|
|
MUKADIMAH
KEJAYAAN kontinjen Malaysia yang diterajui oleh Datuk Zainal Abidin Ahmad meraih 68 pingat emas, 52 perak dan 96 gangsa Sukan SEA ke-24 di Korat, Thailand yang berakhir 15 Disember lalu, masih menjadi buah mulut pengkritik sukan tanah air. Rekod ini dianggap yang terbaik pernah dicapai dalam sejarah temasya dwitahunan itu di luar negara.
Menduduki tempat kedua keseluruhan di belakang tuan rumah turut merupakan satu kejutan besar apatah lagi setelah melepasi sasaran 64 emas oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selain 61 emas ketika Sukan SEA Filipina 2005. Bagaimanapun peratusan pungutan emas milik Malaysia di Korat masih bukan yang terbaik.
Tetapi bagi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said, kejayaan di Korat dan pencapaian lapan pingat emas Sukan Asia Doha 2006 belum meyakinkan beliau untuk melihat kemunculan pingat emas sulung Malaysia dalam Sukan Olimpik Beijing 2008.
Katanya, banyak negara maju sudah mengimport atlet untuk memburu pingat Olimpik.
“Tetapi kita tidak mahu dalam ghairah mengejar emas, kita menuruti langkah itu. Kejayaan sukan Malaysia berkait rapat dengan maruah dan martabat,” tegas Azalina ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia RUHAIDINI ABDUL KADIR, ABDUL HAFIZ AHMAD dan WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY di pejabatnya Jumaat lalu.
Beliau menambah, seorang anak tulen Malaysia yang berjaya, memberi keyakinan bahawa kita memiliki generasi muda dan sihat serta berkualiti – sejajar slogan, Setinggi Mana Piala Dijulang, Tinggi Lagi Martabat Dijunjung.
Mingguan: Pencapaian di Korat umpama ‘cencaru makan petang’ ataupun hanya menang pada saat akhir dan terdesak. Apa komen Datuk Seri?
Azalina: Kekuatan kita lebih pada hari terakhir. Sebenarnya kita sudah menjangkakan bahawa keputusan di Sukan SEA lebih baik kerana kita mengambil kira atlet terbaik yang dihantar mewakili Malaysia. Dari segi peratusan kutipan pingat emas Malaysia, memanglah masih rendah jika dibandingkan dengan Sukan SEA terdahulu. Namun, atlet kita sudah buktikan mereka berjaya mendapatkan posisi baik dan mendapatkan pungutan emas terbanyak. Mereka tidak dituntut untuk meningkatkan peratusan pungutan pingat emas.
Adakah sebarang masalah yang timbul ketika Sukan SEA baru-baru ini?
Azalina: Ada sedikit kelam-kabut, itu saya akui. Kita agak waswas dan khuatir dengan sistem penghakiman yang subjektif dan berat sebelah kepada tuan rumah. Pada hari kedua terakhir, gimnas gimrama kita melakukan tindakan boikot dan Malaysia memberi kata dua kepada penganjur bahawa kita akan menghantar laporan kepada badan antarabangsa sebab penghakiman yang berat sebelah. Arahan saya supaya MSN bertindak lebih agresif dan ia menjadi. Alhamdulillah, sukan subjektif memberikan keputusan yang baik kepada Malaysia.
Apakah makna lebih besar bagi Datuk Seri ekoran pencapaian di Korat?
Azalina: Keputusan kita di tempat kedua pada saat akhir dengan mengalahkan Vietnam yang memang dilatih ramai jurulatih China. Kita dapat mengatasi mereka di posisi kedua dengan 68 emas satu keputusan yang cukup baik. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dan Kabinet memang cukup bangga. Saya fikir Pak Lah tidak tengok segi peratusan. Posisi itu baginya, satu pencapaian baik berbanding Sukan SEA Filipina, 61 emas dan tempat keempat.
Bagi Datuk Seri, inikah pencapaian paling cemerlang dalam Sukan SEA untuk negara?
Azalina: Mungkin dalam kiraan Sukan SEA, ya. Di Filipina pun, pencapaian terbaik di luar Kuala Lumpur, 61 emas dan tempat keempat. Di Korat, kita memang melihat 64 emas tetapi tidak kepada posisi kedua. Mulanya kita sangka tempat ketiga memandangkan Vietnam turut handal di Asia Tenggara. Tempat kedua memberikan kepuasan besar saya anggap ia penamat terbaik sukan Malaysia bagi 2007.
Ada negara yang kurang kemampuan dari segi fizikal dan kewangan pun masih dapat keputusan yang baik.
