kuyup.

Ketika turun dalam keadaan kelam kabut itu, kami ternampak satu pokok yang mempunyai paku pakis yang tersusun kemas di antara tiga dahan, ada yang menggelarnya pakis langsuir. Terdetik di hati, adakah ini tempat ‘tuan puteri’ seperti yang dikatakan Enal sebelum kami masuk ke situ.