Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

05 Januari 2008

Pengorbanan tak ternilai


Oleh Mohd Feroz Abu Bakar


MESRA: Fazlurrahman (dua dari kanan) berbual dengan Mohd Jamal yang putus kaki kanan akibat terkena jerangkap samar ketika operasi pada 1975.

64 bekas anggota tentera hilang upaya akibat cedera ketika operasi, latihan terima bantuan kebajikan

BUNYI letupan kuat. Kaki kanan seorang perajurit hancur hingga ke paras lutut, manakala kaki kirinya luka teruk.

Anggota lain terus bersedia untuk menyerang balas tetapi selepas beberapa minit, mereka menyedari bahawa letupan bukannya daripada serangan hendap.


Sebaliknya, seorang perajurit terpijak jerangkap samar.

Lalu, anggota berkenaan diusung keluar dari hutan tebal berhampiran sempadan untuk mendapat rawatan kecemasan di hospital dan perjalanan mengambil masa kira-kira sejam.

Keadaan berkenaan bukanlah rekaan, sebaliknya kejadian yang berlaku kira-kira 32 tahun lalu. Peristiwa pada 9 April 1975 dan berlaku di hutan berhampiran Empangan Temenggor, Grik, Perak itu adalah apa yang dialami Lans Korporal Mohd Jamal Abd Rahman, dari Skuadron Jurutera Diraja sewaktu menyertai rondaan bersama Rejimen Askar Melayu Diraja.

TURUT HADIR: Mohd Saat bersama isteri dan anak pada majlis meraikan bekas anggota tentera yang cedera ketika bertugas di Ipoh, baru-baru ini.

Rondaan berkenaan adalah sebahagian daripada Operasi Kota, iaitu gerakan besar-besaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula sejak 1968 bagi menyekat penyusupan pengganas komunis di utara Semenanjung.

Mohd Jamal yang ketika itu berusia 21 tahun bersama tiga lagi rakannya yang menyertai rondaan itu mempunyai kepakaran dalam mengesan dan memusnahkan bom.

"Kami berjalan dalam satu baris dengan jarak kira-kira dua meter dengan anggota di depan bersedia mengesan jerangkap samar bagi mengelakkan kecederaan pada semua anggota jika berlaku letupan.

"Tetapi, pada jam 6.55 petang, anggota yang berada di depan sekali terpijak suis jerangkap samar dan saya yang berada pada kedudukan keempat dalam barisan, betul-betul bersebelahan bahan peletup.

"Dalam satu saat saja, kaki kanan saya hancur hingga paras lutut dan saya terkulai dalam lubang kira-kira satu meter akibat letupan berkenaan," katanya ketika ditemui di Ipoh, baru-baru ini.

Mohd Jamal diterbangkan dari Grik ke Ipoh dengan helikopter Alouette bagi mendapat rawatan di Hospital Ipoh.

Kaki kanannya yang hancur terpaksa dipotong hingga ke paras paha bagi mengelakkan keracunan akibat radioaktif daripada jerangkap samar.

Kaki kirinya luka teruk hingga ke paras lutut tetapi berjaya pulih.

Dia terlantar di Hospital Ipoh lebih tiga tahun bagi membina semula tulang kaki kiri itu dan berlatih menggunakan kaki palsu bagi kaki kanan.

Mengingati semula tragedi berkenaan, Mohd Jamal berkata, komunis sudah mengubah suai jerangkap samar menyebabkan baterinya gagal dikesan oleh peralatan yang digunakan ATM.

Katanya, komunis biasanya membalut bateri jerangkap samar dengan empat lapisan bermula dengan kertas surat akhbar, diikuti plastik dan tar sebelum ditanam dalam tanah.

Mohd Jamal yang mendirikan rumah tangga dengan Arifah Ismail pada 1977, kemudian bertugas dalam Kor Jurutera hingga bersara pada 1993.

Kini, pada usia 54 tahun, beliau mengharungi hari-hari persaraannya di Kampar, Perak dengan menghabiskan masa bersama isteri, dua anak lelaki dan seorang anak perempuan yang sudah berkahwin.

Mohd Jamal bersama 64 bekas anggota tentera yang cedera ketika operasi atau latihan menerima bantuan kebajikan daripada Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Fazlurrahman Mohamad Irfan pada satu majlis khas yang diadakan di Ipoh, baru-baru ini.

Seorang lagi penerima bantuan kebajikan tahunan itu ialah Mohd Saat Khamis, 44, yang menyertai rondaan membanteras pengganas komunis berhampiran Gubir di sempadan Malaysia-Thailand, dalam negeri Kedah.

Rondaan Mohd Saat juga sebahagian daripada Ops Kota kerana kawasan sempadan sebelah utara Semenanjung dianggap kawasan hitam oleh ATM hinggalah Parti Komunis Malaya menandatangani perjanjian meletak senjata di Hadyai pada 1989.

Ketika peristiwa pada 1986 itu, pasukan Mohd Saat dengan kira-kira 20 anggota sedang membawa keluar dua anggota yang tercedera kerana diserang hendap oleh pengganas komunis, pada sebelah paginya.

Dalam perjalanan keluar dari hutan menuju Sik, beliau yang ketika itu berpangkat prebet terpijak jerangkap samar mengakibatkan kaki kanannya putus.

"Sewaktu diserang hendap sebelah pagi, kami pada hari ke-15 rondaan di lokasi tidak sampai satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

"Selepas serang hendap, kami berpecah dalam dua kumpulan untuk membawa keluar dua anggota yang cedera akibat serangan pada sebelah pagi.

"Dalam perjalanan pulang kira-kira jam 5 petang, saya terpijak jerangkap samar lalu dibawa ke Sik sebelum diterbangkan ke Hospital Pulau Pinang," katanya yang bersara sebagai korporal pada 2003.

Mohd Saat kini meneruskan kehidupan dengan mengusahakan kedai makan di rumahnya di Taman Saujana Jaya, Taiping bersama isteri, Hasnah Kesah, 44.