Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

13 April 2008

Bukan Melayu boleh berkuasa


APA kesan Pilihan Raya Umum Ke-12 kepada kuasa politik Melayu?

MUHYIDDIN: Saya melihat ada dua isyarat. Pertama, dominasi politik Melayu menerusi UMNO yang dulunya agak sukar ditandingi dan dianggap sudah berlaku sekian lama sejak merdeka seolah-olah sudah menjadi mitos. Oleh itu, kita fikir tidak boleh kalah, tetapi hari ini ramai pemimpin UMNO yang berada di negeri-negeri yang ditawan pembangkang, tidak menyangka akan kehilangan kuasa.

Jadi, ini akan menjadi satu kebangkitan dan kesedaran baru di kalangan orang Melayu bagaimana rapuhnya kuasa politik Melayu. Selain itu, jika suatu ketika dahulu masyarakat Cina menyatakan mereka hanya kelompok minoriti dan tidak akan menjadi kuasa penentu biarpun bergabung dengan masyarakat India, tetapi kali ini keadaan sudah berubah.

Mereka melihat melalui kuasa undi yang dimiliki dan jika mempunyai tekad yang sama kedua-dua kaum itu boleh menumbangkan kerajaan. Bagi orang Cina atau bukan Melayu mereka melihat boleh menjadi kuasa baru penentu arah tuju politik negara pada masa akan datang. Ini tidak berlaku sebelum ini.

Sebab itu, bagi saya, ini adalah pengajaran yang amat getir dan tidak boleh dipandang ringan.

Apa yang kita lihat sekarang, orang bertanya sejauh mana UMNO boleh bertahan dalam menghadapi gelombang pemikiran politik baru di Malaysia dan lebih penting sejauh mana kuasa politik Melayu boleh bertahan dalam tempoh yang mendatang ini.

Saya ambil kira sepenggal pilihan raya akan datang, bagaimana kita? Bolehkah UMNO survive?

Keduanya, mampukah menebus semula kekalahan dalam kita menentang arus gelombang pemikiran politik baru ini? Atau kita akan terus terjunam. Nauzubillah. Terjunam ke dalam gaung politik yang tidak boleh kita bangkit lagi.

Jadi bagaimana Tan Sri mentafsirkan kedudukan UMNO sekarang.

MUHYIDDIN: Ini saya hendak beri satu kejutan kepada pemikiran minda orang Melayu supaya mereka berfikir dalam apa yang saya sebutkan 'zon amat bahaya'. Mungkin ramai yang tidak sedar perkara ini. Saya lihat masih ada di kalangan orang UMNO anggap ini hanya set back biasa.

Mereka tidak fikir ia sebenarnya satu fenomena yang berkekalan. Mungkin mereka boleh anggap begitu dan berkata, "oh tersilap kerana kita hendak mengajar atau kurangkan majoriti sahaja.''

Tetapi kini bukan sahaja BN kurang majoriti malahan tidak boleh mempertahankan majoriti dua pertiga dan kalah banyak di negeri. Ini fenomena yang seharusnya menyedarkan orang Melayu khususnya tentang apa yang boleh berlaku dan apakah trend politik seperti ini akan kekal atau ia menjadi lebih teruk atau bertambah baik.

Bagi tujuan mengkondisikan pemikiran kita, saya biasa sebut elok kita ambil pendekatan, senario yang terburuk. Maknanya, kalau kita tidak mengambil satu langkah penting dengan segera, kita boleh hanyut. Saya pernah sebutkan bahawa kuasa politik akan hilang daripada tangan kita dan UMNO mungkin tidak akan bangkit untuk selama-lamanya.