Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

01 Januari 2008

Kota singa percutian ekstravaganza


Oleh Khaidir A Majid

LAMA sebelum jet silang menyilang di udara membawa penumpang ke serata dunia, Mark Twain sudah memberi peringatan kepada bakal pelancong.

"Pengembaraan mampu melenyapkan sikap prejudis, taksub dan sempit fikiran." Kata-kata novelis Amerika Syarikat itu bermain-main di fikiran penulis apabila ditawarkan oleh Lembaga Pelancongan Singapura untuk melawat republik itu,

bersama-sama keluarga.


Selain tawaran diberi dengan notis yang begitu singkat sekali, destinasi berkenaan agak jauh daripada fikiran sebagai lokasi mengisi "waktu bermutu" dengan keluarga.

Singapura terlalu dekat dan biasa bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Apakah yang boleh ditawarkan negara kecil dan sempit itu yang tidak boleh ditawarkan negara kita sendiri? Jika pulau di selatan itu boleh bermegah dengan kompleks beli belah yang besar dan canggih, apakah kurangnya kemudahan di Kuala Lumpur?

Lagipun nilai dolar Singapura yang lebih tinggi sudah tentu menjadi penghalang bagi rakyat Malaysia untuk membeli belah di sana.

Walaupun mempunyai tanggapan sedemikian penulis tetap bersama berkeluarga menaiki bas Aeroline dari One Utama, Kuala Lumpur untuk menuju ke Singapura.

Perjalanan lima jam ke selatan banyak menonjolkan kecantikan negara sendiri yang pemandangan hutan hijau dan bukit bukaunya sudah pasti tidak dapat ditandingi kota batu Singapura.

Setibanya di kawasan Orchard Road - syurga membeli belah Singapura - kami ditempatkan di Royal Plaza on Scotts, hotel yang dikatakan milik Sultan Brunei yang amat selesa bagi pengunjung Muslim kerana semua makanan disajikan adalah halal.

Selain itu, hotel berkelas mewah berkenaan mempunyai surau dan petunjuk arah kiblat. Di samping itu, sejadah dan jadual waktu solat turut disediakan di dalam bilik - sesuatu yang mengejutkan dan amat dihargai.

Pada petang harinya, kami menuju ke Arab Street berhampiran, kawasan terkenal dengan jualan kain ela. Walaupun, namanya Arab Street, kebanyakan peniaga adalah keturunan India Muslim dan Melayu. Di sinilah letaknya Masjid Sultan, masjid pertama di Singapura yang dibina pada sekitar 1820-an oleh masyarakat Melayu.

Bangunan masjid asal tidak lagi kelihatan dan digantikan dengan bangunan yang indah dan selesa. Namun pengunjung masih diingatkan dengan sumbangan masyarakat pengasas masjid ini dengan memerhatikan di bawah kubahnya terdapat susunan botol berwarna gelap.

Walaupun berada dalam kesempitan hidup semasa masjid diasaskan, masyarakat Muslim ketika itu menyumbang apa yang dimiliki, termasuk botol untuk dijual bagi mendapat wang bagi mendirikan rumah ibadat berkenaan.

Selain Masjid Sultan, Istana Kampung Glam yang berhampiran dan jualan kain ela yang harganya agak murah sedikit berbanding Kuala Lumpur, Arab Street juga terkenal dengan murtabaknya. Walaupun negara sendiri mempunyai hidangan murtabak, namun murtabak Singapura harus dinikmati oleh pengunjung Malaysia, kerana ia lain daripada yang lain.

Hari keduanya, penulis bersama keluarga menghabiskan masa dengan melawat Little India dan China Town. Jika kawasan Arab Street dan Kampung Glam (nama diambil daripada pohon Gelam) menjadi penempatan Melayu silam, Little India adalah penempatan kaum India dan China Town pendatang Cina.

Nama jalan dan tempat di Little India termasuk, Hospital Kandang Kerbau, banyak menceritakan mengenai sejarah kawasan kaum India ini. Seperti dicadangkan oleh nama hospital pertama di Singapura itu, Little India asalnya adalah kawasan ternakan lembu yang kemudiannya membangun sebagai kawasan perdagangan masyarakat India.

Berikutan itu, bagi masyarakat Melayu di sini kawasan itu dikenali sebagai Kandang Kerbau, Tekka (pagar buluh untuk kandang lembu) bagi masyarakat Cina dan Little India bagi yang lain.

