Dr Muszaphar azam beri sumbangan kembalikan keagungan Islam dalam bidang astronomi, sains
PENGANUGERAHAN Tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan adalah satu penghormatan yang begitu besar buat diri ini. Saya berasa begitu terharu dan berbangga menerima anugerah itu memandangkan ia adalah satu tanggungjawab yang begitu besar.
Ia sudah pasti membuat saya berusaha dengan lebih gigih menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam dengan harapan dapat mengembalikan keagungan Islam khususnya bidang astronomi dan sains.
Ini jelas menunjukkan penjelajahan angkasawan ke angkasa lepas bukan saja membabitkan bidang sains tetapi juga kebanggaan Islam secara menyeluruh. Negara Islam seluruh dunia juga berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam kehidupan di angkasa sebagai umat Islam.
Bagi saya, “Islam is a way of life” dan amat penting ibadat dilakukan baik di bumi mahupun di angkasa. Islam bukan saja membabitkan ibadat yang dilakukan seharian seperti bersembahyang atau berpuasa tetapi lebih kepada corak pemikiran dan tingkah laku. Dengan erti kata lain , Keislaman seseorang harusnya datang dari rohani dan jasmani.
Walaupun saya orang Islam ke sembilan menjelajahi angkasa lepas, Malaysia adalah negara yang pertama menghasilkan panduan beribadah di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bersama Jabatan Agama Islam (Jakim) selepas berbincang bersama ulama dan mufti seluruh dunia.
Semoga ia menjadi teladan dan contoh kepada angkasawan Islam yang lain pada masa akan datang. Baru-baru ini, saya di jemput oleh Shura Council di Amerika Syarikat untuk berkongsi pengalaman di angkasa bersama umat Islam di negara itu pada Mei ini dan insya-Allah saya akan menjalankan tanggungjawab itu sebagai angkasawan negara.
Saya baru kembali menjelajahi Sibu, Sarawak selama tiga hari bertemu pelajar di Sibu dan sekolah berhampiran di Sarawak dan begitu terpegun dengan semangat yang ditunjukkan mereka.
Ramai yang bertanyakan soalan yang berkualiti tinggi untuk mengetahui dengan lebih mendalam bukan saja mengenai kehidupan seharian di ISS tetapi juga eksperimen saintifik yang sudah dijalankan.
Walaupun majoriti penduduk Sibu berbangsa Cina, semangat perpaduan yang ditunjukkan bersama masyarakat Melayu dan India sungguh mengagumkan. Saya berkesempatan melawat Agape Centre di Sibu dan begitu tertarik dengan perhatian dan bantuan yang diberikan kepada golongan kurang upaya dan kanak-kanak yang memerlukan.
Penduduk Sibu nampaknya begitu ramah dan mesra dengan senyuman yang sentiasa terpapar di wajah mereka. Saya berjanji untuk kembali ke Sibu untuk menjalankan pelbagai kerja amal khususnya kepada golongan kanak-kanak yang memerlukannya. Mungkin bukan sahaja Sibu tetapi seluruh negara.
Fokus saya sejak dulu lagi adalah kepada golongan kanak-kanak dan akan melakukan yang terbaik untuk mereka. Merekalah harapan negara pada masa akan datang dan amat penting untuk menukar minda mereka dari peringkat awal lagi.
Ibu bapa dan guru harus memainkan peranan yang mendalam dalam mencorak kehidupan mereka. Tidak semestinya menjadi angkasawan tetapi juga sebagai saintis, doktor mahupun bidang kejuruteraan. Kita harus bermula dari sekarang untuk mencapai wawasan dan visi negara untuk menjadi sebuah negara yang maju dalam menghasilkan modal insan yang berilmu tinggi dan berkualiti. Inilah harapan kita semua. Inilah impian negara. Wassalam.
SOALAN
Bagaimana Dr berbuka puasa di angkasa lepas dan apakah juadahnya. Saya juga ingin tahu apa yang Dr lakukan ketika masa lapang?
Mohamad Safwan Safrieales
Taiping, Perak
JAWAPAN
Saya sempat berpuasa selama dua hari di dalam kapal Soyuz ketika mengelilingi orbit sebelum docking di ISS dan ia adalah pengalaman menakjubkan. Tidak langsung berasa lapar mahupun dahaga. Sebaliknya saya merasakan ketenangan yang tak terhingga sepanjang dua hari berpuasa.
Saya bersahur dan berbuka puasa mengikut waktu Kazakhstan iaitu tempat pelancaran dan berbuka hanya dengan jus, roti dan keju ketika berada dalam kapal Soyuz.
Waktu lapang? Lazimnya kami begitu sibuk dengan pelbagai aktiviti termasuk eksperimen saintifik yang dijalankan ketika berada di ISS dan jarang mempunyai waktu lapang.
Waktu berehat adalah ketika waktu makan tengah hari dan malam. Jika ada kelapangan saya akan menghabiskan masa melihat bumi dan bintang di luar jendela ISS. Saya dapat merasakan kebesaran Allah dan memberikan ketenangan infiniti setiap kali melihat bumi yang begitu kecil ketika di ISS.