Oleh W. Rahimah Draman
BENARKAH amalan Islami Muslim tidak beragenda sehingga dengan mudah ummah diagendakan oleh golongan kuffar (kufur)?
Realitinya `ya’ dan itulah yang telah, sedang dan akan terus berlaku jika saf ummah tidak segera dirapatkan dan bertindak seiring menegakkan Islami.
Satu persatu negara Islam telah dan sedang dijarah. Akidah ummah sudah tidak keruan serta semakin jauh terpesong manakala nyawa tiada nilai lagi.
Disebabkan tiada agenda, segala ilmu, sumber dan insani miliki Islam tergadai manakala Muslim bertelagah dan tengadah sesama sendiri sambil menyulap kegemilangan silam.
Situasi mutakhir membayangkan bumi akan terus makmur tanpa Muslim tetapi mustahil Muslim mampu tegak tanpa golongan kufur apabila hanya status keislaman pada fardu ain jadi keutamaan tetapi semakin terhakis dari amal kehidupan, manakala fardu kifayah untuk kelangsungan hidup dikesampingkan.
Siapa harus disalahkan bila ekonomi Islam terus merudum, segala sumber bumi tergadai sudah dan moral ummah kacau bilau angkara menjijikkan keilmuan sendiri yang terbiar dikorek gali oleh kaum kufur untuk memajukan kehidupan?
Sedangkan di dalam rumah, ayah membuntingkan anak sendiri. Ibu membuang bayi di mana sempat. Si remaja muda belia merempit di jalanan, menyusur lorong-lorong belakang untuk memenuhi pusat-pusat pemulihan dadah serta akhlak.
Muslim yang kaya raya berbelanja merai dan berpesta bersama ‘bintang-bintang Hollywood’ di pusat-pusat eksklusif Eropah.
Tetapi saudara seIslam di Rwanda, Somalia, Darfur mati kebuluran dicengkam kemiskinan manakala jihad saudara di Palestin bersenjatakan batu menentang peluru musuh.
Sebab itu awal-awal lagi Allah s.w.t. mengingatkan dalam mafhum-Nya; Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. (At-Taubah: 24)
Namun berapa kerat kalangan Muslim yang cuba menghayati, memahami dan menjadikan mafhum Allah s.w.t. itu pedoman dalam melayari kehidupan.
Apabila segala peringatan Yang Maha Kuasa tidak diendahkan, akibatnya Muslim terpaksa bergantung kepada musuh untuk meneruskan kelangsungan hidup dari hujung rambut hingga ke hujung kaki dan bermula dari kelahiran lahir hingga jasad dikuburkan.
Sedangkan Allah telah mengingatkan dengan mafhum Nya; “.... Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia. (Ar-Ra’d: 11).
Namun, sifat alpa manusia sebagai makhluk yang lemah menjadikan amalan saling membantu sesama Muslim terhapus terutama apabila hidup dilimpahi dengan kenikmatan anugerah-Nya.
“Ibu bapa sekarang tidak sedar diri. Mereka hilang punca, segala petua yang dipupuk oleh datuk nenek sudah hilang, sedangkan itulah agenda Melayu dan Islam.
“Puncanya sebab kita tidak ada agenda diri, apa lagi agenda-agenda hidup yang lain,” kata Pengarah Sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Izham Nayan.
Menurutnya, kalau agenda dalam diri dan keluarga sendiri tidak ada dan belum selesai bagaimana mungkin umat Islam dapat membentuk dan melaksanakan agenda ummah.
Sebab itu tegas Dr. Izham, agenda perlu bermula dari dalam diri sendiri. Perbetulkan agenda keluarga dengan kembali bergerak ke arah perintah suruhan dan larangan oleh Yang Maha Berkuasa.
