KUALA LUMPUR 18 April - Kerajaan wajar memperkemaskan lagi Dasar Integrasi Nasional dalam usaha menarik semula minat generasi muda, khususnya masyarakat Cina menghayati semangat perpaduan yang telah dibentuk sejak sekian lama.
Langkah itu perlu dilakukan segera supaya masalah tersebut tidak berlarutan yang akhirnya boleh memberi kesan kepada integrasi kaum secara keseluruhannya.
Pengarah Pusat Pengajian Polisi Awam, Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Tricia Yeoh berkata, pihaknya mengemukakan cadangan itu selepas melakukan satu kaji selidik yang bertajuk 'Generasi Muda Malaysia dan Perpaduan Negara' pada Julai tahun lalu.
Beliau berkata, secara umumnya generasi muda Melayu dan India tidak terlalu bermasalah berhubung isu perpaduan negara berbanding generasi muda Cina yang dilihat agak negatif.
''Bagi kami kerajaan perlu berbuat sesuatu kerana responden yang terlibat (masyarakat Cina) telah memberikan satu mesej bahawa kumpulan terbabit semakin menjauhkan diri daripada sistem perpaduan yang telah kita laksanakan selama ini,'' katanya kepada pemberita di Pejabat Majlis Peguam di sini, hari ini.
Kajian yang turut mendapat kerjasama Majlis Peguam itu melibatkan 1,000 responden berusia bawah 35 tahun dalam kalangan penduduk bandar dan penduduk luar bandar seluruh negara.
Tricia berkata, pihaknya yakin jika kerajaan mengambil langkah-langkah tertentu, masyarakat muda Cina akan lebih menghargai integrasi yang selama ini berjaya dibentuk melalui satu persefahaman sejak lima dekad lalu.
''Kita mahu melahirkan rakyat Malaysia yang mampu mengharungi susah senang bersama. Bagi generasi muda Melayu dan India saya yakin mereka tidak ada masalah cuma penekanan perlu diberikan kepada masyarakat muda Cina.
''Saya tidak kata mereka (pemuda Cina) terlalu negatif. Mereka sebenarnya masih boleh dibentuk asalkan kita sentiasa mendekati mereka,'' ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penduduk luar bandar lebih komited untuk melaksanakan program integrasi berbanding penduduk bandar.
Katanya, satu lagi penemuan yang agak mengejutkan ialah penduduk India mendakwa mereka tidak mendapat layanan yang adil daripada kerajaan dan perkara ini juga wajar diambil perhatian oleh semua pihak.