Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

17 Januari 2010

Palestin dan legasi Anwar Sadat


BEKAS Presiden Mesir, Anwar Sadat telah dibunuh oleh pelampau Islam pada 1981. Tetapi sebelum itu Anwar Sadat telah meninggal satu legasi yang sehingga kini memberi kesan buruk kepada jirannya, Palestin.

Apa yang berlaku atas Palestin sebahagiannya adalah "sumbangan" Anwar Sadat yang menggadai Palestin untuk mendapat gelaran penerima Hadiah Nobel Keamanan 1978. Palestin telah memberikan sumbangan besar kepada Anwar Sadat untuk dikenang dunia sebagai pejuang keamanan.

Tetapi di sebalik prestij Hadiah Nobel Keamanan yang diterima bersama Perdana Menteri Israel, Menachem Begin, Anwar Sadat meninggalkan lara kepada Palestin apabila memilih bersahabat dengan Israel. Inilah juga hasil manipulasi Camp David yang mengusahakan perjanjian damai antara negara-negara Arab dengan Israel.

Perjanjian damai antara negara -negara Arab dengan Israel diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS) menerusi bekas Presiden Jimmy Carter. Tetapi semua negara Arab lain menolak pelan damai dengan Israel kecuali Mesir. Anwar Sadat telah menandatangani perjanjian damai di bawah pelan Camp David dengan Menachem Begin pada 26 Mac 1979.

Selepas perjanjian damai itu Anwar Sadat dipulaukan oleh negara-negara Arab kerana liberalisasi melampau yang memperjudikan nasib rakyat Palestin di tangan Israel. Ada teori konspirasi menyebut pembunuhan Anwar Sadat itu disebabkan oleh tindak tanduk beliau yang tunduk kepada AS hingga menandatangani perjanjian damai dengan musuh negara-negara Arab itu.

Dunia mengingati Anwar Sadat sebagai pejuang keamanan hanya kerana perjanjian damai dengan Israel dan menindas Palestin. Sebagai balasan, dia dipilih menerima Anugerah Nobel Keamanan. Keamanan apa yang dirintis oleh Anwar Sadat? Keamanan Israel atau Palestin?

Mesir sejak era Anwar Sadat memang memusuhi Palestin. Pelbagai alasan diberikan terutama tidak mengiktiraf pejuang-pejuang Hamas di Palestin sekalipun pada masa yang sama Israel terus membedil Palestin. Mesir terikat dengan perjanjian damai Camp David disebabkan kepentingan Anwar Sadat sendiri. Bayangkan dalam kelompok negara Arab, hanya Mesir yang menjalin hubungan baik dengan Israel, hubungan jahat dengan Palestin. Malah menjadi negara Arab pertama yang menandatangani perjanjian damai dengan Israel.

Imbuhan

Perjanjian damai itu sebagai satu kejayaan AS untuk menamatkan perang Arab - Israel sejak 1948. Hasil bagi Mesir ketika itu ialah bala tentera Israel dikeluarkan dari Semenanjung Sinai yang ditawan Israel dalam Perang Enam Hari pada 1967. Perjanjian itu juga memberikan imbuhan yang lebih besar kepada Israel apabila mereka boleh menggunakan Terusan Suez sementara Selat Tiran dan Teluk Aqaba sebagai perairan antarabangsa.

Anwar Sadat sebenarnya telah mengkhianati dunia Arab yang lain apabila mengalih pendekatan diplomatiknya menjalinkan hubungan dengan AS. Maka tidak hairanlah di sebalik kecaman pemimpin-pemimpin negara Arab, Anwar Sadat juga dianugerahkan Anugerah Putera Keamanan oleh AS.

Mesir sebenarnya sangat penting kepada Palestin kerana inilah satu-satunya negara yang menjadi jiran darat Palestin selain Israel. Apabila Mesir menjadi musuh, Palestin bertukar menjadi penjara terbuka yang terputus daripada dunia luar. Israel mendapat kekuatan daripada sokongan secara tidak langsung Mesir misalnya menutup pintu di sempadan kepada konvoi bantuan kemanusiaan semasa Palestin teruk dilanyak Israel setahun lalu.

