Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

05 Januari 2008

Teromba, mek mulung pikat khalayak


Oleh Farhatul Aishati Shamsuddin
anatolia_atul@yahoo.com.my

PERSEMBAHAN Teromba dari Negeri Sembilan dan Mek Mulung (Kedah) dalam Siri Kedua Teater Rakyat di Laman Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, membawa khalayak mengenali khazanah warisan Melayu.

Teromba persembahan Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dato Dr Rosli Saludin, menarik perhatian khalayak kerana ungkapan berirama itu kini jarang dapat dilihat dalam masyarakat moden.

Rosli membaca teromba dengan iringan paluan gendang oleh anaknya, memperkatakan isu semasa merangkumi dadah, lumba kereta, Mat Rempit, kaki arak, menggunakan loghat Minangkabau dan tampil indah kerana ia membincangkan peraturan hidup serta sarat dengan nasihat.


Tidak ketinggalan, Siri Teater Rakyat itu turut membuka peluang kepada khalayak untuk menjamu selera dengan Mek Mulung persembahan Kumpulan Seni Mek Mulung dari Kedah yang menampilkan sembilan remaja mengetengahkan kisah puteri bermimpi merbuk putih terbang di langit sebagai tanda petaka bakal menimpa negeri jajahannya.

Kisah mimpi itu diselangselikan dengan penceritaan melalui nyanyian dan tarian Mek Mulung sambil diiringi muzik tradisional oleh lima pemuzik remaja berjaya membuai perasaan khalayak sehingga ke akhir persembahan meskipun loghat Kedah yang digunakan sukar difahami.

Gelagat watak dalam persembahan Mek Mulung mendapat sambutan khalayak apabila diselitkan unsur lawak jenaka terutamanya lewat Awang Bertopeng dan Mak Inang lakonan lelaki berpakaian wanita.

Khalayak Teater Rakyat yang berlangsung pada 4 Disember hingga 5 Disember lalu turut dijamu dengan persembahan Randai dan Bongai, juga dari Negeri Sembilan.

INFO: Teromba dan Mek Mulung

Anjuran: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Lokasi: Laman Teater DBP, Kuala Lumpur.

Persembahan: Dato Dr Rosli Saludin dan Kumpulan Seni Mek Mulung, Kedah.

Tarikh: 4 Disember lalu.