Azalina: Kemudahan sukan kita masih yang terbaik, subsidi dan bantuan kerajaan juga begitu jika dibandingkan negara lain. Itu pun ada pihak yang masih tidak berpuas hati dan kata kita masih kekurangan.
Jadi apa masalah sebenar sukan kita tidak cemerlang?
Azalina: Sebenarnya ini berkaitan sistem nilai. Generasi muda kita sekarang kurang meminati sukan. Jika ada pun, minat futsal, sebab tempat tertutup dan berhawa dingin. Mereka tidak suka yang di luar, panas, berpeluh dan bagi saya, ia berlaku kerana nilai dan prioriti kita tidak lagi seperti dulu.
Apa bezanya dengan dulu?
Azalina: Pada tahun 60-an dan 70-an dahulu, pemain bola sepak kita pun juara tetapi masa itu mungkin tiada internet, televisyen satelit pun tiada, keutamaan mereka ialah lebih baik bersukan daripada melepak. Hari ini, orang muda lain sikit, lebih suka makan banyak dan berkawan banyak. Mungkin sistem nilai kita, masih banyak yang perlu dibuat untuk melahirkan atlet bertaraf dunia.
Adakah sistem pendidikan kita yang lebih menekankan akademik, turut menjadi penyumbangnya?
Azalina: Bagi saya, ini isu keluarga, ada mak ayah menyuruh anaknya menjadi doktor atau peguam, tidak menggalakkan bersukan sampai mewakili Malaysia dan banyak ibu bapa yang tidak yakin jika anaknya jadi atlet dunia, dia boleh mendapat ganjaran tinggi seperti pemain bola sepak Eropah atau bola rempuh Amerika yang mementingkan profesionalisme dalam sukan.
Maksud Datuk Seri?
Azalina: Kita belum ke tahap itu, pendapatan atlet kita tidak sampai ke berjuta-juta ringgit Malaysia, beribu-ribu mungkin. Keluarga pula tidak melihat sukan sebagai kerjaya tetapi cuma kegiatan sampingan dan kerja sambilan. Kalau mereka tidak melakukannya, anak-anak yang berkebolehan tidak akan mendapat galakan.
Adakah ini salah ibu bapa?
Azalina: Sistem nilai ialah isu yang sangat peribadi. Soal ibu bapa juga isu lain. Kerana itu kita wujudkan Yayasan Kebajikan Atlet. Keyakinan mereka diberi sokongan dan baru-baru ini pun kita ada bantu seorang atlet Sukan Malaysia (Sukma) yang memerlukan bantuan akibat kemalangan. Inilah cabarannya, kita tak mahu seolah-olah ‘habis madu sepah dibuang’.
Apa pula usaha kementerian?
Azalina: Kita tetap cuba membantu dalam membudayakan sukan di peringkat luar bandar dan akar umbi menerusi penubuhan Kelab Sukan Komuniti di setiap Dewan Undangan Negeri, begitu juga menerusi Rakan Muda Jiran Muda dan Rakan Muda Kampung Baru yang menyasarkan anak-anak berumur 10 hingga 15 tahun menyertai kegiatan sukan. Lama-kelamaan ia akan mengeluarkan atlet elit.
Sukan Asia Doha 2006 berjaya, di Korat baru- baru ini berjaya, adakah ini meyakinkan kita untuk mengintai pingat emas sulung atau mengakhiri kemarau pingat dalam Sukan Olimpik Beijing 2008 sejak di Athens 2004?
Azalina: Saya tidak tahu sama ada boleh atau tidak. Saya tidak mahu komen. Namun negara lain sudah import atlet, Singapura dapat satu gol dengan kita (dalam bola sepak) menggunakan pemain import Nigeria. Singapura memang ramai pemenang emasnya tetapi datang dari luar. Ini trend negara maju. Mereka tahu masyarakat mereka tiada budaya sukan. Mereka menerima hakikat dan memberi peluang atlet negara membangun mewakili negara angkat mereka.
Kita pula bagaimana?
Azalina: Soalnya adakah itu yang kita hendak? Kalau kita mahu mencari pingat emas, itu yang memang kita perlu buat kerana kita tentu mahu yang terbaik. Tetapi kalau kita hendak maruah negara, kejayaan dalam sukan membina maruah, kita harus berbangga dengan kejayaan kita ada. Sebab itu slogan kementerian ialah ‘Setinggi mana piala dijulang, tinggi lagi martabat dijunjung’.
Apa kaitannya?
