UTUSAN Malaysia menyiarkan pada muka hadapan cerita dan gambar penduduk kampung bergotong-royong mengusung sebuah rumah pusaka di Kampung Katong, Kangar.
Bagi saya, gambar tersebut begitu simbolik dan membawa mesej penting untuk direnung oleh orang Melayu terutama selepas tsunami politik yang melanda pada pilihan raya lalu.
Perpaduan Melayu amatlah penting demi kelangsungan generasi kita pada masa hadapan. Usahlah kita berbalah, bercakaran, menuding jari tetapi berusahalah mencari penyelesaian terbaik melalui permuafakatan.
Kalau kita bersatu, semua kerja boleh dibuat, kerja berat menjadi ringan. Matlamat untuk meninggikan maruah agama, bangsa dan negara akan dapat dicapai.
Bayangkan bila kita berpecah belah, pastinya rumah tersebut tidak terangkat bila setengah menarik ke kiri, setengah ke kanan. Akhirnya ‘rumah pusaka’ iaitu negara kita hancur, kita juga lenyap di bumi sendiri.