Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 April 2008

Animasi Barat 'bertutur' bahasa Melayu


Oleh Diyanah Anuar


LAURA yakin saluran ini lebih dekat di hati penonton.

Usaha Disney channel tawan penonton tempatan

MELIHAT watak kampung dalam rancangan kartun wajah Malaysia seperti Kampung Boy bercakap dalam bahasa Inggeris bukanlah sesuatu yang baru dalam penyiaran animasi tanah air.

Namun, siri animasi Barat yang watak di dalamnya berdialog dalam bahasa Malaysia tentunya sesuatu yang menarik untuk ditonton penggemar animasi tempatan.


Saluran kegemaran kanak-kanak di Astro, Disney Channel kini lebih `berciri tempatan’ apabila program yang disajikan di saluran 615 itu dialih suara ke Bahasa Malaysia sejak awal Januari.

Buat permulaan, penonton setia saluran Disney dapat menonton siri kesukaan mereka yang dialih bahasa ke Bahasa Malaysia dari jam 4 petang hingga 7 malam.

Penonton hanya perlu menekan butang dwibahasa pada alat kawalan jauh Astro (I-II) dan watak kegemaran mereka akan bercakap dalam bahasa Malaysia.

KANAK-KANAK gemarkan cerita yang bercorak fantasi dan mendorong mereka mengejar impian, kata Laura.

Mengalih bahasa dari bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia untuk program kartun, siri drama dan filem adalah antara inisiatif WDTI untuk menampilkan ciri tempatan pada saluran Disney. Usaha berkenaan bakal diperluaskan ke saluran prasekolah, Playhouse Disney pada masa akan datang.

Naib Presiden dan Pengarah Urusan Walt Disney Television International Asia Tenggara (WDTI), Laura E Wendt berkata:

“Kami akan memulakan langkah untuk menampilkan ciri tempatan pada saluran Disney di Malaysia. Antaranya, dengan menayangkan filem hit `High School Musical 2’ dalam Bahasa Malaysia.

“Filem ini dialih suara oleh barisan bintang Akademi Fantasia dan pelakon hebat seperti Rosyam Nor dan Fauziah Nawi.

“Ia memang menyeronokkan dalam usaha untuk terus relevan dengan penonton kami di Astro,” kata Wendt.

Kata Wendt, WIDT mula melancarkan program versi Bahasa Malaysia kerana majoriti penonton saluran berkenaan menggunakan bahasa Malaysia di rumah.

“Oleh itu, kami mengambil peluang untuk menyajikan program yang sudah dialih bahasa ke Bahasa Malaysia untuk mereka,” tambah beliau.

Buat masa ini, siri yang dialih bahasa ini hanya dapat ditonton pada hari Isnin hingga Jumaat. WDTI turut merancang melaksanakannya bagi program yang disiarkan pada `waktu perdana’ bagi penonton kanak-kanak tidak lama lagi.

Ditanya apakah pengambilan bintang AF dan selebriti sebagai artis alih suara untuk program Disney ini berdasarkan formula kebanyakan filem animasi Hollywood yang meminjam suara artis popular untuk alih suara, Wendt tidak menafikannya.

“Kami percaya, kehadiran bintang AF ini mampu menarik perhatian penonton.

“Masing-masing mempunyai peminat tersendiri yang sentiasa mengikuti perkembangan dan memberi sokongan padu kepada mereka selama ini.

“Pastinya peminat ingin mendengar pula bagaimana bintang dan selebriti ini menghidupkan karakter animasi dengan menggunakan suara mereka,” ujarnya.

Kata Wendt, WDTI mempunyai satu unit khusus yang menguji bakat dan melatih artis alih suara untuk program yang ditayangkan di saluran Disney.

“Pada peringkat ini juga, tenaga produksi akan mengadakan perbincangan dengan artis dan menerangkan kepada artis terbabit bagaimanakah jalan cerita serta watak yang ada dalam rancangan yang hendak dialih suara itu.

“Jika ada kekurangan yang dikesan sama oleh pihak produksi ataupun artis, ia akan diatasi pada proses rakaman alih suara ini,” katanya.

Selain itu, WDTI juga memastikan terjemahan dialog yang dilakukan dari bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia adalah bersesuaian dan difahami penonton, khususnya kanak-kanak.

“Kita tidak mahu `bercakap’ dengan kanak-kanak seperti orang dewasa.

