Oleh Rohaniza Idris
DR WAN HASHIM memberi kata perangsang kepada pelajar terbabit program Yayasan Perak. |
Ahli Parlimen Grik kerap dapat peranan utama drama sekolah
KEWIBAWAAN Pegawai Daerah (DO) Hulu Perak, Hubert Berkely yang segak dengan kereta besar jenama Volkswagon siap pemandu serta tinggal di banglo membuatkan Ahli Parlimen Grik, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, 58, menaruh harapan untuk menjadi seperti itu.
Cita-cita itu terus tersemat di dalam hatinya sehingga mencecah usia remaja kerana beliau tidak nampak tokoh yang lebih berwibawa untuk dicontohi selain Hubert walaupun berbangsa Inggeris.
Namun, selepas berjaya melanjutkan pelajaran ke Monash University di Australia cita-citanya berubah dan ingin pula menjadi pensyarah kerana terpikat dengan gaya pensyarah dan profesor di situ.
"Selepas itu, saya nekad belajar bersungguh-sungguh dan mahu jadi seperti mereka... Alhamdulillah selepas tamat pengajian Sarjana Muda dalam bidang Antropologi dan Sosiologi di sana, saya dilantik sebagai tutor di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974, kemudian dilantik sebagai pensyarah pada 1976 selepas mendapat Sarjana di universiti yang sama," katanya yang sebelumnya terpaksa meninggalkan pengajian di Queensland University kerana pengajian di sana lebih terarah kepada negara wilayah Pasifik sedangkan beliau meminati pengajian Asia Tenggara.
Maka kekallah Wan Hashim sebagai pensyarah dengan jawatan terakhirnya sebagai Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, sehingga akhirnya meninggalkan bidang yang menjadi sebahagian daripada jiwanya untuk membabitkan diri secara serius dalam bidang politik.
Namun bidang politik yang diceburinya itu bukanlah asing bagi dirinya kerana bapanya, Wan Teh Mohd Salleh adalah seorang penghulu manakala abangnya, Allahyarham Datuk Seri Wan Mohamad adalah Menteri Besar Perak dari tahun 1977 hingga 1983.
Mengakui meminati bidang seni sejak di bangku sekolah, Wan Hashim turut dikenali sebagai tokoh budaya dan banyak menulis mengenai filem dan pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), selama 10 tahun.
Beliau yang ditemui di lobi bangunan Parlimen baru-baru ini, berkata ketika belajar di Sekolah Inggeris Grik, gurunya, Cikgu Zubairi sering mengambilnya berlakon dalam sketsa pendek bagi persembahan sempena menyambut Hari Kebangsaan.
"Saya selalu diberikan peranan sebagai hero," katanya.
Minat itu diteruskan ketika belajar di Sekolah Menengah Clifford, Kuala Kangsar, yang mana beliau belajar bermain beberapa alat muzik, seterusnya di Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi, yang mana beliau dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Kebudayaan Kebangsaan yang menerbitkan majalah sastera dan terbabit dalam beberapa pementasan.
Ketika di Monash University pula beliau bersama rakannya, Dr Zamin Harun dan tokoh tari, Datuk Azanin Ahmad menubuhkan kelab kebudayaan dan kesenian Malaysia.
Menceritakan zaman kanak-kanaknya, Wan Hashim berkata, bapanya dan ibunya, Sariah Ali Musa sangat mementingkan pendidikan dan pengajaran agama. Datang daripada keluarga besar 11 beradik, beliau adalah anak kesembilan.
"Hubungan bapa dengan pegawai daerah sangat rapat dan beliau mendengar nasihat Hubert supaya kami adik beradik di hantar ke sekolah Inggeris," katanya yang dilahirkan di Kampung Kerunai, 12 kilometer dari Bandar Grik, yang ketika itu kawasan paling mundur di hulu Sungai Perak.
Percaturan dibuat ayahnya membuahkan hasil kerana selain Wan Hashim, adik beradiknya juga berjaya dalam akademik dengan dua abangnya, iaitu Wan Hassan pernah menjadi Timbalan Pengarah Imigresen dan Datuk Wan Zahidi kini menjadi Mufti Wilayah Persekutuan, selain seorang lagi abangnya yang menjadi Menteri Besar Perak
Berkahwin dengan Datin Juriah Long dan dikurniakan empat cahaya mata berusia 17 hingga 27 tahun, Wan Hashim berkata, beliau gembira dengan pencapaian anak-anaknya walaupun yang bongsu baru selesai menduduki SPM.
Paling menarik, kesemua anak-anaknya diberikan nama yang mempunyai unsur sejarah dan klasik. Anak sulung beliau, Wan Mahsuri dinamakan sempena nama wanita legenda Pulau Langkawi.
Anak keduanya, Wan Salamatul Juita, 25, yang kini menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang seni bina, mendapat namanya ilham daripada filem P Ramlee.
Anak ketiganya, Wan Muzaffar, 21 yang kini menuntut di Perancis dinamakan sempena nama Sultan Muzaffar Shah, Sultan Perak pertama manakala yang bongsu, Wan Iskandar, 17, dinamakan sempena pahlawan Iskandar Zulkarnain.
