Oleh Diyanah Anuar
Pencarian membawa Radzi jauh berkelana
SIAPA sangka, seorang yang sebelum ini hidup ala kebaratan sanggup mengubah gaya hidup moden dan pemikiran berlandaskan sains dan matematik demi mengembara mencari dirinya yang sebenar.
Ijazah dalam bidang matematik dari universiti luar negara serta kerjaya sebagai wartawan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mungkin sudah cukup stabil pada pandangan sesetengah orang namun ia tidak memberi kebahagiaan pada diri Mohd Fahrulradzi Mohamad Sapiee yang lebih dikenali sebagai Radzi.
Ketika remaja, beliau seperti kebanyakan rakan seusianya yang mengejar cita-cita untuk menyambung pengajian di luar negara. Namun, selepas mengecap impian itu, timbul pula pertanyaan dalam dirinya sama ada apa yang beliau lakukan itu adalah apa yang benar-benar beliau inginkan.
Sejak itu, minat terhadap pengajian yang diikutinya itu kian berkurangan namun beliau tetap berusaha menamatkannya memperoleh ijazah.
Sebelum pulang ke tanah air, beliau mengikut gerak hatinya yang 'menggesa' beliau untuk keluar mengembara.
"Beberapa bulan saya tidak mempunyai rumah untuk didiami dan mengembara sekitar Eropah dengan menumpang kenderaan orang," kata Radzi.
Pulang ke tanah air, beliau masih tidak mempunyai sebarang perancangan mengenai kerjaya yang ingin diceburinya.
"Sehinggalah saya sampai ke sebuah syarikat penerbitan akhbar dan kebetulan ada jawatan kosong sebagai wartawan yang ada ketika itu.
"Walaupun tidak mempunyai latar belakang kewartawanan, saya tetap menerima jawatan berkenaan. Lagipun, kerjaya ini memberi peluang untuk saya keluar ke sana-sini, sesuai dengan sifat saya yang suka mengembara ini," katanya.
Bagaimanapun, pada satu peringkat, berlaku beberapa peristiwa terhadap diri beliau. Selepas beliau amati, apa yang beliau alami itu secara tidak langsung ada berkaitan dengan peristiwa besar yang berlaku di dunia pada masa itu.
"Didorong perasaan ingin tahu yang begitu tinggi dan ditambah pula dengan kesukaran untuk memberi tumpuan terhadap kerjaya, selepas lima tahun bertugas, saya nekad meletak jawatan dan memulakan langkah mengembara bagi merungkai perkara yang sering berlegar di fikiran saya itu.
"Semua ini sebenarnya bermula sejak usia saya sekitar 18 tahun yang mana saya mempunyai kecenderungan untuk membaca kitab tasawuf dan hikayat lama, antaranya karya Hamzah Fansuri serta membaca buku falsafah dan buku yang membincangkan perbandingan agam.
"Setiap kali membaca karya sebegini, wujud suatu perasaan dan dorongan yang sukar untuk saya tafsirkan.
"Lalu, saya mengambil langkah untuk mencari jawapan untuk semua persoalan yang wujud. Saya mulakan dengan mencari diri saya terlebih dulu dengan menjejak salasilah keturunan saya," kata Radzi.
Dalam proses menjejaki susur galur keluarganya, beliau banyak menghabiskan masa di perpustakaan selain bertanya kepada kepada ahli keluarga serta mereka yang berkenaan. Pencariannya itu juga membawa beliau sehingga ke Acheh dan juga Mekah.
Sememangnya banyak cabaran yang terpaksa beliau hadapi. Antaranya tekanan kerana tiada sumber pendapatan, konflik dengan ahli keluarga yang pada waktu itu tidak memahami apa yang dilakukan, perpisahan dengan isteri dan anak-anak dan tidak kurang juga pandangan serong yang diberikan masyarakat terhadap beliau.
"Beberapa tahun mencari dan mengembara, dapat saya katakan, hampir 90 peratus persoalan yang selama ini membelenggu fikiran saya sudah pun. Perjalanan ini juga banyak merubah sikap dan pada masa yang sama, membuatkan saya lebih banyak berfikir mengenai kejadian dan kehidupan. Nyata, semua kejadian dan hal di dunia ini berkaitan dengan hubungan kita dengan Allah Maha Pencipta.
"Kini juga saya sudah tahu di mana hendak diletakkan 'kedudukan' Al-Quran dan di mana pula 'kedudukan' sains dalam memikir dan membincangkan sesuatu perkara," akhiri beliau.
Pengalaman berkelana Radzi ini turut dikongsinya dalam siri buku tulisannya berjudul Berpetualang Ke Aceh; 'Mencari Diri dan Erti', 'Membela Syiar yang Asal' dan 'Sirih Pulang ke Gagang'.
Segala cabaran yang dilalui dinukilkan kembali dalam bentuk fiksyen bercampur travel-log. Malah pengembaraannya itu turut menemukan banyak cerita lama bangsa Melayu termasuklah kesultanan zaman dulu yang tidak pernah dikisahkan. Maklumat lanjut boleh diperoleh dari laman blog berpetualangkeaceh.blogspot.com
Profil
Nama: Mohd Fahrulradzi Mohamad Sapiee
Tarikh lahir: 26 November 1970
Tempat lahir: Muar, Johor
Pendidikan: University College of London (Bsc Mathemathics 1991-1995)
Hobi: Membaca, menulis, mengembara, mendengar dan bermain muzik.
Pengalaman kembara: