Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

30 Disember 2007

Tidak cantikkah wajah Melayu tulen?

Oleh: WANDA IDRIS

JIKALAU menonton drama-drama Indonesia atau lebih dikenali dengan nama sinetron hari ini, tidak dinafikan begitu ramai wajah-wajah indah pria dan gadisnya. Semakin jarang pula dapat melihat wajah-wajah aslinya kecuali kepada mereka yang memegang watak-watak sampingan umpamanya orang gaji atau sebagai tukang kebun.

Hero dan heroin dalam kebanyakan sinetron yang disiarkan adalah terdiri daripada wajah-wajah kacukan yang pastinya kacak, cantik lagi bergaya. Nama-nama seperti Tamara Bleszynski, Cinta Laura Kiehl, Nicholas Saputra dan Laudya Cynthia Bella umpamanya bukan sahaja menghiasi kebanyakan layar. Malah mereka juga gah sebagai model dan jurucakap produk kecantikan bertaraf antarabangsa.

Ke mana perginya wajah-wajah tulen Indonesia seperti Widyawati atau Rima Melati yang gah pada tahun-tahun 70-an? Tidak dinafikan ramai menganggap wajah pan-Asian satu kelebihan untuk menempatkan diri dalam bidang seni. Sementelah wajah-wajah mereka tidak sahaja cantik tetapi juga unik.

Tidak terkecuali di negara ini. Bukan tidak ada wajah pan-Asian yang hadir ke persada seni tanah air suatu ketika dahulu malah mereka punya pengaruh besar dalam industri.

Lihat sahaja kejayaan nama-nama seperti Sofia Jane, Julia Rais, Deanna Yusuf mahupun Ramona Rahman. Mereka hadir dengan pakej - bakat dan kecantikan.

Hari ini beberapa nama menarik perhatian masyarakat khususnya penggemar drama dan filem tempatan. Angkatan muda generasi pan- Asian yang terjun ke dunia lakonan tempatan termasuklah Maya Karin, Nora Danish, Natasha Hudson, Diana Danielle, Ahsraff Sinclair dan Catriona Ross.

Nyata mereka berjaya mencipta nama apabila drama-drama lakonan mereka mendapat sambutan dan pujian penonton. Lihat sahaja drama bersiri Puteri lakonan Nora Danish yang diminati tidak sahaja golongan muda tetapi juga dewasa.

Malah Catriona Ross pernah menjulang namanya menerusi drama Sephia yang popular suatu ketika dahulu di TV3. Begitu juga dengan penampilan Diana Danielle dalam drama-drama Sembilu, Janji Diana dan Airmata Maria yang kini semakin mendapat perhatian penonton.

Namun tidak dinafikan ada juga yang hadir dengan lakonan ‘kayu’, tidak berkesan dengan sebutan bahasa Melayu yang janggal bunyinya.

Bagi Diana Danielle, tidak kira apa juga wajahnya, untuk terjun ke dalam industri perlulah seiring dengan bakat.

“Dan hari ini semakin ramai penerbit dan pengarah yang memberi peluang kepada anak-anak pan- Asian menunjukkan bakat mereka,” katanya. Namun bagi anak kacukan Melayu-Amerika ini, memiliki wajah pan Asian sepertinya menyekat peluang melakonkan pelbagai watak.

“Bukan tidak boleh berlakon tapi adakalanya tidak sesuai untuk menjadi gadis kampung berbeza dengan mereka berwajah Melayu yang boleh membawakan apa jua watak sedangkan pan-Asian agak stereotaip ,” katanya yang mengakui kehadiran artis berwajah pan Asian dapat menyerikan lagi industri.

Sememangnya melihat kemunculan golongan berdarah kacukan ini yang semakin hari semakin ramai ini tidak mustahil satu hari nanti industri kita juga mengalami senario yang sama dengan Indonesia.

Namun persoalannya apakah wajah Melayu tulen sudah tidak cantik lagi di mata para penggemar dan pembuat drama? Atau apakah nilai komersil wajah pan-Asian ini lebih tinggi berbanding wajah Melayu jati?

Sudah tidak boleh jualkah wajah tulen Melayu, India dan Cina di negara kita? Kita punya wajah Melayu yang berbakat besar dalam dunia lakonan. Umie Aida, Vanidah Imran, Haliza Misbun dan Erra Fazira adalah sebahagian daripadanya.

Mereka pernah mengungguli layar televisyen dan layar perak namun tanpa tidak mustahil suatu hari nanti wajah-wajah seperti mereka tidak lagi menjadi taruhan malah mungkin semakin kurang menghiasi layar sebagai pemegang watak utama.

Nasib wajah tulen baik Melayu, India dan Cina mungkin akan terpinggir atau hanya diberi watak sampingan. Sekarang ini pun, di Malaysia semakin banyak menonjolkan wajah-wajah kacukan dan Inggeris tulen sebagai pelaris untuk dunia pengiklanan.

Bukan tidak ada wajah tulen Melayu yang dipilih malah Fasha Sandha antara artis bertuah menjadi pilihan banyak jenama untuk menjadi duta bertaraf antarabangsa.

Tetapi persoalannya berapa kerat wajah Melayu yang diserlahkan dalam dunia pengiklanan itu sendiri hari ini dan pada masa hadapan?

Dalam dunia lakonan pula, cukupkah kita sekadar mengukur wajah yang cantik tanpa menghiraukan bakat yang ada? Kerana rasanya semakin ramai khalayak yang sudah bijak menilai bakat.

“Kita umpama kebanjiran artis,” demikian kata pelakon Haliza Misbun ketika ditanya mengenai senario ini. Kebanyakan kemunculan mereka kata Haliza, sekadar memeriahkan bukan benar-benar kerana menyintai seni.

“Seni ini satu perjuangan. Jatuh bangun orang seni adalah kerana seninya. Tapi ada kalangan mereka yang hadir dalam industri sekadar dua tiga tahun. Kemudian menghilang. Ada yang kahwin selepas bertemu jodoh dengan golongan berada. Itu jiwa seni yang tak sejati,” ujar Haliza.

Bagaimanapun tegasnya, dia tidak pernah mempersoalkan kredibiliti artis-artis pan-Asian dahulu seperti Sofia Jane, Ramona Rahman dan Julia Rais kerana bagi aktres ini, mereka memang berbakat besar dalam lakonan.

“Malah sehingga kini saya mengagumi Julia Rais,” akuinya. Namun ketaksuban industri itu sendiri terhadap wajah-wajah kacukan sebenarnya menyumbang kepada kebanjiran artis berwajah pan-Asian.

“Tapi kalau orang menghargai muka Melayu maka orang berwajah Melayu juga boleh berjaya. Lihatlah wajah-wajah asli seperti Erra dan Camelia,” katanya. Tanpa memperlecehkan bakat dan pakej yang ada pada seorang pan-Asian namun harapan Haliza, pihak di belakang tabir seperti pengarah dan penerbit haruslah adil memberi peluang sama rata tidak kira kepada orang melayu, Cina, India mahupun pan-Asian.

Malah seeloknya janganlah sampai ada larangan atau peraturan yang menyekat ‘periuk nasi’ mereka berwajah pan-Asian seperti yang pernah berlaku ketika suatu ketika dulu.

Namun jika benar satu hari nanti senario kebanjiran wajah pan-Asian berlaku sehingga mengabaikan pemilih wajah Melayu tulen dan menidakkan bakat dan kecantikan asli yang dimiliki, pasti sahaja kita perlu menilai semula kewajarannya.