Apa yang menarik di Little India? Bagi mereka yang suka membeli belah boleh mengunjungi Mustafa Centre (seperti Mydin di Malaysia) dan Sim Lim Square (pusat beli belah barang elektronik).

Bagi mereka yang suka makan, boleh menikmati Fish Head Curry atau kari kepala ikan di Muthu's Curry yang didakwa pencipta lauk berkenaan sebelum ia merebak ke seluruh Singapura dan Malaysia.

China Town pula adalah tempat penempatan asal masyarakat Tionghua. Nama lamanya dalam bahasa Cina ialah Niu Che Shui atau kereta air dalam bahasa Melayu yang merujuk kepada kereta sorong yang membawa air minum pada zaman silam.

Kawasan ini terkenal dengan kedai jualan barang murah "tiga untuk $10". Jika benar-benar gigih mencari seseorang mungkin dapat membeli sesuatu yang bermutu dengan harga yang agak murah.

Selepas penat membeli belah dan berjalan di pekan, malam harinya penulis dan keluarga mengunjung Safari Malam - zoo pada malam hari di utara Singapura. Tidak seperti sesetengah zoo yang diterangkan dengan lampu pada waktu malam, Safari malam dibina khas untuk menempatkan haiwan yang aktif apabila matahari terbenam.

Pengunjung, sama ada menaiki trem atau berjalan kaki dapat melihat haiwan malam daripada 135 spesies dalam lapan zon geografi seperti hutan tropika Asia Tenggara, savana Afrika, lembah sungai Nepal dan padang pampas Amerika Selatan.

Ketika penulis melawat Safari Malam itu sedang menyambut Haloween - berikutan itu terdapat juga hantu-hantu (petugas zoo berpakaian hantu) di celah-celah pokok dalam keheningan malam itu.

Keesokannya hari, Taman Burung Jurong pula dikunjungi di mana pelawat dapat memberi makanan kepada burung yang hinggap di tangan mahupun kepala.

Selepas puas dengan telatah burung, Pulau Sentosa menjadi tumpuan.

Pulau kecil ini sebelum ini dikenali sebagai pulau Belakang Mati kerana dikatakan penyakit malaria hampir menghapuskan penduduk Bugis di pulau ini pada sekitar 1840'an. Berikutan kejadian itu pulau sepanjang dua kilometer ini hampir tidak mempunyai penghuni dan dijadikan sebagai kubu oleh Tentera British untuk mempertahankan pintu masuk ke pelabuhan Singapura.

Pada 1972, Lembaga Pelancongan Singapura mengadakan pertandingan untuk menamakan semula pulau ini dan Sentosa dipilih sebagai nama barunya. Pulau ini yang sekarang dihubungkan dengan jambatan, monorel dan kereta kabel dengan pulau besar Singapura, sudah dibangunkan sebagai pusat tumpuan pelancong. Hospital tentera dibangunkan sebagai muzium, manakala akuarium digelar Underwater World dibina untuk pengunjung.

Selain 4D Magix - wayang empat dimensi - dan Cineblast - wayang tiga dimensi dengan kerusi bergerak - Sentosa turut menawarkan "go cart" tanpa motor Luge & Skyride yang boleh dinikmati kanak-kanak dan mereka yang dewasa tetapi mahu berjiwa kanak-kanak untuk seketika.

Selepas bersolat Maghrib, pengunjung dapat menikmati "Songs of the Sea" di panggung terbuka tepi laut - tarian dan nyanyian yang diiringi dengan pertunjukan menarik laser, pancutan air dan letupan api.

Di sebalik, bangunan pencakar langit dan penduduk bertali leher yang bergegas mengejar temu janji, Singapura turut menawarkan sesuatu yang menarik bagi mereka yang rajin mencarinya. Selain, tumpuan pelancong, rakyatnya yang kini agak mesra dan mudah membantu sudah tentu mengubah fikiran pelawat Malaysia yang mungkin sudah lama tidak berkunjung ke negara tetangga itu.

INFO: Pakej Istimewa melawat Singapura

  • Dewasa RM560 seorang
  • Kanak-kanak RM450 Seorang
  • Tiga hari/dua malam
  • Tarikh berangkat dengan bas 23 & 30 November dan 7 dan 14 Disember
  • Pakej termasuk hotel Royal Peacock atau setaraf dengannya
  • Tiket River Cruise, FunVee Open top bus, Tamab Burung Jurong, Sentosa, Merlion Tower, Images of Singapore, Songs of the Sea dan Sentosa 4D Magix
  • Maklumat boleh didapati daripada Lembaga Pelancongan Singapura tel: 603-2142 7133