Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

09 Januari 2008

Undang-undang Melayu Lama


Oleh Shaidah Shafie

Papar keterikatan masyarakat pada peraturan dalam menstabilkan kehidupan

UNDANG-UNDANG Kesultanan Melayu Dalam Perbandingan karya Dr Jelani Harun mengupas pelbagai undang-undang dan peraturan masyarakat silam yang dikatakan digubal pada abad ke-19 ketika zaman kesultanan Melayu memerintah Nusantara.

Buku yang dibahagikan kepada 24 bab ini antaranya menyinggung Undang-Undang Johor, Undang-Undang Adat Lembaga Bangkahulu, Undang-Undang Jambi, Undang-Undang Riau, Undang-Undang Inderagiri, Undang-Undang Laut Melaka, Undang-Undang Adat Negeri Kedah dan Undang-Undang Pelabuhan.


Undang-Undang Adat Negeri Kedah memberi tumpuan kepada perbuatan menyalahi agama seperti zina dan sumbang mahram yang mengakibatkan pelakunya disula dan mayatnya dipamerkan di tengah-tengah pasar untuk tontonan ramai bagi memberi pengajaran kepada khalayak agar tidak melakukan perbuatan sama.

Gejala murtad yang menjadi duri dalam masyarakat disentuh dalam Undang-Undang Bima di Kepulauan Sumatera Timur yang menyaksikan pesalah dikenakan hukuman sama seperti dalam Undang-Undang Melaka fasal ke-36 dan mereka disuruh bertaubat tiga kali dan jika ingkar, harus dibunuh.

Pengarang buku ini turut mengajak pembaca melihat kepentingan undang-undang sebagai simbol ketegasan pemerintah dalam menjaga kepentingan rakyat di bawah naungannya dan dikuatkuasakan kepada pesalah tanpa mengira pangkat atau kedudukan mereka.

Kelantan yang dikenali dengan gelaran Serambi Makkah tidak terkecuali menggubal undang-undang berkaitan maksiat bagi menegah rakyatnya daripada melakukan perbuatan dilaknat agama itu dan boleh dihayati melalui naskhah Hukum Maksiat di Kelantan.

Hukum Maksiat di Kelantan meletakkan perbuatan laga lembu dan laga ikan sebagai perjudian yang membawa kepada keruntuhan akhlak sehingga ulama menggesa kerajaan campur tangan dan melakukan sesuatu bagi mengelakkan kemungkaran daripada terus berlaku di negeri itu.

Emas, perhiasan, wang ringgit dan haiwan peliharaan yang dianggap sebagai barangan mewah sejak dulu turut mempunyai undang-undang yang mengikatnya seperti pencuri kerbau atau lembu di dalam kandang akan dikenakan denda setahil emas .

Undang-Undang Simbur Cahaya Palembang menggariskan pencuri kambing, ayam dan itik perlu membayar ganti rugi lima tahil emas dan membayar harga haiwan curian manakala pelunasan denda orang mengambil isteri orang pula ialah boleh dibunuh atau didenda 10 tahil emas.

Bagaimanapun, penggunaan wang timah sebagai alat membayar denda tidak tercatat dalam Undang-Undang Laut Melaka walaupun logam berkenaan bernilai dalam sistem perniagaan berasaskan pertukaran barangan, sebaliknya mata wang pitis Jawa menjadi unit untuk membayar denda perkelahian.

Buku setebal 454 halaman terbitan Universiti Sains Malaysia berharga RM100 senaskhah ini, turut disertakan lampiran rajah dan peta bagi menambah kefahaman khalayak terhadap pembacaan naskhah yang tepu dengan maklumat perundangan silam itu.

Justeru, buku ini wajar dimiliki kerana ia turut menghidangkan pelbagai jenis sumber maklumat berguna berkaitan ilmu perundangan masa lampau yang tidak terfikirkan oleh pembaca semasa, sekali gus memperlihatkan kebijaksanaan penggubal undang-undang pada masa itu.

INFO: Undang-Undang Kesultanan Melayu Dalam Perbandingan
Pengarang: Dr Jelani Harun
Penerbit: Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang
Tebal: 454 halaman
Bintang: * * *

Dr Jelani peneliti sastera Melayu lama

NAMA Dr Jelani Harun menjadi sebutan dalam dunia sastera tanah air apabila buku ilmiahnya, Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu setebal 425 halaman terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berharga RM65 senaskhah menemui khalayak di pasaran pada 2003.

Pengerusi Rancangan Kesusasteraan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM) ini, meraih Hadiah Sastera Mastera 2005 (Kategori Buku Kajian Ilmiah) melalui buku terbabit di samping Hadiah Karya Ilmiah DBP 2001.

Beliau yang dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak pada 1962 memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dari Sekolah Kajian Afrika dan Asia Timur (SOAS), Universiti London, di bawah selian Prof Vladimir Braginsky, turut menerima Anugerah Buku Negara 2005

Minat mendalam terhadap naskhah manuskrip Melayu lama juga mendorong Dr Jelani menghasilkan buku Bustan al-Salatin (Bab Kedua dan Ketiga) Karangan Nuruddin al-Raniri (DBP-2004) dan Undang-Undang Kesultanan Melayu Dalam Perbandingan (USM-2007).