SEJAK dianugerahkan status pulau bebas cukai, Langkawi melonjak menjadi destinasi percutian antarabangsa yang terkemuka.
Ada yang datang sekadar mahu mencari rokok dan pinggan mangkuk murah, tak kurang juga mahu bersantai menghayati keindahan alam semula jadinya.
Pulau ini sekali lagi mencuri tumpuan apabila menerima status Geopark yang dikurnia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), beberapa tahun lalu.
Pemandangan indah 99 pulau yang membentuk gugusan Langkawi akan dapat disaksikan jika singgah di Oriental Village apabila mahu menaiki kereta kabel ke puncak Gunung Machincang.
Perjalanan ke puncak akan melewati air terjun Telaga Tujuh dan pemandangan indah Laut Andaman.
Namun, kebanyakan pelancong lebih bertumpu ke Pantai Chenang untuk rekreasi air, hiburan malam atau sekadar bersantai di persisiran pantai.
Terlanjur ke sini, singgah ke Underwater World untuk melihat lebih 5,000 jenis ikan dan lebih 500 spesies haiwan termasuk anjing laut dan singa laut.
Pantai Chenang turut terkenal dengan deretan restoran makanan laut dan kompleks beli-belah bebas cukai. Tidak jauh dari kawasan pantai, anda akan menemui Laman Padi yang menjadi destinasi mempelajari teknik penanaman padi dari zaman tradisional hingga ke zaman moden.
Namun, jika mahu beli-belah sakan, anda boleh menyusuri Pekan Kuah untuk mendapatkan pelbagai barangan dari pinggan mangkuk, rokok, coklat sehingga produk makanan laut.
Jeti Kuah turut menawarkan pelbagai produk, namun agak mahal jika dibandingkan dengan kawasan pekan.
Pantai Tengah, Pantai Kok, Pantai Pasir Tengkorak, Teluk Datai dan Tanjung Rhu menyediakan pilihan alternatif kerana kurang dikunjungi.
Justeru, anda tidak perlu bersesak-sesak dengan pelancong asing, malah pemandangannya lebih menarik berbanding di pantai Chenang.
Tidak lengkap kunjungan ke Langkawi jika tidak menyusuri hutan paya laut di Kilim sambil menjenguk ladang ternakan ikan sangkar dan mencuba aktiviti memberi makan helang. Pakej khas turut membawa pengunjung ke Pulau Dayang Bunting yang terkenal dengan mitosnya.
Sebaik pulang ke jeti Kilim, jangan lupa singgah ke Galeria Perdana yang menempatkan pelbagai bentuk cenderahati dan anugerah diterima mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Teluk Datai pula menempatkan tarikan ladang buaya dengan lebih 1,000 hidupan itu termasuk spesies yang sukar ditemui. Selain mempelajari kitaran hidup buaya, pengunjung juga dapat menyaksikan pekerja memberi hidupan makan dan aksi ganasnya dalam persembahan.
TARIKAN LAIN
>Dataran Lang berhampiran dengan pekan Kuah menempatkan replika helang setinggi 12 meter sebagai mercu tanda yang dibina khusus untuk memperingati asal nama Langkawi.
>Kota Mahsuri terletak 12 kilometer dari pekan Kuah menempatkan sejarah Mahsuri, muzium dan makam legenda tersohor itu.
>Taman Laut Pulau Payar menjadi lokasi terbaik untuk aktiviti snorkling kerana kaya dengan khazanah dasar lautnya.