MELAKA 28 Dis. – Meletakkan proses pembelajaran sebagai sesuatu yang menyeronokkan menjadi resipi kejayaan Harnani Syaza Hamdan, 15, memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) semalam.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Talib Karim, Alor Gajah itu berkata, proses pembelajaran dan mengulang kaji tidak seharusnya dijadikan sebagai tekanan dalam kehidupan.
‘‘Belajar adalah satu daripada tanggungjawab kita dan ia tidak perlu dilihat sebagai satu tekanan. Jika tidak ia akan mengganggu pemikiran kita menjadikan belajar suatu yang membosankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengumuman keputusan peperiksaan PMR 2007 dan pelajar cemerlang peperiksaan itu oleh Pengarah Pelajaran Melaka, Isa Abu di sini semalam.
Seramai 873 daripada 13,807 calon sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran mencatatkan gred A dalam semua mata pelajaran di negeri ini, meningkat sebanyak 0.99 peratus.
Harnani adalah antara 20 pelajar terbaik Melaka yang mendapat keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil pada peperiksaan PMR yang dijalankan pada 1 hingga 5 Oktober lalu.
Anak seorang pesara tentera itu berkata, tumpuan di dalam kelas juga menjadi kunci kejayaannya mencatatkan kejayaan semua A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup dan Pengajian Islam.
Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang yang ditemui, Lim Jian Xiong, 15, dari SMK Datuk Dol Said, Alor Gajah berkata, pembabitannya dalam program yang dianjurkan pihak sekolah banyak menyumbang kepada kejayaannya.