Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

13 April 2008

Siang menjadi ular malam jadi orang

DI KALANGAN tiga Naib Presiden UMNO yang menang pada pemilihan lalu, dua sudah mengesahkan pendirian. Ali Rustam mahu mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO. Isa Samad yang sempat memegang jawatan itu selama sembilan bulan tidak mahu bertanding lagi. Isa khabarnya mahu berbakti ikut cara sendiri. Beliau masih digantung dan penggantungan itu tamat Jun ini setelah beliau didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin parti selepas pemilihan yang lalu. Sebut pasal Isa, menjelang pemilihan Disember ini, seorang sahabat memberitahu "gajah duduk sudah mula berdiri''. Maksudnya cerita Isa mengenai gajah duduk dan gajah berdiri. Menurut Isa, orang politik suka hati jika bermimpi naik gajah kerana ia petanda baik. Bagaimanapun gajah itu hendaklah berdiri. Jika gajah itu duduk, ia bukan petanda baik, maknanya orang itu tidak akan ke mana. Adakah keputusan itu kerana Isa mendapat mimpi gajah duduk?

Masih terlalu awal untuk meramalkan ke mana Isa kali ini walaupun ada yang berkata, beliau masih mempunyai sokongan khususnya di Negeri Sembilan tetapi ada juga yang berkata sukar untuk beliau menawarkan diri ke jawatan yang sama. Setiap malam orang boleh bermimpi. Mana tahu selepas Jun ini, Isa mimpikan gajah berdiri?

Apa pun satu lagi kenyataan Isa yang menarik apabila semasa ucapan penggulungan hari terakhir pada Perhimpunan Agung UMNO 2004 ialah: "Jangan kita bersandiwara, beri sokongan 100 peratus terutama dalam senario politik akan datang. Kita tidak mahu dalam UMNO ada pemimpin seperti filem Pancha Delima iaitu siang menjadi ular, malam menjadi orang. Kita mahu jika mahu jadi ular, terus jadi ular dan jika nak jadi orang terus menjadi orang.''

Dan berbalik kepada pilihan raya umum lalu, jelas terbukti bahawa kekalahan UMNO kerana adanya orang seperti dalam filem Pancha Delima.

Presiden UMNO, Abdullah Ahmad Badawi sudah mengakui bahawa berlaku sabotaj menyebabkan 14 kawasan Parlimen yang putih bertukar menjadi hitam sehingga Barisan Nasional (BN) kecundang.

KecundangSabotaj memang sudah diketahui umum. Tetapi kenapa berlaku sabotaj? Seperti yang ditulis pada minggu lalu, banyak faktor yang sudah ada dalam pengetahuan UMNO kenapa mereka kecundang dan sekarang bukan masa untuk bertanya ''Tuahkah yang benar atau Jebat yang benar''. Sekarang untuk mencari jawapan jika Tuah benar, kenapa, dan jika Jebat pula yang salah kenapa?

Carilah punca sebenar kenapa berlaku sabotaj.

Kenapa ada yang siang menjadi ular malam menjadi manusia. Kenapa 'sokong membawa rebah'. Kenapa ada 'musang berbulu ayam', 'musuh dalam selimut' atau 'gunting dalam lipatan'. Kenapa ada 'pagar yang sanggup makan padi' atau 'pancing makan umpan'.

Antara jawapannya tentulah seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Najib Tun Razak pada Khamis lalu. Beliau menyatakan kaedah pemilihan calon yang tidak mendapat restu UMNO di peringkat bahagian dikenal pasti sebagai satu daripada sebab. Itu maklum balas yang diterima oleh Jawatankuasa Pengurusan UMNO dalam perjumpaannya dengan pemimpin-pemimpin UMNO bahagian di Kedah. Kebanyakan Ketua Bahagian dan anggota jawatankuasa UMNO Bahagian kecewa kerana pemilihan calon tidak dirujuk kepada mereka.

Beliau berkata pemilihan calon sebenarnya perlu dirunding bersama jawatankuasa bahagian dengan lebih menyeluruh sebelum seseorang calon dipilih.

Perkara pemilihan sudah disenaraikan di dalam Perlembagaan UMNO tetapi kenapa di sesetengah tempat ia seperti tidak dipatuhi. Lain keputusan dibuat lain pula yang dilaksanakan. UMNO sebenarnya 'sudah kenyang makan kerak' tetapi kenapa perkara seumpama ini berulang? UMNO bukan sekali dua menghadapi pilihan raya tetapi kata orang, sudah terhantuk baru tengadah.

Tidak dinafikan calon adalah antara masalah yang sering dihadapi setiap kali pilihan raya umum. Dan kebiasaannya melibatkan parti-parti komponen BN. Maka apabila calon yang tidak direstui dipilih maka pucuk pimpinan akan didatangi rombongan untuk melobi dan memprotes pada saat akhir. Justeru sama ada mereka calon payung terjun atau calon tempatan, pemilihan perlu dirundingkan dengan bahagian.

Dr. Rais Yatim pada tahun 2004 pernah mencadangkan supaya UMNO merangka sistem penentuan calon lebih awal dan tersusun serta berasaskan kriteria tertentu bagi mengelakkan sebarang masalah menjelang pilihan raya. Menurut Rais, prosedur penentuan dan penamaan calon sekurang-kurangnya setahun lebih awal akan mewujudkan keadaan lebih aman damai menjelang pilihan raya. Pada masa yang sama dapat mengurangkan lobi melobi dan teka-teki mengenai calon.

Calon-calon yang disenaraikan itu boleh ditapis dan diselidik dalam segenap aspek. Keputusan akhir boleh dibuat seminggu dua sebelum penamaan calon. Jika tidak, rasa tidak puas hati akan diterjemahkan kepada tindakan mereka tidak menyokong parti semasa pilihan raya. Ketika itu mereka tidak menepati janji kepada parti, bak kata 'tegak berpaling, duduk berkisar'.

- HASSAN MOHD NOOR