Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

09 Januari 2008

Peguam Syarie Menulis: Bukan Islam wajar guna perkataan Tuhan elak keliru antara agama


Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

MASYARAKAT Islam menarik nafas lega dan memanjatkan kesyukuran kepada Allah apabila membaca pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin yang menafikan kerajaan membenarkan penerbitan akhbar Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah walaupun Kementerian Keselamatan Dalam Negeri memperbaharui permitnya baru-baru ini.

Keputusan Kabinet mengekalkan pengharaman penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bukan Islam adalah tepat kerana penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam apabila merujuk tuhan mereka boleh menimbulkan kekeliruan dan kemarahan umat Islam. Malah, ia juga tidak bersesuaian dengan budaya dan adat yang sudah lama diamalkan di negara ini.

Keputusan itu dibuat selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan menggubal dan meluluskan undang-undang mengawal serta menyekat pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam.


Walaupun rakyat bebas menganuti, mengamalkan dan mengembangkan agamanya, kebebasan itu bukan mutlak. Dalam konteks ini, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan mengehadkan kebebasan itu.

Sehubungan itu, semua negeri di Malaysia kecuali Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak sudah menggubal dan meluluskan undang-undang mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam di kalangan Muslim.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri pernah menggesa keempat-empat negeri itu berbuat demikian dan ia dipersetujui oleh negeri berkenaan. Namun, perkara itu belum menjadi kenyataan. Tiada penjelasan langsung mengenai kelewatan itu. Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa keempat-empat negeri itu menunaikan janji mereka.

Bagi negeri yang mempunyai undang-undang itu, ada peruntukan menyatakan, menjadi suatu kesalahan menggunakan istilah tertentu (termasuk menggunakan perkataan 'Allah', 'kaabah', 'baitullah' dan 'solat' ) bagi kegunaan agama selain Islam.

Namun, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang itu amat mengecewakan. Hampir tiada rekod menunjukkan undang-undang itu pernah dilaksanakan. Bagaimanapun, adalah elok untuk melihat undang-undang yang sudah diluluskan bagi memahami maksud larangan Kabinet.

Umpamanya, Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam) (Negeri Sembilan) 1991 yang diperkenankan pada 11 Februari 1992. Enakmen itu bertujuan mengawal dan menyekat pengembangan iktikad dan kepercayaan agama bukan Islam di kalangan Muslim.

Enakmen 15 seksyen itu antara lain, memperuntukkan jenis kesalahan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan antaranya:

l Memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut seorang Islam untuk menjadi seorang pengikut, atau anggota suatu agama bukan Islam;

l Mendedahkan seorang yang beragama Islam bawah umur 18 tahun kepada pengaruh suatu agama bukan Islam;

l Mendekati seorang yang beragama Islam untuk mendedahkannya kepada apa-apa ucapan, atau pertunjukan apa-apa perkara mengenai suatu agama bukan Islam;

l Menghantar atau menyerahkan terbitan mengenai apa-apa agama bukan Islam kepada seorang yang beragama Islam;

l Membahagikan apa-apa terbitan atau bahan publisiti mengenai agama bukan Islam kepada orang yang beragama Islam;

l Menggunakan perkataan dan perbahasan tertentu yang bersumberkan Islam.

Namun, jumlah denda dan tempoh penjara antara satu negeri dengan negeri lain adalah berbeza. Pada 2007, Kelantan meminda enakmen mereka dan ini menjadikan ia negeri yang mengenakan kadar denda tertinggi dan tempoh penjara paling lama antara negeri di Malaysia.

Walaupun daripada sudut penggunaan bahasa Arab perkataan Allah merujuk kepada Yang Maha Pencipta, tetapi apabila ia disekutukan dengan perkara syirik, umat Islam di Malaysia tidak dapat menerimanya.

Umat Melayu/Islam sudah pun keliru mengenai agama mereka atas pelbagai faktor dan jika perkara ini dibenarkan, umat Melayu/Islam akan bertambah keliru.

Perkataan 'Allah' berasal daripada Bahasa Arab. Jika pihak gereja ingin mengajar kanak-kanak Kristian berbahasa Melayu, kenapa mereka tidak menggunakan perkataan bahasa Melayu iaitu Tuhan. Kenapa untuk istilah itu diambil dalam bahasa Arab, sedangkan di Malaysia perkataan itu sudah sebati bermaksud Allah.

Begitu juga beberapa perkataan lain yang rata-ratanya difahami membawa maksud berteraskan Islam seperti 'Baitullah', 'Kaabah' dan 'Solat' juga hendak digunakan bagi merujuk kepada agama Kristian.Kita musykil sebab mereka beriya-iya ingin menggunakan istilah bersumberkan Islam. Dalam hal itu, keputusan Kabinet adalah tepat walaupun selepas didesak beberapa NGO Islam seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Persatuan Ulama Malaysia dan Teras. Diharapkan dengan keputusan ini, isu itu tidak akan dibangkitkan lagi.

Keharmonian antara kaum amat penting bagi mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan keamanan dan kemakmuran dapat dikecapi setiap rakyat. Oleh itu, janganlah diusik sensitiviti kaum dan agama kerana keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang hendaklah dipertahankan.

Penulis ialah Presiden Persatuan
Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
Semua komentar boleh dihantar
ke exco_pgsm@yahoo.com