Beliau berkata demikian ketika membicarakan mengenai Agenda Ummah dan Pembangunan Ekonomi Komprehensif pada Muktamar Kebangsaan Amal Islami 2007, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Muktamar sehari bertema Sukarelawan Pembangun Ummah anjuran Majlis Amal Islami Malaysia Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu menghimpunkan semua badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Malaysia. Ia dihadiri oleh lebih 500 perwakilan dari seluruh negara.
Pada majlis yang sama, Yadim turut memperkenalkan akhbar berbahasa Inggeris, The Criteria untuk menyalurkan maklumat tentang Islam. Sebagai permulaan, akhbar berharga RM1.50 di Semenanjung dan RM1.80 (Sabah dan Sarawak) itu dicetak dua minggu sekali untuk edaran kepada NGO Majlis Amal Islami seluruh negara.
Dr. Izham berkata, Muslim tidak boleh lagi membiarkan agenda diri dan ummah diagendakan oleh orang lain.
“Kita terlalu memberi muka kepada yang memusuhi Islam sehingga kita sendiri sudah tidak ada muka lagi untuk melihat bila al-Quran dipijak-pijak dan dikencing, kerana kita hanya tahu cakap tetapi ‘buta dan pekak’ sebab tidak pernah sensitif terhadap Islam,” tegasnya.
Musuh Muslim jelas beliau, adalah diri mereka sendiri. Puncanya kerana gagal mengawal pemakanan dan sosial kehidupan yang diagendakan golongan yang memusuhi Islam (kufur).
Kata Dr. Izham, jika pemakanan yang menjadi darah daging ditelan tanpa usul periksa halalnya, bagaimana iman dan tanggungjawab terhadap agama dapat meresap ke sanubari.
Menurutnya, sumber produk pemakanan bukan sahaja menjadi tunggak ekonomi manusia, masyarakat dan negara, tetapi mencorak iman dan amalan kehidupan harian.
“Jika apa yang dimakan sudah tidak tentu halal haramnya, maka mudahlah budaya hidup sosial songsang dan menyongsang jadi amalan,” ujarnya.
Sebab itu tambah beliau, budaya hidup dan akidah ummah mutakhir semakin tidak terarah dan umat Muslim hidup tertindas walaupun bilangan orang Islam lebih 1 bilion, iaitu kedua terbesar selepas penganut Kristian di dunia.
Dalam hubungan ini Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman ketika merasmikan majlis muktamar itu berkata, kesedaran Muslim terhadap perekonomian Islam hilang kerana budaya pemikiran yang sempit.
Menurutnya, adalah mengaibkan apabila umat Islam di merata dunia terbiar kebuluran sedangkan jutaan ekor ternakan disembelih untuk ibadah korban pada setiap tahun.
“Tetapi umat Islam dan alim ulama masih terus berbicara pasal qiraat, taranum, korban pakai pisau pendek atau panjang.
“Mengapa perkara-perkara furuk (cabang) yang bukan qat’ie (jelas dan tetap) dalam fardu ain difokus tetapi cara bagaimana hendak tingkatkan ekonomi bagi pertahankan akidah dan memperkasakan ummah melalui kemajuan sains dan teknologi yang jadi fardu kifayah diabaikan,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Ir. Dr. Muhammad Fuad Yeoh ketika membicarakan mengenai Peranan Badan Aamal Islam dalam mendepani Cabaran Globalisasi berkata, uslub dakwah Muslim kena berubah mengikut keadaan dan situasi semasa.
Menurutnya, dalam dakwah sesetengah dari kaedah dan prinsip tidak berubah tetapi suasana dan keadaan sasaran yang sentiasa berubah perlu diberi perhatian.
Oleh itu tambah beliau, ahli daie dan golongan pendakwah iaitu setiap Muslim bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing terutama melalui badan-badan NGO Islam yang ada.
“Kita mesti bersatu, sepakat dan seiring sebagai satu saf (barisan) dalam melaksanakan tindakan, baru ummah kuat dan syair Islam dihormati serta kembali digeruni bukan diperalat dan diperlekehkan musuh,” ujarnya.