Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 April 2008

Dunia Melayu bantah Fitna



Kedutaan Belanda didesak mohon maaf secara terbuka kepada umat Islam

MELAKA: Pengerusi Negara-negara Anggota Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Seri Mohd Ali Rustam, sudah menghantar surat bantahan kepada Kedutaan Belanda di Kuala Lumpur tengah hari semalam berhubung tindakan penyiaran filem pendek berjudul, Fitna yang menghina Islam.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka ketika ditemui selepas merasmikan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan di Melaka, di Taman Botanikal Melaka, Ayer Keroh, dekat sini, berkata bantahan itu dihantar menerusi faksimile dan surat berdaftar.

"Selain menyatakan bantahan terhadap tindakan Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders kerana menyiarkan filem berkenaan, kita mendesak mereka memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam seluruh dunia," katanya.


Fitna disiarkan secara online pada 27 Mac lalu, antara lain menyelitkan imej serangan bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York, 11 September 2001 dan insiden serangan bom di stesen kereta api bawah tanah di Madrid pada 2004 yang dihiasi beberapa petikan ayat suci al-Quran serta lakaran kartunis Denmark menghina Nabi Muhammad SAW.

Mohd Ali juga menyokong tindakan firma perniagaan Belanda yang mahu menyaman Wilders jika perniagaan mereka terjejas akibat diboikot menyeluruh umat Islam.

"Jika perniagaan syarikat Belanda jatuh, maka jangan anggap orang Islam bersalah kerana menerbitkan filem menghina Islam suatu perkara yang tidak wajar dilakukan selain tidak bertamadun, merosakkan keamanan dan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Pertubuhan Majikan Belanda, Bernard Wientjes yang dilaporkan akhbar Denmark, Het Financieel Dagblad, kelmarin.

Wientjes dipetik sebagai berkata, jika pengguna Muslim memutuskan memulaukan produk keluaran Belanda, ia sudah tentu menjejaskan eksport seperti Shell, Philips dan Unilever.