SEDIHNYA walaupun sudah lebih setengah abad tanah air ini merdeka, masih kedengaran lagi keluh-kesah dan untung nasib ekonomi orang Melayu pada ketika Malaysia khabarnya akan melangkah ke taraf negara maju menjelang 2020. Salah siapa?
Keadaan yang sama nyata terus berulang dalam Muzakarah Majlis Gabem (Gabungan Bertindak Ekonomi Melayu) dan Badan-badan Ekonomi Melayu di PWTC, Sabtu lalu di tengah-tengah kebanjiran ribuan pengunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
Program setengah hari suntuk yang dilihat sebagai usaha muhasabah diri itu berlangsung setelah landskap politik negara banyak berubah bermula Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Apa yang berlaku dalam senario politik mutakhir ini mempunyai hikmah tersendiri.
Sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti orang Melayu dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebaliknya hanya setakat 18.9 peratus sahaja. Selain itu, pada pandangan mata kasar pun umum tahu bagaimana tahap penglibatan orang Melayu dalam sektor runcit, borong dan perkhidmatan.
Peluang untuk UMNO dan komponen BN lain bekerjasama membantu meningkatkan ekonomi Melayu yang gagal dimanfaatkan seolah-olah telah dihukum oleh orang Melayu di kertas undi pada 8 Mac lalu.
Apa pun, sifat tidak peduli dan tamak di kalangan pihak pelaksana dasar punca utama kepada ketirisan dalam pelaksanaan dasar tersebut.
Walhal, jika di hati masing-masing tersemat satu iltizam Melayu tolong Melayu, tidak mustahil kita mampu mencapai prestasi lebih besar daripada angka ‘keramat’ 30 peratus itu selari dengan komposisi bangsa Melayu di negara ini.
Sebelum negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor diambil alih oleh Pakatan Rakyat pun ekonomi orang Melayu tidak ke mana.
Oleh itu, agak keterlaluan jika ada pihak berpendapat selepas ini kedudukan ekonomi Melayu dalam keadaan kelam nasibnya. Adakah kalau negeri- negeri tersebut masih dalam penguasaan UMNO/BN maka ekonomi orang Melayu lebih terbela?
Kemelut ekonomi Melayu akan terus berlarutan malah bertambah parah jika aspek fundamental ekonomi orang Melayu tidak diberi perhatian. Realitinya, kebanyakan orang Melayu lebih selesa dengan perniagaan kecil-kecilan berasaskan makanan.
Orang Melayu juga tidak malas atau lembap berniaga seperti yang didakwa jika kita melihat kesungguhan dan kecekalan mereka di kedai-kedai runcit, pasar malam, pasar tani, pasar larut malam serta pasar Ramadan seluruh negara.
Masalahnya, tumpuan apa yang didakwa sebagai ‘agenda pemerkasaan ekonomi bangsa’ terlalu ‘mendongak’ ke atas sehingga mengabaikan nasib golongan peniaga, penjaja dan peruncit kecil sama ada di kawasan pekan atau bandar.
Adakah selama ini gara-gara terlalu teruja mahu ‘mengayakan’ beberapa kerat korporat Melayu maka ramai lagi orang Melayu yang berpotensi dan bersemangat tinggi dalam perniagaan yang datang dari latar belakang status kelas bawahan ini tidak dipandang?
Begitu juga pengurusan dan pembangunan tanah rizab Melayu dan tanah-tanah pusaka Melayu seluruh negara yang belum benar-benar dioptimumkan demi kepentingan bangsa.
Apa yang berlaku sebelum ini, banyak tanah atau kawasan yang asalnya milik Melayu beralih ke tangan orang asing.
Bukan suatu rahsia lagi apabila pemimpin Melayu sendiri yang berusaha memujuk rayu orang Melayu menjual tanahnya.
Semuanya atas alasan demi ‘kemajuan’ dan ‘pembangunan’. Sayangnya, apa yang digahkan itu tidak diisi pula oleh orang Melayu.
Bagaimana pula agihan pendapatan wang zakat yang dianggarkan berjumlah lebih daripada RM500 juta setahun? Mengapa tidak pihak-pihak berkaitan dengan kepentingan ekonomi Melayu memanfaatkan wang itu untuk kebaikan ekonomi orang Islam yang majoritinya adalah orang Melayu?
Diharapkan usul dan cadangan dalam majlis anjuran Gabem Sabtu lalu tidak tinggal indah di atas kertas sahaja.
Ekonomi Melayu masyarakat bawahan tidak adil di kesampingkan jika benar-benar mahu melihat orang Melayu dapat ‘bernafas’ dalam ekonomi di tanah airnya sendiri.