Oleh Dr Sheikh Muszaphar Shukor
RELA dijadikan bahan eksperimen bagi melihat kesan pada sistem tubuh manusia apabila terdedah kepada radiasi dan mikro graviti di angkasa lepas. |
Sheikh Muszaphar perlu selesaikan kajian saintifik, jadi eksperimen untuk lihat kesan tubuh manusia terdedah kepada radiasi dan mikro graviti
SAYA kembali semula ke Russia pada 19 Februari lalu. Bukan untuk meneruskan latihan, tetapi eksperimen saintifik yang masih belum selesai.
Tubuh badan saya dijadikan bahan eksperimen oleh saintis Russia, Jepun dan Eropah untuk melihat kesan sampingan apabila tubuh manusia terdedah kepada radiasi dan mikro graviti di angkasa lepas.
Sejak awal lagi, saya bersetuju menjadikan diri sebagai bahan eksperimen demi kebaikan manusia sedunia. Setakat ini, saya tidak mengalami sebarang kesan sampingan. Tubuh saya sudah kembali normal.
Namun pemeriksaan terhadap tubuh ini akan diteruskan setiap tiga bulan selama setahun untuk memastikan segala-gala kembali normal.
Bagaimanapun, kesempatan ke Russia membawa kembali pelbagai kenangan manis. Di negara inilah saya bertapa selama setahun untuk berlatih menjadi seorang angkasawan. Bahasa Russia masih segar di ingatan.
PELBAGAI ujian dibuat termasuk pemeriksaan darah dan kepadatan tulang. |
Saya tidak menghadapi masalah berkomunikasi dengan mereka. Seolah-olah seperti pulang ke kampung halaman. Saya tinggal di StarCity selama empat hari dan berkesempatan berjumpa kawan lama, cosmonaut termasuk tenaga pengajar Russia yang membimbing saya selama ini demi memastikan saya mencapai impian ke angkasa lepas.
Mereka seperti keluarga sendiri. Saya juga berjumpa krew yang kembali bersama, termasuk cosmonaut Korea Selatan yang akan ke angkasa lepas April ini.
Ko San dan So-Yeon, dua rakan karib saya yang jelas menampakkan keghairahan menanti detik sebagai rakyat Korea Selatan pertama ke angkasa lepas.
Saya tersenyum kepada diri sendiri. Inilah perasaan yang saya alami sebelum ini. Saya menghabiskan masa selama empat jam bersama mereka menceritakan pengalaman dan menunjuk ajar mereka. Ini adalah talian persahabatan antara dua negara, Malaysia dan Korea Selatan.
BERSAMA bakal angkasawan pertama Korea Selatan, Ko San dan So-Yeon. |
Di StarCity, pelbagai ujian dijalankan termasuk pemeriksaan darah dan kepadatan tulang (bone density). Di angkasa lepas, pelbagai perubahan berlaku terhadap fisiologi tubuh termasuk kardiovaskular, otot dan tulang.
Manusia dicipta untuk hidup di bumi dan apabila manusia menjelajah angkasa lepas, pelbagai perubahan yang agak ekstrim berlaku.
Dalam waktu yang singkat, iaitu pada hari ketiga di angkasa lepas, tulang manusia mula menampakkan kesan kerapuhan atau osteopenia. Bayangkan mereka yang tinggal di ISS selama enam bulan. Setakat ini, keputusan pemeriksaan terhadap tubuh saya kelihatan memuaskan. Tidak ada keputusan tidak normal. Syukur alhamdulillah. Ini semua adalah berkat doa rakyat Malaysia.
Apabila kembali ke Malaysia, suasana pilihan raya dapat dirasai. Setiap orang sibuk bercakap mengenai pilihan raya, baik di kedai kopi mahu pun pejabat.
Sejak awal lagi, saya berminat dalam bidang politik dan sering mengikuti perkembangan politik di tanah air walaupun berada di Russia.
Namun belum terlintas untuk menceburi bidang politik secara aktif. Orang sibuk berkempen mengenai pilihan raya, saya pula sibuk berkempen mengenai angkasa lepas. Kepuasan tidak terhingga pada diri ini tercapai apabila melihat senyuman pada anak kecil dan pelajar yang begitu bersemangat untuk menceburkan diri dalam bidang sains dan matematik.
Inilah matlamat dan tanggungjawab saya ketika ini. Tanggungjawab sepanjang hayat. Inilah janjiku untuk negara.
Soalan
Bagaimanakah keadaan suhu dan udara ketika berada dalam Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa ISS. Saya juga ingin tahu waktu di sana?
Siti Nor Hasmah Ahmad Jani,
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, Kuala Lumpur.
Jawapan:
ISS sentiasa mengelilingi orbit pada ketinggian kira-kira 400 kilometer dari bumi. ISS didiami empat krew yang sentiasa menjalankan pelbagai aktiviti seperti eksperimen saintifik dan membina ISS yang dijangka siap pada 2009.
Suhu di ISS ditetapkan antara 22 hingga 26 darjah Celsius dan dikawal oleh pusat kawalan misi di Moscow dan Houston. Tekanan dan kandungan udara adalah sama seperti di bumi. Kandungan oksigen, karbon dioksida dan nitrogen dikawal dengan teliti oleh pakar bagi memastikan sesuai untuk krew.
Sistem amaran akan berbunyi jika ada perubahan dalam kandungan udara di ISS dan tindakan sewajar akan diambil untuk memastikan keselamatan krew di ISS.
Sementara itu, waktu di ISS adalah mengikut GMT (Masa Min Greenwich). Saya memakai tiga jam tangan di ISS bertujuan pertama, melihat waktu solat mengikut waktu Kazakhstan; kedua, waktu GMT untuk kerja seharian dan ketiga, waktu Malaysia sebagai panduan waktu negara tercinta.
Di ISS, siang dan malam berlaku setiap 45 minit. Oleh itu, jam tangan amat penting dalam meneruskan kehidupan harian di angkasa lepas.