Bayangkan sumbangan kemanusiaan berupa makanan, pakaian dan ubat-ubatan tersadai di sempadan Mesir - Palestin. Berpuluh juta ringgit makanan rosak akibat luput tarikh guna, sedangkan rakyat Palestin menderita kehabisan makanan. Inilah penganiayaan yang diwariskan oleh Anwar Sadat hingga era Presiden Hosni Mubarak sekarang ini kepada Palestin.

Mesir lebih setia membuta tuli kepada perjanjian damai Camp David daripada mengambil tindakan kemanusiaan terhadap jiran yang sejak 1948 ditindas oleh Israel. AS memainkan peranan dengan cukup licin menerusi Camp David dan hingga kini Mesir dikatakan menjadi boneka terhormat AS.

Penentangan Mesir terhadap Palestin bukanlah kerana pejuang Hamas. Itu tidak lebih alasan manis untuk melaksanakan terma perjanjian damai dengan Israel supaya tidak menyebelahi Palestin. Mesir bawah rejim Hosni Mubarak konsisten melaksanakan terma dengan Israel dan menindas Palestin.

Tersadai

Maka apabila konvoi keamanan Viva Palestina dari London tersadai di sempadan Mesir, sebenarnya ini bukanlah suatu yang luar biasa dalam konteks hubungan baik Mesir dengan Israel. Banyak yang menganggap ini suatu yang sangat pelik kerana konvoi itu bukan membawa bantuan senjata tetapi makanan dan ubat-ubatan kepada rakyat Palestin.

Tindakan ini dilihat dunia sebagai paling tidak berperikemanusiaan. Masyarakat dunia yang menjunjung kemanusiaan tanpa mengira kaum dan agama mengecam Mesir. Konvoi yang diketuai oleh George Galloway bertolak dari London pada 6 Disember lalu disertai oleh lebih 1,400 aktivis dari 43 negara. Ini misi keamanan dan kemanusiaan. Secara teorinya perjalanan mereka lancar dan bantuan dapat disampaikan dengan teratur kepada mangsa kekejaman Israel di Palestin.

Walaupun akhirnya Mesir membenarkan sebahagian kenderaan konvoi memasuki Mesir ke sempadan Palestin, tetapi tindakan ganas pihak berkuasa Mesir hingga mencederakan anggota konvoi memperlihatkan sikap sebenar Mesir dalam isu Palestin. Walaupun bantuan itu akan disalurkan secara langsung kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Palestin tetapi Mesir menganggap ini akan digunakan oleh pejuang Hamas.

kerjasama

Tanpa melihat sejarah khususnya tindakan membabi buta Anwar Sadat pada 1978, keengganan Mesir berkerjasama membantu Palestin adalah tidak masuk akal sama sekali. Tetapi sejarah menunjukkan sikap Mesir yang menindas Palestin sejak dulu lagi.

Selain menyukarkan konvoi kemanusiaan Viva Palestina, Mesir juga mengambil satu lagi tindakan di luar paras kemanusiaan apabila menanam cerucuk di sepanjang sempadan dengan Palestin. Ini bertujuan menghalang terowong yang menjadi satu-satunya laluan rakyat Palestin ke dunia luar. Menutup terowong dan menutup pintu sempadan adalah sama dengan mengikat kaki dan tangan serta menutup mata rakyat Palestin.

Bayangkan kerja ini dilakukan oleh pemimpin sebuah negara Islam yang dimuliakan oleh AS dan Israel. Barangkali inilah tatacara untuk menjadi sebuah negara maju, liberal dan bertamadun ketika ini.

Semoga kita juga mengambil tindakan "betul" kerana bersikap berkecuali (bukan menentang) dalam isu nuklear Iran walaupun kita tahu itu agenda AS untuk menawan Iran. Tahniah.