Azalina: Bagi saya, kejayaan sukan ialah isu maruah dan martabat, seorang anak tulen Malaysia yang berjaya memberi keyakinan bahawa kita memiliki generasi muda dan sihat serta berkualiti. Ada juga atlet dunia menang kerana gunakan dadah larangan seperti steroid tetapi saya tidak mahu rakyat Malaysia yang menang kerana penipuan. Jika itu yang kita hendak sehingga tidak kisah apa kosnya, kita tidak akan tolak ansur. Kita lebih suka bermain dengan adil. Kita hendak yang terbaik di Beijing walaupun kita tahu China akan sapu bersih banyak emas. Badminton sudah tubuh satu jawatankuasa khas untuk mengintai kemampuan meraih emas Olimpik.
Kita masih terlalu bergantung kepada badminton, mengapa kita tidak mampu mencari sukan alternatif sebagai penyumbang pingat Olimpik?
Azalina: Mungkin dalam aspek wanita, peluang kita tetap ada untuk mendapat emas. Tetapi ini memakan masa yang lama kerana strategi penyediaan jenis sukan atlet itu. Kita juga menghadapi masalah apabila tidak ramai ibu bapa yang mahukan anak mereka mewakili negara. Anak Melayu dalam Sukan SEA hanya melibatkan diri dalam sukan tertentu. Bagi acara renang, mereka tiada galakan terutama wanita.
Bagaimana Datuk Seri melihat isu kegagalan memburu emas kerana ‘atlet lesu’?
Azalina: Nak tuduh atlet pun tak betul. Kelesuan isu yang banyak bukan sahaja daripada aspek masalah peribadi dalam persatuan mereka. Kesimpulannya ialah kita tidak boleh letak kegagalan dan tuduh mana-mana pihak atau persatuan. Kalau persatuan hebat pun, tetapi dia tidak mahu, akhirnya tidak berjaya juga.
Bagaimana dengan persatuan sukan? Adakah mereka masih kurang memberi kerjasama atau membelakangkan aktiviti anjuran kementerian?
Azalina: Tidak. Bagaimana pula persatuan boleh begitu kerana dalam persatuan juga ada wakil kita? Kita pun baru-baru ini sudah main peranan dalam isu kejurulatihan menerusi Lembaga Kejurulatihan Negara.
Jadi apa pula pendapat Datuk Seri tentang ini?
Azalina: Kita mahu setiap sekolah ada jurulatih sendiri yang dibawa daripada Lembaga Kejurulatihan Negara. Ini boleh menjadikan mereka tidak syok sendiri. Kita tidak mahu mereka ini hanya main bola di padang dan kemudian balik. Kita mahu kesan bakat mereka dan kembangkan. Ini tugas jurulatih itu.
Datuk Seri pernah sebut tentang mahu menghukum persatuan sukan yang cuai dan ada yang membelakangkan MSN dan MOM sehingga atlet tidak bertanding di Korat, bila agaknya?
Azalina: Biar kita selesaikan hari sambutan kejayaan kita minggu depan dahulu. Selepas itu baru kita nilai semula apa masalah yang ada atau mengapa ada yang masih tidak boleh menyerlah.
Bagaimana bentuk perbincangan atau hukuman yang mungkin dibuat?
Azalina: Kita tidak boleh hendak menilai atlet atau persatuan atas prestasi. Itu satu cabaran berat. Mereka seharusnya tidak terlalu bergantung kepada kerajaan sebaliknya menunjukkan kualiti kerja supaya ada pihak yang akan menaja. Kalau kita lihat di negara China, mereka akan bertindak dengan menghukum jika atlet mereka tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang.
Jadi, bagaimana kita mahu memungut emas di Olimpik tahun depan?
Azalina: Untuk mengintai emas Olimpik, Malaysia harus bersedia dengan beberapa perubahan, persediaan juga dibuat dari peringkat sekolah dan universiti. Kita mesti juga mengorbankan banyak prioriti kita mungkin dalam pendidikan yang menekankan akademik dan kemahuan ibu bapa.
Kita kena berani kerana perubahan yang dijalankan bagi menghadapi Doha dan Korat telah mencapai kemajuan antara 10 hingga 20 peratus.
Apa peranan kementerian dalam mempromosi sukan negara?
Azalina: Kita gunakan sukan di semua peringkat. Contohnya di sekolah kita ada Majlis Sukan Sekolah. Isunya kita bukan mahu perkenalkan atlet tetapi kita mahu keyakinan bahawa selepas masa gemilang atlet ini disayangi dan dibantu kerajaan. Saya yakin dalam lima atau 10 tahun akan datang kita dapat kualiti persatuan atlet yang dimahukan.