Oleh WAN MARZUKI WAN RAMLI
KEBERKESANAN penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris untuk subjek Matematik dan Sains masih belum dapat diukur dengan tepat walaupun keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007 menunjukkan peratusan tinggi calon yang memperoleh gred A,B,C dan D bagi kedua-dua subjek tersebut.
Justeru, kajian yang dijalankan Kementerian Pelajaran perlulah mengambil kira keberkesanan sistem itu secara keseluruhannya serta memperkasakan kaedah pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Ini kerana sebahagian besar calon masih terus menjawab soalan dalam bahasa Melayu sepenuhnya dan ramai juga menjawab soalan bercampur dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.
Namun begitu, keputusan untuk bahasa Inggeris masih mencatat prestasi terendah, berbanding pencapaian mata pelajaran lain, sama ada dari segi peratusan calon menguasai kemahiran itu pada peringkat A, B, C, D mahupun dari segi kualiti, iaitu bilangan calon mendapat gred A.
Daripada analisis yang diperkatakan oleh pelbagai pihak, kita tidak dapat menafikan kejayaan impak dari kaedah pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Namun dengan jumlah besar pelajar yang terus menjawab dalam bahasa Melayu dan bercampur dalam dwibahasa, maka secara umumnya para pelajar kita masih belum bersedia sepenuhnya untuk menjawab dalam bahasa Inggeris.
Apabila keputusan Bahasa Inggeris masih mencatat prestasi terendah, ini bermakna ramai di kalangan pelajar hanya mampu memahami istilah-istilah tertentu yang terdapat dalam subjek Sains dan Matematik.
Tetapi hakikat yang sebenarnya sebahagian besar pelajar masih belum dapat menguasai kemahiran berbahasa Inggeris yang betul kerana memahami aspek bahasa amat berbeza dengan menguasai makna dan istilah tertentu untuk dua subjek teras tersebut.
Pelajar yang menjawab dalam bahasa Inggeris masih boleh merujuk kefahaman daripada soalan dalam bahasa Melayu. Justeru, penggunaan dwibahasa untuk keseluruhan soalan peperiksaan wajar diteruskan kerana akan ada pengukuhan untuk menguasai istilah-istilah Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.
Bahasa Melayu perlu terus didaulatkan, manakala bahasa Inggeris pula mesti diperkasakan agar kemajuan bidang pendidikan global kini lahir dari dalam acuan sendiri seperti yang diungkapkan dalam Wawasan 2020, tetapi pelaksanaannya hendaklah sejajar dengan keyakinan yang dibentuk.
Sehubungan dengan itu, langkah bijak untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris hendaklah dirancang melalui proses pengajaran dan pembelajaran terhadap bahasa tersebut dan tidak hanya diimplementasi melalui pengajaran mata pelajaran lain.