Oleh Zainuri Misfar
RTM merancang menerbitkan lebih banyak program dalam bahasa Melayu yang dibintangi atau dikendalikan oleh tenaga bukan Melayu. Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata, ini disebabkan selama ini kebanyakan program berasaskan bahasa Melayu yang dilakonkan oleh orang Melayu tanpa pembabitan aktif kaum lain.
“Ini menyebabkan masyarakat bukan Melayu tetap berasa terasing dengan program dalam bahasa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik daripada Bernama.
Isu pertama yang diketengahkan oleh Zainuddin adalah RTM mahu orang bukan Melayu saja yang boleh menerbitkan program bukan Melayu. Dan yang kedua, RTM juga mahu orang bukan Melayu terbabit secara aktif dalam program berasaskan bahasa Melayu.
Kalau membaca apa yang tersirat di sebalik kenyataan Menteri Penerangan itu kita boleh membuat kesimpulan RTM selama ini sudah gagal atau kurang berjaya mewujudkan program yang bercorak majmuk. Jadi, cara untuk mewujudkan suasana majmuk itu ialah dengan memberi peluang kepada lebih ramai orang bukan Melayu menjadi pengendali program bukan Melayu.
Sebenarnya, kalau kita memandang kepada stesen TV lain, banyak program bahasa Melayu yang sudah mengetengahkan pelakon bukan Melayu. Drama bersiri Puteri yang disiarkan di TV3 turut membabitkan pelakon kaum India, Kanchana Dewi dan Louisa Chong sebagai antara pelakon utamanya. Kanchana juga antara pelakon dalam drama bersiri Spa Q dalam slot Samarinda TV3. Kedua-dua drama itu diterbitkan oleh pengendali orang Melayu.
Dalam satu lagi drama bersiri iaitu Agen 016 juga disiarkan di TV3 turut menampilkan pelakon berketurunan India diberikan peranan utama iaitu Pushpa Narayanan.
Dalam filem Melayu, ramai juga bakat baru dari kalangan bukan Melayu di ketengahkan sebagai pelakon seperti Hans Isaac, Janet Khoo, Kenji Sawahi, Angeline Tan, Felina Cheah, Patrick Teo, Corrie Lim, Vince Chong, Kavita Sidhu dan Marsha Milan Londoh.
Ada antara mereka bukan saja berlakon untuk program TV, filem atau drama bahasa Melayu tetapi juga turut terbabit dalam teater bahasa Melayu.
Bagi kita, tidak perlu timbul orang Melayu atau bukan Melayu. Kita tidak perlu mewujudkan satu kumpulan kaum tertentu saja untuk menerbitkan program TV tertentu. Biarlah ia dibuat secara terbuka. Kalau ada penerbit atau pengendali orang Melayu boleh menerbitkan program atau drama bahasa Cina dan Tamil, apa salahnya kepercayaan itu diberikan kepada mereka.
Selama ini pun, bukan sedikit syarikat produksi yang dikendalikan oleh tenaga bukan Melayu tetapi menerbitkan drama berbahasa Melayu. Kadang-kadang, pelakon, pengarah dan penulis skripnya orang Melayu tetapi yang penerbitnya bukan orang Melayu. Suatu ketika dulu, syarikat penerbitan yang paling banyak dapat slot atau jam di RTM, adalah milik bukan Melayu, tetapi menerbitkan program berbahasa Melayu.
Di stesen lain seperti Astro, terdapat banyak saluran khas untuk kaum Cina berbanding Melayu. Selain program Cina tempatan, terdapat saluran yang dibawakan terus daripada stesen TV dari China. Hal yang sama juga pada program berbahasa Tamil dan Hindi. Selain terbitan tempatan, ada program yang diimport terus dari India. Di bawah kumpulan Media Prima Berhad (MPB) pula, saluran 8TV dan ntv7 cenderung dengan program berbahasa Cina atau untuk penonton kaum ini.
Jadi, berapa ramai orang Melayu yang menjadi pengendali syarikat produksi untuk membekalkan program yang berorientasi Cina itu? Pasti juga tidak ada atau mungkin tiada langsung orang Melayu yang menjadi penerbit atau pembekal program berbahasa Tamil dan Hindi.
Untuk mendekatkan orang bukan Melayu menghampiri sesuatu program bahasa Melayu bukanlah terletak kepada siapa pengendalinya atau syarikat penerbitnya. Apa yang penting ialah bagaimana bentuk kandungan program itu sendiri.
Misalnya, sebuah syarikat pengendali atau produksi yang diterajui orang Melayu menerbitkan program berbahasa Melayu mengisahkan seorang doktor dari kaum Cina yang ditugaskan di kawasan pedalaman. Mungkin boleh dipaparkan beberapa ahli perniagaan Cina berkongsi dengan orang Melayu atau India menjalankan sebuah syarikat besar. Boleh juga sebuah program memaparkan kegigihan peguam berbangsa India yang memperjuangkan hak penduduk sebuah kampung yang terdiri daripada pelbagai bangsa.
Itu semua tidak perlu memerlukan pengendali yang dikhususkan kepada kaum tertentu saja.
Lihatlah bagai mana orang Melayu (pelakon Melayu) diletakkan dalam drama bersiri bahasa Cina yang disiarkan pada lewat malam di RTM. Selalunya tidak ada langsung pelakon Melayu. Kalau ada, pelakon Melayu ini sekadar jadi ‘pak pacak’ saja.
Tapi dalam kebanyakan drama atau filem Melayu, walaupun tidak banyak tetapi pelakon bukan Melayu selalunya diberikan watak yang agak baik dan tinggi darjatnya seperti ahli perniagaan, rakan kongsi perniagaan atau peguam. Sekurang-kurangnya bekas pesara kerajaan yang berjawatan tinggi.
Ini bukan bermaksud mereka tidak boleh menjadi pengendali atau penerbit program bahasa Melayu. Apa yang penting biar ada keseimbangan. Tanggungjawab ini biarlah dipikul secara bersama tanpa sebarang prejudis. Apabila sesebuah drama atau program itu dibuat secara ‘paksaan’, maka konsepnya dilihat agak retorik, sedangkan untuk kelihatan menarik ia berlaku secara spontan.
RTM boleh mengenakan syarat kepada penerbit supaya drama yang hendak disiarkan di stesen ini mesti ada unsur perhubungan antara kaum dengan barisan pelakonnya terdiri daripada pelbagai kaum.
Kementerian Penerangan boleh mengenakan peraturan tambahan dalam pengeluaran tender pembekalan program kepada RTM. Antara peraturan itu ialah mensyaratkan program berbentuk drama, telefilem atau drama bersiri mestilah menampilkan pelakon bukan sekurang-kurangnya dua pelakon bukan Melayu. Jadi, kalau ada 10 drama, sudah ada 20 pelakon daripada bukan Melayu. Apabila ada syarat seperti itu, penulis skrip, pengarah atau penerbit boleh membina watak yang dikhususkan untuk bukan Melayu dalam terbitan mereka nanti.
Tapi pada masa sama, dituntut juga supaya pengendali atau pembekal program bukan Melayu yang hendak membekalkan program kepada RTM, disyaratkan turut meletakkan watak untuk pelakon Melayu juga. Watak itu pula mesti bersesuaian dengan tidak menggambarkan orang Melayu sekadar sebagai pemandu, tukang kebun atau pengawal keselamatan.