Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 Januari 2008

Emas terus jadi buruan manusia


Oleh HAMDAN AHMAD

EMAS merupakan permata berharga yang kebanyakan daripada kita sudah tentu mengidam ingin memilikinya jika berpeluang terutama sekali kaum Hawa.

Dari zaman dahulu lagi, emas menjadi idaman ramai orang kerana dengan memiliki atau memakainya ia dianggap boleh membawa imej fizikal dan dapat memberi kepuasan kepada individu terlibat.

Dari segi ekonomi, kehadiran lombong emas sudah tentu dapat meningkatkan hasil ekonomi dan pendapatan penduduk sesebuah negara. Bukan semua negara di dunia ada lombong emas. Di negara kita emas tidak sebanyak mana kalau dibandingkan dengan negara-negara di Afrika Selatan dan tempat- tempat lain di dunia.

Sedikit masa dahulu di Terengganu dan yang terbaru di pantai Mersing, Johor segelintir rakyat berpusu-pusu ke sana mencuba nasib untuk mendulang emas. Ada yang datang dari jauh seperti Kelantan semata-mata ingin mendapatkan emas yang boleh dijual dan dijadikan mata pencarian.

Segelintir merupakan pendulang tegar tetapi kebanyakan daripada mereka sekadar ingin mencuba kalau-kalau emas boleh diperoleh – dapat sedikit pun jadilah. Emas juga dikaitkan dengan kehidupan harian seperti yang tersebut dalam peribahasa dan perumpamaan Melayu kita, antaranya berbunyi seperti, ‘Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri kita; elok lagi negeri kita’; ‘Lombong emas’; ' Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati’ dan sebagainya.

Maka emas sudah semacam sinonim dengan kehidupan manusia dan ia penting dan terus dicari dan diburu manusia sampai bila-bila masa. Bahkan negara yang mempunyai rizab emasnya yang banyak dikatakan akan menjadi stabil dan tidak akan muflis serta-merta. Kalau orang biasa bersusah payah mendulang emas bagi mendapatkan beberapa miligram logam berharga itu, bagi ahli sukan pula ia juga mempunyai harapan yang sama cuba sedaya upaya ingin memilikinya.

Ahli sukan yang berjaya memungut pingat emas di kejohanan sukan akan mendapat pulangan lumayan atas prestasi cemerlang yang dicapai. Lagi tinggi taraf dan berprestij sesuatu kejohanan seperti Olimpik, maka imbuhan dan hadiah yang diperoleh oleh atlet akan lebih lumayan lagi. Memperoleh pingat emas di Sukan SEA, Korat Thailand boleh dianggap sebagai suatu permulaan yang baik sebagai lonjakan emas di kejohanan yang lebih besar.

Seorang atlet akan diberi ganjaran oleh kerajaan sebanyak RM80,000 dan juga bayaran pencen seumur hidup sebanyak RM3,000 sebulan jika dapat pingat emas di Sukan Olimpik. Itu kadar sekarang, kemungkinan kadar tersebut akan meningkat dua kali ganda di masa hadapan.

Tidakkah itu sesuatu yang mampu memberi kepuasan yang tidak terhingga dan menjadi faktor pendorong untuk atlet maju ke hadapan. Itu jika menang satu emas Olimpik, bagaimana pula kalau ia lebih daripada satu?

Sasaran

Dahulu sukan dilihat lebih kepada mengambil bahagian dan individu akan merasa megah apabila dapat mewakili negara. Sekarang matlamat tersebut masih lagi kekal tetapi diteruskan dengan sasaran yang lebih tinggi iaitu untuk memenangi sebanyak emas di kejohanan berprestij kerana pulangannya sudah tentu lebih lumayan.

Maka tidak hairanlah ada di kalangan ibu bapa yang sanggup berbelanja beribu- ribu ringgit semata-mata ingin membantu anaknya berjaya dalam sukan yang diminatinya kerana mereka percaya sukan dapat memberikan harapan dan masa depan yang cerah bagi kerjaya anaknya.

Anak-anak yang mempunyai bakat serendah enam tahun akan digilap bakatnya oleh ibu bapa untuk melihat anak tadi menjadi ahli sukan berjaya suatu hari nanti. Itulah pengorbanan yang dipikul oleh ibu bapa yang serius akan masa depan anaknya dan ibu bapa sedemikian tidak ramai.

Lihat sahaja, pemain golf terkenal dunia, Tiger Woods yang dididik oleh bapanya bermain golf ketika berumur 10 tahun. Beliau mula memegang kayu golf ayahnya ketika berumur 3 tahun.

Oleh itu, emas yang diperoleh oleh pendulang emas dan atlet itu sama sahaja statusnya. Cuma cara memperolehnya agak berbeza. Namun begitu, kedua-duanya masih lagi menggunakan keringat tenaga.

Selagi emas gagal didapati, ia akan terus diburu oleh manusia kerana impaknya kepada kehidupan individu boleh memberi perbezaan ketara. Hanya individu yang dapat mengenali apa itu emas secara dekat akan terus memburunya tanpa henti-henti kerana emas yang diperoleh mampu menukar corak kehidupan seseorang kepada yang lebih baik.

Sudah tentu tanpa usaha gigih, seorang individu mungkin tidak berpeluang memperoleh emas secara zahir, lebih teruk lagi apabila pancaran kilauannya mungkin juga gagal dilihat.