Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

31 Ogos 2009

Yayasan Pintar bantu pelajar miskin



YAYASAN Pintar kini berjaya menjalankan peranan meningkatkan perkembangan pelajar yang kurang berkemampuan menerusi program sekolah angkat yang dilaksanakannya di seluruh negara.

Di bawah program yang diterajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dibuat berasaskan pendekatan sekolah angkat khusus kepada sekolah mundur di pedalaman supaya prestasi meningkat.

Dengan menjadikan sekolah angkat, syarikat akan membiayai pelbagai aktiviti seperti program motivasi, kem musim panas, kelas pemulihan untuk Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris, program yang membabitkan keibubapaan dan masyarakat.


Program ini dibangunkan bagi merangsang pencapaian pelajar dan membuka minda mereka bagi mendapatkan potensi mereka yang sebenar.

Pengarah Yayasan Pintar, Shahnaz Al-Sadat, berkata yayasan memainkan peranan dengan menyuai padan sekolah dengan GLC dan mengadakan kerja projek.

Katanya, kini ada 165 sekolah angkat oleh 22 GLC dan dua badan korporat sejak projek perintis dimulakan di Pulau Pinang pada Disember 2006.

Sejak itu, lebih 64,000 pelajar mendapat faedah daripada 300 program aktiviti yang dilaksanakan di beberapa sekolah yang terpilih.

"Objektif kami ialah untuk mengembangkan program angkat ini ke semua 480 sekolah menjelang 2013 dan ini membolehkan lebih ramai murid mencapai kecemerlangan mereka," katanya.

Beliau berkata, konsep 'Korporat Malaysia' digunakan untuk mengangkat kanak-kanak dan masyarakat yang kurang bernasib baik ini dalam tempoh jangka panjang menerusi program berterusan.

Shahnaz berkata, program perintis di Pulau Pinang menunjukkan keputusan yang positif dengan pelajar kini semakin mahir mengendalikan laman web mereka sendiri selepas mengikuti program Pintar.

Dalam pada itu, keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang lalu juga pencapaian murid-murid dari sekolah angkat juga menunjukkan pencapaian yang baik iaitu di atas purata kebangsaan iaitu sebanyak 9.5 peratus berbanding 9.2 peratus.

Semua aktiviti di sekolah berkenaan disusun dan disesuaikan mengikut keperluan pelajar dengan tujuan utama ialah merapatkan jurang perbezaan dan meningkatkan prestasi mereka secara keseluruhan.

Objektif Pintar ialah untuk menyokong perkembangan kanak-kanak dalam cara yang lebih holistik. Contohnya, kebanyakan murid di sekolah pedalaman bermasalah untuk menguasai bahasa Inggeris sementara rakan mereka di bandar bergelumang dengan masalah sosial.

"Sekolah di bandar, cabarannya berbeza. Kami dapati isu sosial adalah satu daripada masalah yang dikenal pasti. Ada juga sekolah bandar yang tidak menunjukkan pencapaian baik," kata Shahnaz.

Adalah malang apabila melihat pelajar sekolah di pedalaman tidak tahu mengapa mereka terpaksa belajar bahasa Inggeris di sekolah. Sebagai penerangan, pelbagai program disediakan untuk mereka termasuk mengadakan kelas khas kepada pelajar dan dalam beberapa keadaan ibu bapa juga dipanggil sama untuk memberi pemahaman mengenai kepentingan pendidikan dan mempelajari bahasa itu.

Rakan mereka di sekolah bandar pula didedahkan dengan seminar yang dikendalikan pakar dan polis bagi menerangkan bahaya penyalahgunaan dadah dan gejala sosial.

Program lain yang turut diadakan di sekolah angkat ini ialah kem motivasi kepada pelajar dan guru, keibubapaan dan program yang membabitkan masyarakat, kelas tuisyen, lawatan pendidikan, program pendidikan akhbar, perbincangan kesihatan kepada ibu bapa dan guru serta pertandingan menulis karangan.

Shahnaz berkata, setiap syarikat yang menyertai program ini membelanjakan antara RM15,000 hingga RM30,000 bagi setiap sekolah setahun bagi melaksanakan aktiviti selama tiga penggal.

Rekod menunjukkan, ada pertumbuhan stabil dari segi jumlah syarikat yang mengambil bahagian dalam program Pintar ini sejak ia dimulakan dulu.

"Yang lebih penting ialah usaha dan pembabitan syarikat. Kakitangan mereka terbabit dalam program ini sebagai sukarelawan. Ada lebih 3,000 sukarelawan terbabit dengan 300 program hingga kini," katanya.

Bagi memastikan hanya sekolah yang memerlukan terpilih, yayasan membuat saringan sebelum membuat pilihan menjadikan mereka sekolah angkat.

Yayasan juga memerhati perkembangan program di sekolah bagi memastikan syarikat peserta mengikuti perancangan yang dibuat. Selepas tiga tahun, syarikat peserta akan mengakses pencapaian semua sekolah angkat dan mereka akan membuat keputusan sama ada mahu meneruskan sokongan ke sekolah itu atau tidak.

"Syarikat boleh memilih untuk membiayai sekolah lain sekiranya mereka sudah berasa puas hati dengan sekolah yang pertama. Sekolah ini akan digraduasikan daripada Pintar dan dimasukkan ke dalam program alumni.

"Wawasan kami ialah melihat mereka menjadi mentor kepada sekolah lain. Kami juga dalam proses membangunkan program alumni kerana kitaran pertama sekolah angkat pertama akan tamat tahun ini. Syarikat akan memilih sekolah angkat yang lain pula selepas itu," tambah Shahnaz.