Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 April 2008

Jutawan segera banyak risiko






Untuk mengejar kekayaan, haruslah kena dengan caranya

RUANG internet, (emel, forum dan laman web), ruang media dan juga telekomunikasi kerap dibanjiri iklan yang mewarwarkan mengenai cara memperoleh pendapatan atau kekayaan dengan cepat dan mudah.

Pelbagai jenis ‘pelaburan’ atau ‘perniagaan’ dicanang-canang pihak yang mengiklankan, kononnya dengan modal dan usaha yang sederhana mampu membuahkan pulangan yang berlipat ganda maka ramai tertarik untuk menyertainya biarpun tidak begitu bagaimana perjalanan dan apakah jaminan ‘pelaburan’ atau ‘perniagaan’ yang disertai itu.


Mungkin ‘janji’ pulangan lumayan yang didakwa pihak yang mengiklankan itu membuatkan segelintir orang tidak berfikir panjang lantas mengambil risiko melaburkan modal.

Ada yang kurang bernasib baik, modal yang dilaburkan lebur begitu saja selepas skim yang disangkakan dapat menjana pendapatan rupa-rupanya suatu penipuan. Seperti yang sering dilaporkan media sebelum ini, ramai yang sudah menjadi mangsa skim seperti ini dan berjuta-juta ringgit milik mereka lenyap begitu saja.

Namun, iklan skim ini yang semakin bercambah setiap hari menunjukkan masih ramai yang masih mempercayai pelaburan seperti ini.

Ada benarnya juga pandangan penceramah seminar ‘The Lazy Millionaire’ -How To Build Wealth While You Sleep, Ernest Cheong mengenai segelintir masyarakat Malaysia yang mudah mempercayai sesuatu perkara tanpa menyelidik kebenarannya terlebih dulu.

Selain itu, kata Cheong, orang sekarang kebanyakannya inginkan jalan mudah dan pantas untuk menjadi kaya sedangkan realitinya, tidak ada kejayaan atau kesenangan yang dapat diperoleh tanpa perlu disertai dengan usaha.

“Kalau adapun kemewahan yang dapat dikecapi dengan mudah, ia mungkin sukar untuk dipertahankan, Bak kata pepatah Inggeris, ‘easy come easy go’,” ujar Cheong.

Benar. Siapa yang tidak mahu kaya dan siapa yang tidak mahu bergelar jutawan ataupun hartawan? Tapi, untuk mengejar impian itu, haruslah kena dengan caranya.

Sebelum memilih jenis pelaburan atau perniagaan yang disertai, seseorang seharusnya menyelidik terlebih mengenai ruang perniagaan atau pelaburan yang hendak disertai itu.

Seperti pendapat yang dikongsi Pegawai di sebuah bank pelaburan, Mohd Faiz Hamsidi, 24, untuk mengumpul kekayaan, ia memerlukan disiplin yang amat tinggi. Katanya, banyak iklan mengenai cara cepat kaya terutamanya di internet dan skim seperti ini kebanyakannya mengelirukan dan mudah mengekploitasi mereka yang kurang berpengetahuan dan pengalaman dalam soal kewangan.

“Kadangkala iklan ini datang dalam bentuk ‘flyers’ yang mana mereka mengiklankan mengenai suatu perniagaan tetapi tidak menerangkan secara terperinci apakah jenis perniagaan yang dijalankan. Ada yang disertakan dengan gambar ejen yang bergambar dengan kereta mewah yang tidak dapat dipastikan milik mereka ataupun tidak.

“Pada saya, mungkin itu gimik untuk menarik orang ramai menyertai pelan perniagaan yang kabur itu. Kononnya ada yang sudah berjaya dan mampu hidup mewah dengan skim ini. Mungkin ada segelintir yang betul-betul berjaya mendapatkan ‘hasil pelaburan’ mereka tapi ia hanyalah satu taktik untuk memujuk lebih ramai orang terus melabur dan mempromosikannya pula kepada orang lain.

“Seperti kes yang berlaku sebelum ini, selepas ramai mendepositkan wang ke dalam sebuah skim, ketika itulah mereka akan menghilangkan diri,” katanya.

Katanya lagi, beliau tidak pernah terfikir untuk menyertai mana-mana skim yang diiklankan ini kerana baginya, tiada jalan pintas untuk menjadi kaya. Ia dilihat tidak masuk akal kerana pulangan yang dijanjikan kadangkala terlalu tinggi sedangkan risiko yang perlu ditanggung cuma sedikit saja.

“Banyak panduan berbentuk buku mengenai kewangan yang ditulis individu berpengalaman seperti Donald Trump, Thomas J. Stanley dan Azizi Ali yang boleh dijadikan rujukan. Selain memberi motivasi, buku seperti ini turut memberikan pelbagai idea dalam menguruskan kewangan seharian. Ini juga suatu pelaburan berguna untuk jangka masa panjang.

“Siapa yang tidak bercita-cita untuk menjadi jutawan, lebih-lebih lagi di usia muda. Tetapi ia bukan sesuatu yang mudah dan akan menjadi lebih bermakna jika kita sendiri yang bekerja untuknya dari hanya mewarisi kekayaan tersebut daripada orang lain.

“Bagi saya, tiada umur yang spesifik untuk saya menjadi jutawan kerana pada saya, perjalanan menjadi jutawan itu sendiri sebenarnya memberi cabaran dan menyeronokkan. Mungkin satu hari nanti apabila saya rasa sudah bersedia, saya akan memulakan perniagaan sendiri,” jelasnya.

Bagi kakitangan syarikat swasta, Wan Zaireen Wan Mohamed, 30, pula, beliau lebih percayakan pelaburan hartanah yang dianggapnya lebih stabil.

Sebagai sumber pendapatan sampingan, beliau membeli sebuah rumah kira-kira 4 tahun lalu dengan tujuan untuk mengumpul aset peribadi.

“Pembeliannya juga adalah untuk pelaburan jangka panjang. Rumah itu kini saya sewakan dan wang sewa itu digunakan untuk membayar pinjaman rumah,” katanya yang memilih pelaburan hartanah seperti ini selepas melihat ramai orang yang memilih pelaburan serupa.

“Tapi, biasalah untuk tahun awal, terpaksalah ‘struggle’ sedikit kerana kita baru hendak biasakan dengan pengurusan kewangan yang baru bila sudah membeli rumah,” katanya.

Ditanya adakah beliau mempercayai jenis pelaburan lain seperti pembelian saham atau unit amanah untuk menjana kekayaan, Wan Zaireen berkata, tidak salah jika seseorang itu sememangnya mempunyai modal yang banyak untuk tujuan itu.

Katanya, pulangan pelaburan sebegini tidak dapat diduga kerana kadangkala ada turun naik dan risiko lain yang perlu diambil kira.

“Bila bercakap soal kewangan. bagi saya tidak ada yang datang dengan mudah. ia menuntut masa dan kesabaran,” katanya.