Oleh Suhana Roslan
Visit Terengganu 2008: Terengganu... Dimana Alam Semula jadi Memayungi Warisan |
Terengganu miliki pantai, pulau, air terjun, terumbu karang, lokasi penyu bertelur yang mengujakan pelancong
AIR terjun tujuh tingkat di Hutan Lipur Lata Tembakah, Besut, Terengganu mempunyai keindahan semula jadi yang boleh membangkitkan suasana nyaman dan segar kepada mereka yang ingin lari daripada kesibukan kota.
Deruan air terjun yang mengalir di celah-celah rimbunan pepohon malar hijau diselangi bunyian kicauan unggas hutan, menerbitkan ketenangan di hati pengunjung sambil bersuka ria bersama keluarga atau sahabat handai.
Hutan Lipur adalah antara produk pelancongan alam semula jadi Terengganu yang boleh dikunjungi pelancong kerana pelbagai khazanah alam seperti pepohon akar kayu dan kejernihan air terjun itu sendiri masih dipelihara dan dipulihara.
Selain Lata Tembakah, pengunjung boleh bertandang ke Air Terjun Cemerong, Dungun, yang masih belum diragut arus pembangunan malah antara keistimewaan lokasi itu kerana hutan lipurnya masih dipenuhi pelbagai spesies pokok berharga, termasuk cengal terbesar di dunia.
Hutan Lipur Sekayu, Kuala Berang, pula mempunyai keistimewaan sendiri kerana pengunjung berpeluang menyertai aktiviti lasak dan merentas hutan yang dihiasi pelbagai keindahan flora dan fauna.
Pengunjung juga berpeluang mengenali sumber perubatan daripada akar atau daun yang ada di dalam hutan tebal berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera, berkata Terengganu juga mempunyai aset alam semula jadi di pulau peranginan yang terkenal seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas, Pulau Tenggol dan Pulau Bidong.
Malah, antara pulau besar itu masih terdapat pulau-pulau kecil yang jarang dilawati pengunjung seperti Pulau Susu Dara, Pulau Rhu, Pulau Gemia dan Pulau Lang Tengah yang mempunyai keaslian terumbu karang yang jarang ditemui di pulau-pulau lain.
Semua pulau itu kecuali Pulau Bidong dilengkapi pelbagai kemudahan penginapan manakala pembangunan pulau berkenaan dikawal bagi mengelak kerosakan pada alam semula jadi.
Mohamed berkata, sebaik saja ombak mencecah kaki, kedinginan air pasti menggamit perasaan pengunjung menyelam dan menyaksikan keindahan pelbagai spesies terumbu karang sambil berenang diiringi ikan-ikan kecil berwarna warni.
Katanya, kerajaan sentiasa memastikan khazanah semula jadi seperti terumbu karang, gamat, penyu serta ikan pelagik dan demarsal tidak dicerobohi. Pengusaha calet akan ditekankan isu pemuliharaan dan kebersihan yang tidak akan menjejaskan keindahan pantai.
Beliau berkata, selain alam semula jadi di dasar laut, keindahan pasir halus dan putih juga menunjukkan ciri-ciri pantai masih belum diterokai dan dibiarkan untuk memenuhi selera pengunjung yang inginkan kedamaian segar.
"Pengunjung akan ditekankan kepada konsep menghayati alam semula jadi dan bebas daripada hiruk pikuk kota metropolitan selepas bertungkus lumus memerah otak dan otot bekerja siang dan malam.
"Pulau, pantai dan air terjun juga amat sesuai kepada mereka yang ingin berkarya mencari idea kerana saya percaya ilham akan datang mencurah-curah sekiranya lokasi yang dipilih mendamaikan selain fikiran pula tenang sambil menghirup udara segar," katanya.
Mohamed yakin, pelancong terutama dari luar negeri tidak akan mengeluh kerana perlu mengembara jauh untuk sampai ke pulau-pulau itu tetapi pastinya berazam untuk datang lagi bermain dengan kumpulan ikan kecil atau penyu yang terdapat di perut lautan berkenaan.
"Sungai Yak Yah pula..... akan memberikan pengalaman kepada pelancong untuk menghayati kehidupan dengan unggas berkenaan.
"Rantau Abang yang memang terkenal di dunia sebagai tempat penetasan telur penyu secara semula jadi adalah antara lokasi yang bakal dikunjungi pelancong selain menyediakan pelbagai kemudahan penginapan dan aktiviti air," katanya.