Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

01 Januari 2008

Jadikan membaca gaya hidup


Oleh MOHD. ARIF ATAN

REALITINYA pada masa ini kita masih bergelut dengan kelembapan budaya membaca di kalangan rakyat negara ini. Kajian oleh pensyarah Jabatan Media, Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan Hasbullah mendapati amalan membaca buku tambahan di kalangan pelajar universiti serta pensyarah di negara ini begitu rendah. Didedahkan bahawa pelajar hanya membaca empat buah buku setahun dan membeli jumlah buku yang sama untuk sepanjang tempoh tiga tahun pengajian mereka.

Bagi pensyarah pula, tentulah tidak berbaloi dengan kedudukan mereka sebagai golongan ilmuwan yang stabil pula kewangannya apabila masih membaca secara purata 20 buah buku untuk tempoh yang sama. Bagaimana pula dengan tahap pembacaan ratusan ribu guru di seluruh tanah air kini? Tentunya tidak jauh beza.

Walhal, jumlah buku yang dibaca dan dimiliki mencerminkan daya intelek seseorang warga akademik.

Jika masih sangsi pada data kuantitatif lihatlah sekeliling kita. Kebanyakan ibu bapa tidak terkecuali dari latar profesional masih berat hati dan merasakan tidak punya cukup wang untuk membelikan anak-anak mereka majalah kanak-kanak seperti Dewan Pelajar dan Kuntum, buku cerita, novel remaja atau ensiklopedia.

Mereka hanya terpanggil memenuhi tanggungjawab ‘memberikan’ anak-anak ilmu ketika hampir sesi persekolahan dibuka semula. Buku latihan, buku teks dan koleksi set kertas model peperiksaan sudah dianggap mencukupi sebagai alat untuk menjadikan anak-anak mereka berilmu. Hairannya, mereka mampu pula membeli permainan komputer mahal, pakaian berjenama serta kerap menjamu selera anak masing-masing di restoran segera.

Bukan sahaja persoalan wang dijadikan alasan bahkan faktor masa juga diheret sebagai helah untuk tidak membaca apatah lagi membeli buku. Tidak hairanlah diperhatikan ramai antara kita tidak terpanggil untuk singgah di mana-mana toko buku mega yang terletak di dalam pusat beli-belah yang hampir saban minggu dikunjungi.

Di pusat beli-belah misalnya, tidak ramai individu atau keluarga Melayu singgah untuk ‘bersantai’ di gedung buku yang menawarkan bahan bacaan yang boleh sahaja dibaca secara percuma.

Namun, lantaran membaca bukan suatu gaya hidup maka gerai peniaga India yang menjual akhbar dan majalah pun hanya didatangi untuk membeli kad prabayar, rokok atau paling tidak sekadar membelek-belek komik atau majalah.

Mengunjungi perpustakaan awam jauh sekali. Ada yang tinggal di sekitar Lembah Klang masih belum pernah bertamu di Perpustakaan Negara.

Jika di negara luar kewujudan kedai buku terpakai merupakan suatu pemandangan biasa tetapi di sini kedai pakaian terpakai yang lebih mendapat perhatian terutama daripada anak-anak muda. Anehnya, di Jakarta pun begitu mudah ditemui kedai buku lama atau buku terpakai yang dipanggil buku ‘angka’ dan ‘bekas’ sedangkan di Kuala Lumpur masih ‘mundur’ pertumbuhan kedai seumpama itu.

Akibat malas membaca kebanyakan daripada kita begitu sukar berhujah dan memberi pandangan tentang isu-isu semasa yang berkaitan dengan sosiopolitik, ekonomi dan budaya di dalam mahupun luar negara.

Sering kali juga pendapat dan perbincangan kita cetek dan berbaur sentimen emosi bukannya secara rasional dan meyakinkan kerana saiz cakerawala minda yang masih sempit.

Permasalahan berkaitan diri, keluarga, organisasi dan negara tidak dapat dicari jalan penyelesaian secara tuntas. Mungkin atas sebab inilah lepasan graduan kita dikatakan tidak berfikiran kritis kerana budaya berfikir yang hanya wujud secara semula jadi melalui pembacaan berkualiti itu sendiri masih jauh panggang daripada api.

Tidak kurang pentingnya, adakah ‘kemiskinan’ etika dan sikap budi bahasa bangsa sekarang adalah kesan daripada faktor rendahnya tahap pembacaan? Tidak keterlaluan dikatakan, bangsa yang membaca mencorakkan pemikiran dan perilaku yang sopan, pembersih, berakal budi dan menghormati orang lain.

Ini dapat dilihat daripada budaya bangsa di negara Barat yang umumnya mengutamakan kebersihan dengan sungai jernih mengalir di tengah bandar. Pola interaksi sosial masyarakat mereka pula ada kala jauh lebih berbudi bahasa daripada bangsa kita walaupun kita selalu melabel mereka sebagai golongan yang rosak akhlaknya.

Budaya membaca berkait rapat dengan tradisi dan jendela pemerolehan ilmu. Namun, amalan masyarakat kita bahawa menimba ilmu sekadar untuk lulus peperiksaan, memperoleh ijazah serta mendapat kerja yang bergaji lumayan.

Justeru, sikap tidak gemar membaca adalah hambatan untuk memperkasa bangsa yang intelektual dan berakal budi terpuji. Membaca membolehkan kita keluar daripada kepungan kongkongan dan kejumudan pemikiran serta tingkah laku.

Bangsa Malaysia yang matang, rasional, analitikal, berjiwa patriotik serta maju fizikal dan mentalnya hanya akan menjadi kenyataan jika budaya membaca menjadi amalan segenap lapisan masyarakat. Persoalannya, bilakah lagi rakyat Malaysia mahu menjadikan amalan membaca sebagai sebahagian daripada hidup?