Mengimbau pertemuan dengan isterinya, Wan Hashim memberitahu, Juriah adalah jurulatih skuasynya.
"Senang cakap, kami jatuh cinta di gelanggang skuasy dan berkahwin pada tahun 1977," katanya. Juriah adalah pensyarah di Fakulti Pendidikan UKM.
Bercerita pembabitannya dalam politik, Wan Hashim berkata, jawatan paling tinggi yang pernah disandangnya ialah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Grik pada 1982 hingga 1985.
Selepas itu dilantik sebagai ahli jawatankuasa Umno Bahagian Grik dan pada 2004 hingga kini menjadi Timbalan Ketua Umno Bahagian.
Pada tahun sama, Wan Hashim dilantik menjadi calon pilihan raya mewakili Barisan Nasional (BN) dan menang dengan majoriti 8,080 mengalahkan Ramli Tusin, calon PAS.
Ditanya apakah yang beliau rindukan di UKM sejak terbabit dengan dunia politik, beliau berkata, rindu dengan suasana pembelajaran dan pengajaran.
"Universiti adalah gedung ilmu yang menjadi tempat ahli akademik dan anak-anak belajar, itu sangat saya rindui. Dalam politik pergaulan saya lebih luas membabitkan pelbagai lapisan masyarakat," katanya yang menyifatkan pembabitannya dalam politik adalah kesinambungan semangat kepemimpinan bapa dan abangnya.
Katanya lagi, "kini saya sibuk dengan tugas sebagai wakil rakyat, masa dengan keluarga pun agak terhad begitu juga dengan rakan ketika di UKM dulu. Hujung minggu Sabtu dan Ahad saya balik ke kawasan di Parlimen Grik yang mana sehari sekurang-kurangnya tiga hingga lapan program disediakan.
"Namun, saya puas kerana dapat berbakti kepada rakyat, ini bukan kerja mudah walaupun seawal enam pagi sudah keluar dan pulang ke rumah paling lewat jam satu pagi, keesokan harinya."
Banyak terbabit dalam penulisan sama ada ilmiah atau kreatif, Wan Hashim berkata, setakat ini beliau sudah menghasilkan 26 buku, termasuk satu novel yang memenangi Siri Anugerah Pak Sako Kumpulan Utusan Melayu, Hatiku Terluka di Bukhara.
Buku paling lama dihasilkannya pula ialah kajian mengenai Peranan Gerila Melayu Force 136, yang mengambil masa 12 tahun untuk disiapkan.
Buku berkenaan kemudian diterjemah dalam bentuk skrip drama yang ditayangkan di RTM1, bertajuk Harimau Malaya: Pejuang Gerila Force 136, sebagai mengenang perjuangan abangnya yang menjadi ejen pengintip gerila bagi menentang tentera Jepun.
PROFIL
Nama: Prof Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh
Tarikh Lahir: 19 Disember 1949
Asal: Kampung Kerunai, Grik, Perak
Keluarga: Anak ke-9 daripada 11 beradik
Jawatan: Ahli Parlimen Grik (2004)
Pengerusi, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM)
Pengerusi Jawatankuasa Khas Integriti Parlimen
Pengerusi Yayasan Perak
Jawatan pernah disandang:
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), UKM,
Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas),
Pengarah dan Timbalan Pengarah Institut Alam Dan Tamadun Melayu (ATMA).
Akademik: Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Sastera dari Monash University, Australia (1970) Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), dari University Of Manchester, England (1982).
Sekolah Inggeris Gerik, Perak (1956-1961)
Sekolah Menengah Clifford Kuala Kangsar, Perak (1962-1964)
Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi (1965-1968)
Nama isteri: Datin Juriah Long
Jawatan isteri: Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan UKM (mulai 1 November 1997 -)
Nama anak: Wan Mahsuri, 27, Wan Salamatul Juita, 25, Wan Muzaffar, 21, dan Wan Iskandar, 17.
Kegiatan persatuan: Setiausaha Kongres Cendekiawan Melayu (1987 hingga 2004),
Pengerusi Persatuan Pengajian Melayu (1990-1992),
Presiden Persatuan Melayu Australia (1974).
Karya: 26 buku, seperti A Malay Peasant Community In Upper Perak (1978), Komuniti Nelayan Di Pulau Pangkor (1980), Rumah Melayu Tradisi (1993), Biografi Bergambar Sultan Azlan Shah (1990), Petani Dan Persoalan Agraria (1983), Gerila Melayu Force 136 (1993), Race Relations in Malaysia (1993) diterjemahkan dalam bahasa Jepun; Sains Sosial dari Perspektif Islam (1986), Biografi Tuanku Jaafar
(1999) dan Orang Melayu di Australia Barat (1999)
Skrip teater: Peristiwa Bukit Candu
Harimau Malaya Gerila Force 136
Peristiwa berdarah di Pasir Salak
Pahlawan rimba Malaya
KL of KL..seniman jalanan
Skrip drama televisyen: Harimau Malaya: Pejuang Gerila Force 136