Oleh M. JASNI MAJED
INSTITUSI pendidikan di negara kita sangat-sangat mengharapkan agar semua kaum di negara ini dapat hidup aman damai dan hidup bekerjasama serta saling membantu antara satu dengan yang lain supaya keamanan yang kita kecapi setelah memperoleh kemerdekaan dahulu dapat dipertahankan selama-lamanya.
Penekanan nilai-nilai murni dalam beberapa subjek di sekolah tidak kira sekolah rendah atau menengah sebenarnya merupakan satu persediaan ke arah membentuk masyarakat yang berbudi, berjasa, menghormati, rajin, gigih dan segala aspek positif lain yang perlu ada dalam diri seseorang mahupun kumpulan masyarakat.
Semua ini jika difahami dan diamalkan, tidak akan menimbulkan sebarang masalah. Tidak akan terjadi sesuatu yang tidak diingini apatah lagi insiden yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
Tidak mustahil akan ada rasa tidak puas hati di kalangan penduduk disebabkan sesuatu perkara. Bukan mudah mengendalikan hidup tetapi agak malang jika kekurangan itu sebenarnya berpunca daripada diri kita sendiri.
Keamanan berkait rapat dengan ekonomi sesebuah negara. Jika negara tidak aman, ekonomi akan turut tersungkur. Kita akan susah mencari rezeki kerana asyik memikirkan ketidaktentuan dalam urusan pentadbiran negara.
Jika negara tidak aman, tentulah pandangan negatif akan dihalakan ke arah kita. Bagaimana kita hendak membentuk negara kita sebagai negara yang disegani atau menjadi ‘rumah kedua’ bagi orang luar jika di dalam negara kita sendiri berlaku pelbagai masalah yang tidak kita senangi.
Dalam al-Quran, antara lain telah disebutkan bahawa Allah telah mencipta manusia ini berbagai-bagai bangsa, suku dan kaum. Tugas pelbagai kaum dan suku ini bukannya untuk bertelagah tetapi untuk kenal-mengenal antara satu kaum dengan kaum yang lain.
Hormat-menghormati antara kaum akan dapat mewujudkan suasana yang aman dan mudahlah setiap kaum mencari rezeki mengikut landasan dan kemampuan masing-masing.
Jika kita imbau sejarah lampau, terutamanya seperti yang terdapat teks Sejarah Melayu [Sulalatus Salatin], bukankah huru-hara dan kelemahan dalam pentadbiran telah menyebabkan Melaka didatangi oleh orang luar. Kelemahan-kelemahan tersebut sebenarnya berpunca daripada penduduk Melaka yang tidak menghormati undang-undang yang telah digariskan.
Berlakulah fitnah, tuduh-menuduh dan pelbagai unsur negatif lain yang akhirnya membawa kepada campur tangan orang luar. Kita sebagai rakyat yang cinta akan keamanan mestilah berusaha sedaya-upaya supaya sejarah hitam zaman lampau tidak berulang lagi.