Oleh W. RAHIMAH DRAMAN
Itulah antara persepsi dan persoalan yang timbul apabila memperkatakan mengenai Mahkamah Syariah serta undang-undang Islam di Malaysia.
Jadi, tidak hairanlah timbul fenomena 'negeri pilihan' bagi mendapatkan pengiktirafan sahih (taraf sah) dalam melangsaikan hajat berkaitan keagamaan yang tidak direstui di sesuatu tempat.
Masalahnya mengapa undang-undang Islam di Mahkamah Syariah dizahirkan terlalu rumit malah 'gagal' menjadi tempat atau simbol bagi menentukan hak keadilan kepada Muslim.
Sedangkan hakikatnya, Islam itu cukup mudah. Kemudahannya seiring dengan fitrah manusia itu sendiri.
Mudahnya Islam kerana ajaran Islam itu sendiri merupakan suatu undang-undang yang mencorakkan budaya hidup manusia keseluruhannya.
Islam yang bersumber al-Quran, bukan hanya agama untuk dijadikan akidah pegangan hidup tetapi merupakan peraturan fitrah dalam amalan kehidupan manusia seharian.
"Jika manusia itu memahami konsep sebenar ajaran Islam dan beramal dengan Islam, tidak timbul undang-undang yang berbeza," kata Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Ibrahim Lembut.
Beliau yang juga Ketua Hakim Syarie JKSM bagaimanapun berkata, perlaksanaan undang-undang Islam di Mahkamah Syariah Malaysia jadi berbeza dan tidak selaras antara negeri-negeri kerana perlembagaan negara (Malaysia) dirangka berdasarkan konsep federalisme.
"Konsep federalisme ini menyebabkan kuasa menggubal undang-undang dan kuasa mentadbir terpisah antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri-negeri.
"Kuasa menggubal undang-undang agama Islam dan mentadbir hal ehwal umat Islam (termasuk bidang kehakiman syariah) pula berada di bawah bidang kuasa eksklusif kerajaan negeri," jelasnya.
Menurutnya, ia diperkukuhkan lagi dengan faktor sejarah di mana Raja-Raja Melayu melalui kuasa tertinggi (mutlak) dalam pentadbiran kerajaan negeri merupakan Ketua Agama Islam negeri-negeri jajahannya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada seminar Semakan Semula Korpus Undang-Undang Islam di Malaysia: Keperluan dan Cabaran, baru-baru ini.
Seminar dua hari anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan JKSM itu berlangsung di dewan besar IKIM dan dirasmikan oleh Pengerusi IKIM, Tan Sri Dr. Ahmad Sarji Abdul Hamid.
JKSM bagaimanapun kata Ibrahim, perlu dan sedang bekerja keras bagi menyelaraskan peruntukan serta perlaksanaan undang-undang Islam negeri-negeri sesuai dengan perubahan serta kemajuan semasa bagi menangani pelbagai kemaslahatan baru ummah.
Katanya, ketidakseragaman undang-undang yang berkuat kuasa di negeri-negeri sekarang bukan sahaja mengakibatkan urusan dalam pentadbiran, perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang Islam tidak selaras tetapi turut menyebabkan perbezaan dalam penghakiman oleh sesebuah Mahkamah Syariah.
"Ia telah menimbulkan kekeliruan dan tidak puas hati orang ramai apabila berlaku keputusan penghakiman yang berbeza pada kes yang sama antara sesebuah negeri," ujarnya.
Beliau menegaskan, penyeragaman penguatkuasaan dan penghakiman undang-undang Islam penting bagi membolehkan Mahkamah Syariah benar-benar bertindak sebagai institusi mahkamah bukan sebagai badan penguat kuasa.
Manakala penyelarasan dalam beberapa peruntukan Undang-Undang Mahkamah Sivil dan Undang-Undang Islam Mahkamah Syariah pula tambah beliau, untuk mengelak pertindihan dan percanggahan di samping memberi hak keadilan yang sama kepada orang ramai.
Sementara itu, Ahmad Sarji dalam ucapannya mempersoalkan apakah undang-undang Islam yang diguna pakai sejak sekian lama masih relevan dalam menangani kemaslahatan ummah dengan pendekatan, prasarana dan kemajuan serba kompleks sekarang.
Malah beliau melihat, Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1984 dengan formula hukuman 3:5:6 (tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan) sudah tidak sesuai lagi.
"Wajar sekali untuk pihak berwajib mewujudkan jawatan Pesuruhjaya Semakan Undang-Undang Islam dan Penggubal Undang-Undang Islam bagi menyeragamkan kehendak negeri-negeri untuk diselaraskan perlaksanaan dan penguatkuasaannya," katanya.
