Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

06 Januari 2008

Nilai pampasan macam daun kering


Oleh Mohd Azrone Sarabatin


KUBU bawah tanah tempat penduduk Kampung Bolong, Tuaran bersembunyi ketika perang, terhakis oleh pembesaran semula jadi Sungai Labuaya.

Tentera Bersekutu bayar 15 yen sebagai pampasan kematian empat sekeluarga yang dibedil bom ketika Perang Dunia Kedua

HANYA 15 Yen atau sama nilainya dengan sehelai daun kering menjadi pampasan kematian empat sekeluarga pada 4 Julai 1945 ketika meletusnya Perang Dunia Kedua.

Ketika itu, mata wang Jepun tidak diiktiraf dunia dan jika nilai tukaran wang semasa di pasaran antarabangsa menjadi ukuran, 15 Yen Jepun sekadar mencecah 50 sen.


Justeru, Alias Latiah, 90, yang kehilangan orang tersayang selepas dibedil tentera Bersekutu diketuai British dan Amerika Syarikat, membuang wang pampasan itu yang dianggap tidak lebih daripada penghinaan terhadap negara.

Bukan tidak boleh digunakan untuk membeli walau sebutir beras, namun kepiluan akibat kehilangan orang tersayang tiada galang-gantinya dengan apa nilai sekalipun, selain ketegasan beliau berpegang kepada prinsip maruah keluarga perlu diletak pada kedudukan tertinggi.

Dalam perjalanan pulang dari Pejabat Pentadbiran British di pekan Tuaran sekitar hujung Julai 1945, terdetik pada hati kecilnya betapa murah nilai nyawa rakyat tempatan bagi tentera Bersekutu.


Dengan segala kudrat, Alias menyeka air mata mengenang nasib rakyat Borneo Utara (kemudian dikenali Sabah) dipersenda dan diaibkan seolah-olah pengemis di bumi sendiri.

Agak menghairankan juga apabila tentera Bersekutu membayar pampasan dalam mata wang Jepun sedangkan urus niaga mata wang dunia ketika itu ialah pound sterling atau dolar.

Empat ahli keluarga Alias yang terkorban adalah isterinya, Kolam Mintai; ibunya, Jatiah Jamri; anaknya, Maarof dan adik tirinya, Enah Pangkalan.

"Perut ibu saya dan Enah terburai, kepala anak saya berkecai manakala isteri saya parah daripada bahu hingga ke perut," katanya ketika ditemui Berita Minggu di Kampung Dempelang, Tuaran, baru-baru ini.

Biarpun peristiwa menyayat hati di Kampung Bolong, Tuaran sudah 62 tahun berlalu, lukanya masih berbekam pada hati warga emas berbangsa Bajau yang lebih dikenali sebagai Mah Rebi itu.

Mengimbas peristiwa pahit itu, Alias berkata, walaupun peluru dan bom menghujani Kampung Bolong selama dua minggu, empat ahli keluarganya itu menjadi korban peperangan akibat bedilan tentera British dan Amerika di darat.

"Saya tiada di rumah kerana mencari bekalan makanan dan ketika itulah keluarga saya mati dibedil mesingan.

"Ketika di hutan, saya terdengar bunyi bedilan bom dan sebaik suasana reda, saya bergegas pulang tetapi yang menyambut adalah mayat bergelimpangan," katanya.

Alias pantas mencari empat bilah pisau dan mengikatnya di pinggang sebelum meluru ke pantai Kampung Shahbandar, dekad Kampung Bolong yang menjadi lokasi jet pejuang tentera Bersekutu mendaratkan tentera untuk menyerang Jepun yang menguasai bahagian darat.

Dengan niat `perang sabil' (fisabilillah), beliau nekad menyusup ke bakul besar yang digunakan bagi menurunkan tentera penjajah untuk membunuh tentera dalam jet pejuang itu terutama kapten kapal.

"Saya betul-betul nekad masa itu tetapi hasrat saya sempat dihalang seorang pendatang tanpa izin dikenali sebagai Hassan yang menjadi tali barut penjajah British," katanya.

Serangan udara yang mengorbankan empat ahli keluarga Alias berlaku pada 4 Julai 1945 iaitu hari pertama serangan udara di kampung itu selepas empat tahun Perang Dunia Kedua meletus.

Alias yang kini mempunyai dua anak, lapan cucu dan 15 cicit, mengakui dia mungkin mati ditembak jika berjaya menyusup ke dalam jet pejuang itu tetapi tetap yakin dapat membunuh sekurang-kurangnya seorang tentera British atau Amerika.

Sebelum berpisah, beliau menitipkan pesan: "Jaga kemerdekaan kita, jaga negara kita dan jaga rakyat kita. Itulah harta paling berharga yang kita ada."