DUNIA perfileman yang semakin canggih hari ini telah memberi ruang kepada ramai pengarah filem menampilkan pelbagai pembaharuan untuk menarik perhatian para penonton berkunjung ke pawagam.
Namun, berlainan pula halnya dengan Mamat Khalid yang menampilkan elemen-elemen lama termasuklah mengarahkan sebuah filem hitam putih berjudul Kala Bulan Mengambang.
Padahal, difahamkan penerbitan filem hitam putih menelan kos yang lebih tinggi berbanding filem warna.
Malah, ada yang beranggapan pendekatan Mamat itu bakal berdepan dengan beberapa risiko termasuklah penerimaan para penonton terhadap filem yang kelihatan seperti tahun 1950-an.
Wartawan ABD. AZIZ ITAR sempat menemu bual Mamat Khalid bagi mengetahui tujuannya menghasilkan filem terbaru terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. yang menelan kos RM1.5 juta dalam bentuk hitam putih. Ikuti temu bual tentang filem lakonan Rosyam Nor itu yang akan ditayangkan mulai 10 Januari ini.
MEGA: Adakah anda yakin filem Kala Bulan Mengambang yang dibuat dalam konsep hitam putih dengan latar masa tahun 1950-an itu dapat diterima oleh generasi muda hari ini?
MAMAT KHALID: Mengapa tidak? Selama ini pun, ramai penonton hari ini yang sudah biasa menonton filem-filem hitam putih dari era tahun 1950-an yang masih ditayangkan di kaca-kaca TV. Mereka (golongan muda) bukannya langsung tidak tahu tentang filem hitam putih. Cuma bezanya kali ini, mereka menonton filem hitam putih Kala Bulan Mengambang bukannya di kaca TV tetapi di skrin lebar. Inilah tarikannya.
Mengapa anda mengarahkan filem hitam putih biarpun kosnya lebih mahal daripada filem warna?
Saya tidak nafikan kos filem hitam putih lebih mahal daripada filem warna kerana stoknya tidak dijual di sini. Ini kerana, tidak ada penerbit yang mahu menerbitkan filem hitam putih. Sebab itu kami terpaksa menempah dan membeli filem hitam putih terus dari Amerika Syarikat. Kami memesan dan membeli filem hitam putih itu melalui e-mel di mana proses penghantarannya hanya sampai melalui pos sekitar lima hingga enam hari.
Sebagai filem Melayu pertama yang akan ditayangkan pada 2008, apakah signifikannya Kala Bulan Mengambang dalam industri perfileman tempatan?
Saya bangga kerana filem ini menjadi filem tempatan pembuka tirai untuk tahun 2008. Ia menggambarkan tahun ini bakal menjadi tahun yang akan mempelbagaikan lagi genre dan konsep dalam filem-filem Melayu. Saya difahamkan banyak filem tempatan yang unik dan menarik yang akan ditayangkan pada tahun ini. Contohnya filem Jarum Halus arahan Mark Tan yang mengetengahkan pengarah bukan Melayu. Begitu juga dengan filem Antoo Fighter yang banyak menggunakan teknik CGI (imej janaan komputer). Saya harap kelainan Kala Bulan Mengambang akan mencetuskan lebih banyak kelainan pada filem-filem tempatan seterusnya. Begitu juga dengan filem seperti Duyung, Dunia Baru The Movie, Cuci dan Akhirat yang juga akan ditayangkan pada tahun ini. Apatah lagi, Kala Bulan Mengambang merupakan filem hitam putih pertama selepas 33 tahun diterbitkan dalam dunia perfileman tempatan.
Sesuaikah karakter para pelakon yang diketengahkan menerusi filem ini?
Semua pelakon dalam filem ini bukan sahaja sesuai melakonkan watak masing-masing tetapi mereka juga benar-benar berbakat dan sudah ada nama seperti Rosyam Nor. Tetapi kami tidak nafikan terpaksa mengadakan uji bakat selama dua bulan bagi mencari barisan pelakon yang sesuai daripada segi raut wajah, suara, dialog dan kostum supaya ia benar-benar nampak seperti filem era tahun 1950-an. Setakat ini saya puas hati kerana matlamat filem ini iaitu untuk menjadikannya sebagai suatu penghargaan kepada filem-filem serta pengarah lama seperti Husin Hanif, Salleh Ghani, M. Amin, Mat Sentul dan sebagainya.
Akhir sekali, apakah harapan anda terhadap Kala Bulan Mengambang?
Saya harap filem ini akan menarik perhatian ramai peminat filem Melayu. Selain mampu mencetuskan nostalgia, filem ini juga merupakan salah satu cara kita meraikan penghargaan kita kepada zaman dunia perfileman hitam putih yang pernah melalui zaman kegemilangannya sendiri suatu ketika dulu.