Dalam hubungan ini, kebanyakan panel seminar sepakat mahu kuasa mutlak Sultan (melalui Majlis Raja-Raja Melayu) diperkukuhkan sebagai Ketua Agama dan Hal Ehwal Umat Islam.
Malah kuasa mutlak Sultan sebagai pelindung dan kuasa utama dalam pentadbiran negeri serta Yang di-Pertuan Agong di peringkat Pusat (Persekutuan) menjadi resolusi utama pada seminar Semakan Semula Korpus Undang-Undang Islam di Malaysia itu.
Seminar tersebut merumuskan tidak kurang 30 resolusi dengan sebahagian besar adalah usul berulang, melalui perbincangan tertutup oleh empat kumpulan di kalangan ahli akademik, para penyelidik dan pengamal undang-undang syarie.
Keempat-empat kumpulan tersebut masing-masing membincang dan merumuskan atas tajuk dan isu berbeza.
Perbincangan dalam mencari jalan penyelesaian itu memfokuskan soal Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Mal (Acara dan Keterangan Islam), Undang-Undang Jenayah Syariah dan Undang-Undang Pentadbiran Islam yang menjadi fokus pada seminar itu.
lSultan mesti menjadi pelindung kepada agama Islam peringkat negeri, manakala Yang di-Pertuan Agong (Majlis Raja-Raja Melayu) di peringkat Persekutuan (dan Wilayah Persekutuan).
lWujudkan Syariah Bench di mahkamah sivil bagi kes-kes melibatkan perbezaan agama bagi dua pihak terbabit.
lTubuhkan Jawatankuasa Peguam Syarie Kebangsaan (Bar Peguam Syarie).
lBawa keputusan Majlis Raja-Raja Melayu ke Parlimen dan jadikan akta bagi semua negeri.
lSokong penubuhan Mahkamah Rayuan Syariah Persekutuan.
lSamakan status Ketua Pendakwa Syarie dan Hakim Mahkamah Syariah peringkat negeri.
2. Undang-Undang Jenayah Syariah: (Diputus oleh 18 panel diketuai Dr. Wan Azhar Wan Ahmad).
lTambah hukuman denda, penjara dan sebatan (termasuk hukuman mandatori) bagi Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (pindaan) 1984.
lSelaraskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di seluruh negara.
lTambah dan wujudkan peruntukan baru yang jelas dalam kesalahan jenayah syariah mengenai ajaran sesat dan penyelewengan ajaran Islam (menghasut dan memperdayakan orang lain) serta murtad.
lHakim Syarie kena kuatkuasakan hukuman sebatan bagi jenayah syariah yang serius (seperti zina dan minum arak).
lWujudkan pusat pemulihan (akidah dan moral) melalui penguatkuasaan Seksyen 54 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Akta 559).
lPerluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah kepada orang bukan Islam dengan meminda Perlembagaan Persekutuan.
3. Undang-Undang Keluarga Islam: (Diputus oleh 17 panel diketuai Profesor Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid).
lNaikkan penalti perceraian luar mahkamah daripada RM1,000 kepada RM3,000.
lPeruntukan talak tiga menjadi talak satu.
lMansuhkan Jawatankuasa Pendamai dalam perceraian dengan talak (Seksyen 47).
lJawatankuasa Pendamai dalam Seksyen 49 (4) di pinda kepada hakam dan perlantikan hakam tidak dihadkan kepada anggota keluarga sahaja.
lSeragamkan peruntukan cerai taklik di seluruh negara.
lWujudkan arahan yang jelas jumlah mutaah dan nafkah.
lAdakan peruntukan tuntutan harta sepencarian yang jelas (semasa perkahwinan, perceraian mati atau pembatalan perkahwinan).
4. Undang-Undang Acara Mal: (Diputus oleh Datuk Muhamad Asri Abdullah).
lMansuhkan Seksyen 30, 31, 32 dan 33 (pihak miskin - mengikut kesesuaian) kepada penambahan bidang kuasa Biro Bantuan Guaman.
lBeri kuasa hakim tentukan segala prosiding (lisan kepada bertulis) pada Seksyen 16, 100, 126 dan 130 Acara Mal.
lKurangkan tindakan didengar atau dibicarakan dalam kamar hakim (Seksyen 8, 119 dan Jadual Kedua).
lAdakan waran tangkap ke atas saksi yang gagal hadir ke mahkamah.
lHalang defendan berkomunikasi dengan mahkamah berkaitan jumlah wang kepada mahkamah dengan memasukkan Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (0 22 r.7).
lPeruntukkan 'tribunal base (inquisitorial) bagi prosedur berkaitan tatacara hal ehwal kekeluargaan Mahkamah Syariah.