Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Perancangan teliti pastikan majlis dianjurkan berjalan lancar seperti diharapkan
MINGGU lalu kolum ini membincangkan mengenai persiapan perkahwinan dalam taman. Indah majlis menjadi sebutan dan kenangan, tidak bererti ia hanya satu pembaziran. Bijak belanjawannya, pasti anda dan pasangan tidak pening kepala, sebaliknya masih mampu tersenyum kala usai majlis.
Perunding majlis perkahwinan sambilan, Zainal Ishak, berkata hari ini ada kecenderungan menjayakan majlis perkahwinan di kawasan tanah tinggi. Masih lagi berada dalam kategori dalam taman, bagi masyarakat Melayu khusus perkara ini sesuatu yang baru.
Katanya, mungkin tidak ramai yang terfikir mengenai majlis ini kerana terang-terangan ia mengundang kehadiran tetamu dalam jumlah yang kecil. Bagaimanapun tidak salah mencuba untuk tampil satu kelainan.
“Kawasan tanah tinggi yang menjadi pilihan seperti Cameron Highlands dan Bukit Bendera contohnya menyediakan pemandangan damai dan menakjubkan. Begitu juga di puncak Bukit Bendera, Pulau Pinang bukan saja hawanya tidak terlalu panas, tetapi menaiki kereta kabel yang wujud sejak zaman penjajah dulu, bukankah menyeronokkan?
“Pasangan yang inginkan lokasi yang jauh daripada hiruk pikuk kota mungkin memilih lokasi ini. Di sebabkan lokasi yang terhad, pasangan tidak perlu risau mengenai susun atur majlis kerana ia boleh dilakukan secara perkelahan. Bentangkan saja tikar atau kain dan sediakan hidangan untuk dinikmati tetamu,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai majlis perkahwinan pasangan hari ini yang gemarkan sesuatu yang berbeza seperti tanah tinggi, laut dan suasana tepi sawah.
Bagaimanapun, katanya, kita perlu akur, sungguhpun majlis sebegitu tampak sempurna dan menyeronokkan, beberapa perkara perlu pasangan tahu mengenai perkahwinan di kawasan tanah tinggi ialah anda perlu pastikan keadaan cuacanya, seperti andai hujan, adakah keadaan tanah atau rumput terlalu basah? Sekiranya keadaan ini berlaku, anda perlu mempunyai pelan B terutama membabitkan perubahan lokasi.
“Jumlah tetamu paling mustahak. Sekiranya ada tetamu yang perlukan penginapan, anda perlu menempah terlebih dulu kerana sekiranya terlalu jauh dikhuatiri mereka tidak boleh hadir pada masa yang ditetapkan. Ada baiknya juga sekiranya anda sebagai tuan rumah, menyediakan kenderaan seperti bas supaya mereka dapat datang pada masa yang ditetapkan dan secara serentak,” katanya.
Sementara itu, katanya, perkahwinan tepi pantai yang ditemani hembusan bayu dan teriak ombak memecah pantai antara yang digemari berbanding tanah tinggi kerana ia tidak mengundang masalah terlalu besar seperti sekiranya rumput basah dan adakah tetamu selesa dengan pilihan anda itu.
“Pasangan hari ini amat bernasib baik kerana impian perkahwinan tepi pantai banyak disediakan hotel dan resort. Malah mereka turut menyediakan lokasi sesuai yang akan memudahkan kerja perkahwinan anda. Tetamu juga dikatakan lebih seronok menghadiri majlis sebegini kerana laut antara tarikan percutian mereka juga. Dengan kata lain sekiranya selesai menghadiri majlis anda, mereka dan keluarga boleh mandi di laut, dan sebagainya.
“Kebaikan nyata perkahwinan tepi laut ialah bila anda dan pasangan berpeluang menyaksikan keindahan mentari terbenam dalam suasana paling romantis,” katanya.
Mengulas mengenai perkahwinan yang dilakukan di luar negara atau budaya yang berbeza seperti segelintir pelancong yang berminat berkahwin mengikut budaya orang Melayu atau India, Zainal berkata, ia banyak dilakukan oleh orang Inggeris yang selalunya perkahwinan mereka berjalan dalam suasana ringkas berbanding kaum lain.
“Mungkin mereka merasakan perkahwinan perlu dilakukan dalam suasa yang cukup meriah dan banyak upacara seperti merenjis bunga mawar, bersanding dan sebagainya. Dalam acara sebegini, pasangan perlu mengambil khidmat jururunding. Ini kerana mungkin majlis perkahwinan itu mempunyai pantang larang tertentu yang kita tidak tahu.
“Sekiranya ada, kita perlu hebahkan kepada tetamu kerana kadangkala pantang larang atau kepercayaan seperti pemberian wang atau tol sebelum masuk ke bilik pengantin dalam perkahwinan Melayu, itulah yang menyeronokkan,” katanya.
INFO
majlis perkahwinan tanah tinggi
Majlis perkahwinan tepi pantai
Majlis perkahwinan budaya