Oleh Nazmi Yaakub
BERI SOKONGAN: Dr Chandra Muzaffar bersama Tan Sri Abdul Rashid Hussin, Poh Swee Hiang dan Prof Dzulkifli pada pelancaran buku, Politik Penguasaan Dunia & Isu yang Selainnya. |
Sokongan penerbit diperlukan dalam realisasikan hasrat ketengahkan pembudayaan pengetahuan
BUDAYA dan minat membaca di kalangan generasi muda khususnya remaja di negara ini sering ditandai dengan kehadiran novel picisan dan popular sehingga ia menjadi bahan bacaan akrab dalam kehidupan mereka selain didampingi teknologi moden seperti telefon bimbit dan iPod.
Lambakan novel ringan dan kecenderungan pembaca remaja kepadanya sedikit sebanyak memberi kesan kepada kadar literasi di negara ini seperti yang dinyatakan dalam laporan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), baru-baru ini.
Unesco mengiktiraf peningkatan tahap literasi di negara ini yang meningkat secara tetap daripada 90.6 peratus pada 2002 kepada 92.5 peratus tahun lalu sehingga Unesco mengiktiraf Malaysia sebagai antara negara anggota paling agresif, konsisten dan pragmatik memerangi buta huruf tegar.
Bagaimanapun, isu besar yang wajar diberi perhatian adalah persoalan sama ada kecenderungan membaca bahan bacaan ringan sudah mencukupi untuk masyarakat negara ini dalam konteks budaya membaca atau keperluan khalayak pembaca memperluaskan bahan bacaan mereka.
Ini kerana perkembangan minda dan intelektual tidak cukup sekiranya hanya dijana dengan pembacaan ringan sehingga mengabaikan pembudayaan ilmu yang digerakkan melalui pembacaan buku dalam pelbagai disiplin ilmu.
Tamadun besar dunia tidak mungkin muncul tanpa sistem penulisan seperti kemunculan penulisan abjad pada Tamadun Kuno Mesir sekitar 2000 Sebelum Masihi (SM) yang tercetus daripada prinsip abjad hieroglyph Mesir, sekali gus menjadi akar kepada perkembangan kebanyakan sistem abjad di dunia termasuk Greek dan Latin.
Maka, tidak hairanlah tamadun besar dunia itu berkait rapat dengan sejarah perkembangan buku seperti skrol yang menggunakan kertas papyrus (Tamadun Kuno Mesir dan Greek serta kodeks) dan digunakan secara meluas dalam komuniti Kristian, sebelum penulisan dalam bentuk manuskrip mengambil alih.
Kehadiran teknologi mesin cetak Gutenberg yang memudahkan proses penyalinan dan penerbitan buku dalam skala besar menjadi pemacu kepada gerakan Renaissance yang mencerahkan Eropah dengan ilmu pengetahuan selepas menempuh zaman gelap.
Justeru, peningkatan tahap literasi di negara ini tidak wajar terhenti kepada kemunculan tren golongan muda menyelak novel picisan dan popular atau terkepung dalam keghairahan membaca kisah kehidupan serta gosip dalam dunia hiburan.
Sebaliknya, tahap literasi wajar diukur dengan kehadiran bahan bacaan yang boleh menjana minda dan intelektual golongan muda, terutama dalam bahasa Melayu bagi memastikan pembudayaan ilmu tidak terencat serta meluas.
Ini termasuklah bahan bacaan yang membincangkan isu besar dunia seperti politik kuasa besar, globalisasi, pemanasan global dan konflik dunia seperti yang menjadi harapan Presiden International Movement For Just World, Dr Chandra Muzaffar, melalui penerbitan bukunya, Politik Penguasaan Dunia & Isu yang Selainnya.
Beliau yakin penerbitan buku yang mengangkat tema penting umat manusia seperti politik penguasaan dunia perlu diperbanyakkan kerana ia mengungkap cabaran utama dengan memberi kesan kepada kehidupan seharian termasuk rakyat di negara ini.
“Cabaran itu sebenarnya kurang difahami oleh kita walaupun dapat merasakan tempias dan kesan seperti yang dihadapi kebanyakan negara membangun seperti kenaikan harga minyak dunia, pemanasan global serta konflik Iraq dan ancaman terhadap Iran.
“Bagaimanapun, rakyat di negara ini jarang memberikan tumpuan kepada isu dan peristiwa yang berlaku di luar negara, sebaliknya lebih menumpukan apa-apa yang terjadi di negara sendiri,” katanya pada Majlis Pelancaran Buku dan Sidang Media Politik Penguasaan Dunia & Isu yang Selainnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dr Chandra mengakui kecenderungan dan sensitiviti terhadap persekitaran sendiri berbanding senario luar negara sebagai tabiat manusia, tetapi beliau menyifatkan ia turut didorong oleh kekurangan bahan bacaan mengenai isu antarabangsa dalam bahasa Melayu.
“Tambahan pula, pembaca dalam bahasa Melayu lebih cenderung kepada kepada buku yang memaparkan cerita hantu dan hiburan berbanding buku serius, sekali gus menyebabkan pasaran buku terbabit amat terbatas.
“Saya menghasilkan buku ini dengan bahasa mudah dan tidak menggunakan istilah yang lazim diguna pakai oleh ahli akademik serta tidak mengelirukan pembaca dengan tujuan menarik minat pembaca biasa,” katanya.
Pandangan Dr Chandra diperkukuhkan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Dzulkifli Abdul Razak yang menganggap tidak banyak syarikat penerbitan sanggup menerbitkan bahan bacaan serius dalam bahasa Melayu.
“Ketandusan bahan bacaan serius dalam bahasa Melayu khususnya buku yang memberi tumpuan pada generasi muda sebenarnya menyebabkan mereka tidak memperoleh pandangan dan ulasan berfungsi membantu mereka membuat keputusan dalam kehidupan,” katanya.
Prof Dzulkifli menaruh harapan agar masyarakat dan institusi pengajian tinggi (IPT) menyebarkan buku karya tokoh intelektual dan sarjana seperti Dr Chandra untuk merealisasikan gerakan intelektual bagi mewujudkan masyarakat berilmu.
Tanpa menafikan kepentingan buku yang menepati piawai akademik, penerbitan buku yang membincangkan judul dalam pelbagai disiplin ilmu tetapi disampaikan dalam bentuk yang mudah juga perlu diperbanyakkan.
Sudah tentu tidak dapat dinafikan penerbitan judul serius dalam bentuk ‘santai’ itu dapat meraikan realiti pemikiran generasi muda kini, sekali gus mendekatkan pembaca remaja dengan budaya ilmu pada peringkat awal lagi.