Oleh: AZMAN ISMAIL
PERBINCANGAN kesusasteraan Malaysia sepanjang tahun ini ternyata tidak cukup hanya berkisar kepada perkembangan dan jatuh bangun karya-karya itu sendiri.
Ada yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Terdapat aspek yang cukup penting sebagai medium untuk menghampiri dan mengupas sesebuah karya iaitu bidang kritikan.
Bidang ini menjadi wilayah perbincangan yang cukup menarik untuk diperkatakan. Dan sepanjang tahun ini, fenomena kritik menjadi sebuah krisis dalam perkembangan sastera tanah air.
Malah, oleh banyak pihak diasumsikan lebih jauh, bahawa sepanjang 2007 sesungguhnya tidak ada krisis sastera itu tetapi polemik untuk kritikan sastera yang masih belum menampakkan titik akhirnya.
Jika persoalan ini mempunyai kebenarannya, kesusasteraan Malaysia ternyata masih gagal memelaskan diri daripada persoalan lama, iaitu mewujudkan teori kritikan yang benar-benar mendunia sifatnya.
Masalah teori kritikan sastera tempatan yang masih belum matang bukanlah persoalan baru yang terdengar. Hal ini seringkali juga menjangkau pandangan tentang tidak adanya tokoh pengkritik dianggap benar-benar berwibawa. Kalau pun pandangan kritikannya tajam, jiwanya tumpul!
Malah, teori-teori tempatan tidak diaplikasikan dalam bentuk buku sebagai medium rujukan oleh para ‘pengikutnya’. Ia sama sekali berbeza dengan teori-teori kritikan barat.
Tidak dinafikan ada pencetus teori kritikan sastera tempatan seperti Mana Sikana yang cukup rajin menghasilkan buku mengenai teori gagasannya, teksdealisme dan pengaplikasiannya dalam kritikan.
Sebahagian besar buku teori sastera yang beredar di Malaysia pada umumnya ditulis oleh penulis asing dan tentang teori sastera Barat. Orang Malaysia pada umumnya baru sampai pada tahap menjadi penterjemah.
Sebagai contoh buku Rene Wellek dan Austin Warren (1949) Theory of Literature (diterjemahkan menjadi Teori Kesusastraan), buku Raman Selden (1985), A Reader’s Guide to Contemporary Literary Theory diterjemahkan sebagai Teori Sastera Masa Kini.
Buku Raman Selden, Practicing Theory and Reading Literature: An Introduction (1989) turut diterjemahkan oleh Dewan bahasa dan Pustaka (DBP). Ia dianggap suatu karya yang cukup baik sebagai pengantar teori-teori kritikan Barat.
Selain itu, para pengkritik dan pembaca tempatan turut didedahkan dengan karya-karya terjemahan ke bahasa Indonesia seperti buku A. Teeuw (1984) Sastera dan Ilmu Sastera: Pengantar Teori Sastera.
Karya tersebut misalnya, cuba merumuskan dan memberi penjelasan secara menyeluruh tentang teori sastera - sastera Barat dari perspektif yang berbeza.
Usaha untuk mentransformasi teori-teori sastera Barat yang berorientasikan teori pendekatan M.H Abrams – meliputi ekspresif, objektif, mimesis dan pragmatik berdasarkan teori komunikasi linguistik Roman Jakobson dapat ditemukan dalam karya iti.
Sarjana seperti Mana Sikana dalam beberapa tulisan mutakhirnya mengupas kedudukan teori Abrams dan Jakobson tersebut dengan begitu baik. Ia meliputi pengenalan serta penerapan romantik, Marxis, formalistik, strukturalistik dan orientasi pembaca.
Beliau membezakan sastera kedua kepada dua aspek iaitu kreativiti penciptaan (puisi, novel, cerpen dan naskhah drama) manakala ruang kajian sastera adalah ilmu (teori, kritikan dan sejarah sastera) dengan karya kreatif sebagai objeknya.
Mana Sikana juga turut menjelajah ke dalam teori kritikan sastera mutakhir Barat seperti kritikan sastra baru (new criticism) termasuk aliran posmoden seperti teori feminisme dan gay.
Usaha beliau tersebut sangat penting pada suatu sisi untuk memperkenalkan teori-teori yang muncul sezaman dengan kritikan sastera baru. Ini kerana bersamaan dengan aliran itu lahir pula mazhab baru formalisme Rusia yang lebih berorientasi pada bentuk (form) dengan titik utama kajian ialah pada narasi atau cerita.
Formalisme Rusia inilah yang menjadi pencetus strukturalisme Prague. Selain berorientasi pada bentuk, mereka juga menganggap pentingnya autonomi karya sastera.
Strukturalisme tersebut akhirnya berkembang pesat dalam pelbagai disiplin seperti linguistik, sastera, antropologi, mitologi, sejarah dan psikologi. Ia turut memasuki dunia falsafah terutama dengan aliran fenomenologi dan hermeneutik.
