Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 Januari 2008

Mahu istilah bahasa Melayu kekal


MELAKA 2 Jan. – Lembaga Bahasa Melayu Melaka (LBM) meminta penggunaan dan istilah bahasa Melayu dikekalkan dan tidak diubah menjadi bahasa Malaysia.

Ketua Satu LBM, Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, usul itu telah diluluskan pada Mesyuarat Agung ke-46 LBM di sini, semalam.

Menurutnya, usaha itu sejajar dengan peruntukan dalam Perkara 152 Perlembagaan Negara iaitu bahasa Melayu adalah bahasa Kebangsaan.

“LBM sebagai pertubuhan yang antara lain berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu bersetuju dan mahukan supaya istilahnya kekal sebagai bahasa Melayu dan bukannya bahasa Malaysia,” katanya.

Abdul Latiff memberitahu, dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam konteks tamadun dunia, istilah itu seharusnya dikekalkan kerana ia akan membentuk jati diri rakyat negara ini.

“Bagi usul kedua pula, LBM meminta dan mendesak supaya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mengembalikan semula pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu,” katanya.

Jelasnya, dalam usaha menjadikan rakyat negara ini menjadi masyarakat maju, pengajaran bahasa Melayu dalam mata pelajaran tersebut adalah perlu untuk memastikan kemajuan dapat dicapai.

“Kita perlu melihat kelemahan dalam pengajaran bahasa Inggeris dalam sudut yang positif iaitu jika kelemahan bahasa Inggeris berlaku, sistem pembelajaran dan pengajaran mata pelajaran itu haruslah diperkukuhkan.

“Kita tidak mahu kerana mata pelajaran bahasa Inggeris lemah, lantas kita menjadikan mata pelajaran Matematik dan Sains sebagai mangsa iaitu dengan pengajarannya dijalankan dalam bahasa Inggeris,” ujarnya.

Ekoran dengan keadaan itu juga, katanya, keputusan mata pelajaran terbabit merosot dan tindakan sedemikian tidak kena pada tempatnya dalam usaha mengangkasakan tamadun bangsa.

“Kita juga berharap Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan diberi sedikit 'kuasa' dalam memartabat dan menguatkuasakan isu bahasa ini,” katanya.