“Sebab itulah kami harus memastikan penterjemahan dilakukan dengan baik walaupun ia membabitkan bermacam-macam proses dan kerja,” kata Wendt sambil memberitahu, pihaknya bakal menyiarkan lagu rentak rap berbahasa Malaysia sebagai promosi program Disney dalam versi bahasa Malaysia.

Pada Februari pula, saluran Disney akan memperkenalkan rancangan baru iaitu Phineas and Ferb. Siri ini mengisahkan mengenai Phineas dan Ferb, dua adik-beradik tiri yang sering memasang impian mustahil, namun mereka gigih berusaha untuk merealisasikannya.

Setiap episod Phineas and Ferb menjanjikan kepuasan bagi yang menontonnya, lebih-lebih lagi dengan lagu iringan yang meningkatkan lagi unsur jenaka pada siri ini.


Kartun bukan milik mutlak kanak-kanak

KARTUN bukan hanya boleh dinikmati oleh kanak-kanak tetapi juga orang dewasa.

Demikian kata Naib Presiden dan Pengarah Urusan Walt Disney Television International Asia Tenggara (WDTI), Laura E Wendt.

Katanya, terdapat ramai peminat kartun dan filem kanak-kanak atau remaja yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia di seluruh dunia.

“Saluran Disney sendiri, menyajikan hiburan untuk kanak-kanak dan juga seisi keluarga. Program yang disalurkan adalah `mesra keluarga’, jadi golongan dewasa dalam sesebuah keluarga juga boleh menikmatinya bersama kanak-kanak,” kata beliau.

Mengenai sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa tabiat kanak-kanak yang terlalu kerap menonton kartun di televisyen adalah tidak baik untuk perkembangan minda mereka, Wendt berkata: “Semuanya bergantung kepada kandungan sesebuah program, tidak kiralah yang ada di televisyen atau Internet yang ditonton seseorang kanak-kanak itu.

“Trend tontonan tetap sama, tidak berubah sejak bertahun-tahun dulu,” kata Wendt yang bertanggungjawab mengurus saluran Disney dan perniagaan televisyen di bawah jenama Disney di rantau Asia Tenggara.

Pasaran yang berada di bawah pengurusannya adalah Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Kemboja, Brunei, Palau dan Papua New Guinea.

Beliau mempunyai banyak pengalaman dalam industri media serta hasil kerja yang membanggakan di pasaran Amerika Syarikat dan global.

Segala pengalaman ini dikumpul beliau sejak 20 tahun lalu menerusi beberapa jawatan tertinggi yang disandang beliau di tiga syarikat media gergasi antarabangsa.

Sebelum menyertai Walt Disney Television International, Wendt memegang peranan sebagai Naib Presiden (Senior) Penyelidikan dan Perancangan di Nickelodeon Networks Entertainment Group di New York, Amerika Syarikat (AS); Naib Presiden Penyelidikan Nickelodeon International di London, United Kingdom (UK) dan Pengarah Urusan di syarikat penyelidikan dan perunding industri hiburan, Frank N Magid Associates.

Wendt juga sempat berkongsi apakah kriteria rancangan kanak-kanak yang sering mendapat perhatian.

Berdasarkan pengalaman, beliau berkata, kanak-kanak biasanya menyukai cerita yang mempunyai kebetulan, persamaan atau perhubungan dengan diri mereka atau keluarga mereka.

“Kanak-kanak gemarkan cerita yang bercorak fantasi dan yang mendorong mereka mengejar sesuatu impian kerana perkara seperti ini sememangnya ada di dalam hati mereka.

“Begitu juga dengan cerita yang mempunyai plot yang bagus, jalan cerita yang berkesinambungan serta karakter yang boleh dikaitkan dengan diri kanak-kanak.

“Semua ini mampu menarik penonton kanak-kanak untuk menonton sesebuah rancangan,” kata Wendt, ibu kepada dua anak yang sangat gemarkan rancangan kartun.

Ditanya mengenai perbandingan antara kumpulan penonton Asia Tenggara dengan kumpulan penonton di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, Wendt berkata, secara asasnya daya tarikan sesebuah rancangan masih terletak pada karakter dan cerita yang hebat.

“Rancangan seperti High School Musical berjaya di Asia, Eropah dan juga AS kerana ceritanya yang bagus serta muziknya yang menghiburkan,” kata Wendt, pemegang sarjana dalam bidang seni dari New School, New York.