Dalam pada itu, sepanjang tahun 2007, DBP dianggap paling aktif menganjurkan pelbagai seminar dengan Seminar Pemikiran Shahnon Ahmad (November) dan Seminar Majlis Sastera Asia Tenggara -Mastera (Disember) sebagai penutup.
Sebelum itu, pelbagai seminar berkaitan sastera dan bahasa turut dianjurkan. Namun, agak malang tidak ada satu kolokium, wacana atau forum khusus pun yang memperkatakan teori-teori kritikan tempatan.
Sebahagian besar kertas kerja mengenai sastera tempatan dalam seminar-seminar sepanjang 2007 hanya menerapkan teori-teori Barat. Pada hal cukup ‘banyak’ teori tempatan dihasilkan.
Sejak teori Takmilah (Shafie Abu Bakar), Puitika Melayu (Muhammad Salleh), Rasa-Fenomenologi (Sohaimi Abdul Aziz hingga terbaru, Konseptual Kata Kunci (Mohamad Mokhtar Abu Hassan) tidak pernah diperkatakan secara tuntas.
Selain itu, walaupun beberapa teori kritikan tempatan diutarakan, tidak ada susulan oleh para ‘penciptanya’. Mereka sekadar menerapkan dalam kajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah atau Sarjana dan mungkin digunakan dalam seminar-semionar tempatan.
Penerbitan buku atau kajian ilmiah khusus mengenai teori-teori tersebut tidak ada. Ia sama sekali berbeza dengan gagasan pengkritik Barat yang diterbitkan dalam bentuk tulisan ilmiah.
Oleh itu, para sarjana dan pengkritik sastera yang mencetuskan teori kritikan tidak boleh menyalahkan teori-teori Barat jika ia menguasai kritikan sastera tempatan. Ini kerana mereka melontarkan segala idea mereka secara tuntas dan lengkap.
Berbanding dengan sarjana-sarjana tempatan (sebahagian) yang hanya tahu melontar teori tetapi tidak pernah berusaha memperkasakan gagasan mereka itu dalam bentuk atau cara yang sewajarnya.
Teori sastera merupakan salah satu bahagian daripada tiga bidang kajian selain sejarah sastera dan kritikan sastera. Ketiga-tiganya saling berkaitan erat. Pemahaman sastera melalui teori akan sangat mempengaruhi penguasaan sejarah dan kritikan.
Peranan buku teori sebagai sebuah gagasan pemikiran dan wacana kritikan seseorang sangat perlu. Kekuatan sesebuah teori Barat sangat dipengaruji oleh penulisan.
Tanpa buku bukanlah jalan termudah untuk memahami konsep teori sastera dalam kaitannya dengan sastera Malaysia dan hanya menunjukkkan sarjana yang ‘tumpul’ jiwanya.
Ada keluhan, jabatan-jabatan sastera mandul dan tidak banyak melahirkan intelektual yang benar-benar menguasai teori, penulisan serta sejarah sastera. Majoriti pensyarah adalah sarjana yang ‘ketakutan’ menghadapi teori.
Tidak ada dialog dan kritikan, teori pun dimitoskan. Bila ada, kritikan lebih banyak memperkatakan aspek formaliti, iaitu struktur asal bahasa dalam sesebuah karya hingga menenggelamkan erti sesebuah teks. Padahal kritikan yang baik mesti mampu menjangkaui ke dalam struktur batin penulisnya.
Sebenarya bidang kritikan telah menjadi agenda dan pokok perbahasan besar para sarjana tempatan sejak 1980-an. Banyak pengkaji sastera mengemukakan cadangan supaya bidang tersebut keluar daripada kepompong teori Barat.
Namun, hanya selepas 1990-an baru lahir teori Takmilah oleh Shafie Abu Bakar dan beberapa lagi selepasnya. Tetapi percaya atau tidak, kita masih lagi terpenjara dalam teori-teori Barat hingga kini. Alasannya cukup mudah - ia berkaitan dengan sikap dan tidak ada keyakinan sarjana tempatan terhadap teori tempatan.
Krisis kritikan sastera hari ini masih merupakan persoalan yang sangat rumit dan kompleks apabila para pengkritik juga sebenarnya sedang berhadapan dengan hegemoni karya.
Kritikan sastera di Malaysia juga menjadi sesuatu yang ketinggalan disebabkan kekurangan karya-karya yang menarik, baik dan benar-benar memikul tanggungjawab sastera sebagaimana pernah ditonjolkan oleh Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Azizi Abdullah dan lain-lain.
Karya-karya serius di Malaysia hari ini sedang berhadapan dengan hegemoni sastera picisan yang lebih mempunyai tempat dan khalayak serta penerbit dengan alasan komersial.
Tanpa disedari oleh banyak pihak, persoalan inilah yang paling mewarnai sastera Malaysia sepanjang 2007. Ketiadaan karya-karya serius yang baik menyebabkan karya picisan berjaya merebut hegemoni dengan paparan ‘estetika’ hingga memojokkan karya serius.
Oleh itu, semoga 2008 akan menjadi tahun untuk para pengkritik dan penerbit untuk mewadahi semua hasil pemikiran dan gagasan kritikan dengan lebih tersusun.