Oleh Nurhayati Abllah
NATIONAL Palace Museum (NPM) atau Muzium Istana Nasional di Taipei, Taiwan adalah antara lima muzium paling unggul di dunia kerana menyimpan pelbagai khazanah berharga bukti kegemilangan Tamadun China selain warisan peninggalan masyarakat negara itu.
Terletak di Jalan Chin Shan, Utara Taipei, muzium itu memiliki lebih 650,000 artifak berupa barangan tembaga, tembikar, jed, manuskrip serta lukisan yang dihadiahkan kepada Maharaja China berusia lebih 5,000 tahun lalu.
Kerajaan Taiwan memperuntukkan AS$18 bilion untuk kerja membaik pulih struktur bangunan yang kalis taufan berikutan kedudukan geografi Taiwan yang terdedah dengan bencana alam, selain memulihara barangan pameran di muzium.
Kesempatan penulis berkunjung ke muzium berkenaan, baru-baru ini digunakan sepenuhnya untuk melihat keunikan artifak dan barangan tinggalan masyarakat dulu.
Malah, penulis dimaklumkan setiap tiga bulan sekali pengurusan muzium berkenaan akan menukar atau mengubah susun atur barangan dan artifak di muzium itu untuk disesuaikan dengan keadaan masyarakat mengikut zaman tertentu.
Memang bukan sekadar muzium nasional, tetapi juga bangunan dan reka bentuknya mirip sebuah istana China dan penulis sendiri merasakan seolah-olah berada dalam suasana zaman lampau dengan penataan cahaya, bunyi yang dimainkan selain daripada berlatar belakang kehijauan taman serta landskap menarik.
Tidak menghairankan muzium berkenaan berada di tangga kelima di dunia kerana semua aspek diambil kira termasuk suhu dan kecerahan cahaya bagi memastikan warna, lukisan dan ukiran pada setiap artifak serta bahan sejarah dapat dikekalkan. Selain itu, muzium berkenaan turut menggunakan peralatan teknologi digital terkini bagi memberi kesan berbeza dengan suasana sejarah mengikut artifak yang dipamerkan.
Muzium yang dibangunkan sejak 1965 itu membabitkan tiga gedung besar dan dua taman. Selepas melalui beberapa peringkat pembinaan dan diubah suai, NPM mempunyai ruang tertutup (indoor) 24,000 meter persegi dan 12,042 meter persegi ruang terbuka (outdoor).
Baik pulih pertama dilakukan pada 1967, yang antara lain memperluas ruang perpustakaan. Tahap kedua selesai pada 1970, iaitu menambah ruang pejabat serta pameran di sayap timur dan barat muzium. Tahap ketiga selesai pada 1985, iaitu membabitkan kemudahan lain seperti penambahan peralatan teknologi dan pembangunan ruang pentadbiran.
Sementara peringkat keempat adalah menambah baik perpustakaan dan membangun kebun atau taman di sekeliling NPM manakala tahap paling akhir membabitkan kerja memperkuatkan sistem ketahanan bangunan sebagai persediaan ancaman bencana alam serta gempa bumi.
Tidak menghairankan jika jumlah tiket yang terjual pada tahun lalu berjumlah kira-kira 2.5 juta keping dengan nilaian lebih RM300 juta dan dianggarkan tahun ini jumlah kutipan akan meningkat kepada 3 juta jualan tiket.
Harga tiket antara RM8 hingga RM16 mengikut kategori usia dan kemasukan percuma disediakan bagi kanak-kanak bawah enam tahun dan warga emas berusia 65 tahun ke atas adalah nilai berpatutan disediakan setanding dengan taraf hidup penduduk di negara itu selain kecanggihan peralatan serta seni bina bangunan NPM.
Walaupun ruang pameran dibina dalam kawasan yang luas, muzium berkenaan masih tidak mampu mempamerkan semua koleksi yang ada pada satu masa. Ia berikutan koleksi NPM mencecah lebih 650,000 koleksi yang mewakili semua zaman bermula zaman neolitik sehingga kini.
Pada satu masa, muzium berkenaan hanya mampu mempamerkan hanya tiga peratus daripada keseluruhan koleksi yang ada menyebabkan pengurusan muzium perlu mengubah susun atur artifak dalam tempoh tiga bulan sekali.
Ternyata perjalanan ke Taiwan boleh dikatakan tidak lengkap jika tidak melawat dan memasuki bangunan istana iaitu satu daripada lima muzium tersohor dunia.
Ia bukan saja antara lokasi terbaik kepada pencinta sejarah untuk melihat peninggalan bangsa terdahulu, malah tempat untuk menambah pengetahuan berasaskan teknologi pembuatan tembikar, ukiran jed dan penghasilan lukisan yang sememangnya mempunyai nilai seni serta kreativiti yang tinggi.