Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 April 2008

Dominasi lelaki


Oleh Rohaniza Idris




MASAKAN, fesyen dan produk kecantikan kini dikuasai lelaki dan ramai yang mencipta nama menerusinya.

Nama seperti Chef Wan, Salikin Sidek, Rizalman, Datuk Bernard Chandran, Datuk Jimmy Choo dan Radzuan Radzwill begitu sinonim dengan dunia wanita. Mereka bukan saja menguasai bidang berkenaan tetapi turut mencipta nama dalam bidang masing-masing.

Kehadiran lelaki dalam dunia wanita sering mendapat perhatian ramai terutama pelanggan. Malah sebahagian wanita lebih suka berurusan dengan lelaki daripada wanita yang dikatakan lebih memahami kehendak mereka.


Menyertai sebaris nama terkenal di atas, dua anak muda Shariman Jaafar, 26, dan Yusfazrin Faisal Dr Yuslan, 23, masing-masing memasarkan produk kecantikan dan penjagaan badan serta mengusahakan spa.

Tempa nama dalam dunia kecantikan

Shariman, Yusfazrin Faizal dapat sokongan keluarga

SHARIMAN menunjukkan produk yang dijual di kedainya.

PERMINTAAN tinggi terhadap kosmetik dan penjagaan badan menarik minat seorang anak muda, Shariman Jaafar, 26, untuk memasarkan produk Skin Food di negara ini. Beliau adalah seorang daripada tiga Melayu yang mendapat francais memasarkan produk yang berasal dari Korea itu ke negara ini.

Memulakan perniagaan kerana minat berniaga, beliau yang ditemui baru-baru ini mengakui ramai yang terkejut apabila mengetahui beliau menceburi bidang kosmetik.

“Menurut kata kakitangan saya, ada pelanggan wanita terkejut apabila diberitahu kedai ini milik seorang lelaki. Pembantu saya selalunya akan menunjukkan lesen perniagaan yang diletakkan di kaunter depan untuk mengesahkan sayalah pemilik kedai. Paling lucu ada antara pelanggan sengaja singgah untuk menunjukkan kepada rakan mereka yang kedai ini milik saya,” katanya yang terbabit dalam bidang berkenaan selepas melihat kejayaan bapa saudaranya membuka Skin Food di pusat beli-belah Sungei Wang.

Ditanya mengenai persepsi ahli keluarga dan teman-teman apabila beliau menyatakan hasrat membuka kedai berkenaan, katanya mereka menyokong malah, ahli keluarga ibu, kakak, adik datang membantu di kedai ketika beliau tiada.

FAISAL menunjukkan barangan yang digunakan di spanya.

“Teman adik beradik juga menyokong dengan membeli produk Skin Food, malah mereka memperkenalkan kepada rakan yang lain,” katanya mengakui memilih bidang kecantikan dan penjagaan diri kerana pasarannya yang luas dan wanita suka berbelanja untuk produk kecantikan.

Pernah menjadi vokalis kumpulan Indrani sekitar 2004, Shariman mengakui turut menggunakan produk Skin Food seperti pencuci muka, “sunblock” dan krim pelembap sejak mengusahakan perniagaan itu, malah rakan lelakinya turut mencuba produk berkenaan terutama sunblock dan krim pelembap.

“Saya tidak memakai alat solek jadi tidaklah saya mencuba gincu, bedak atau maskara. Namun saya mengetahui semua produk yang dijual dan memberikan nasihat dan perundingan untuk pelanggan yang datang.

“Ada di kalangan pelanggan yang selesa dan mahukan perkhidmatan saya jika berkunjung ke kedai. Saya sedaya upaya cuba mengingati nama pelanggan tetap bagi menarik mereka serta mewujudkan hubungan yang lebih baik. Saya percaya langkah ini dapat menarik pelanggan,” katanya lulusan kejuruteraan bunyi di Ocean Institut, Bangi selepas dua tahun mengambil bidang akaun di Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Seorang lagi lelaki muda yang menceburi ‘dunia wanita’, Yusfazrin Faisal Dr Yuslan, 23, berasal dari Kelantan dan dibesarkan di Brunei dan Indonesia.

Mahu dikenali sebagai Faisal, menceburi dunia wanita bukanlah satu yang melucukan atau melanggar norma biasa masyarakat kerana niatnya menceburi perniagaan spa mahu membetulkan persepsi salah masyarakat terhadap industri berkenaan yang sering dikaitkan dengan industri pelacuran dan tidak bermoral.

“Saya menceburi bidang perniagaan kerana minat dan potensi spa yang semakin mendapat sambutan ramai serta khalayak pengguna yang besar di kalangan wanita,” katanya yang mengikut jejak bapanya yang bergiat dalam perniagaan perhotelan di Jakarta, Indonesia.

Dalam loghat campuran Malaysia dan Indonesia, Faisal mengakui ramai yang terkejut apabila mengetahui beliau mengusahakan spa kerana jarang anak muda Melayu terbabit dalam perniagaan itu.

Ditanya bagaimana mengendalikan pelanggan yang kebanyakannya wanita, katanya pendekatan mesra pelanggan menjadi prinsip dalam perniagaannya selain kualiti perkhidmatan dan produk diutamakan.

“Essentia Spa di Hotel Nikko ini di buka sejak dua tahun lalu dan kini kedai sedang dibesarkan bagi membolehkan kemudahan pelanggan di masa depan,” katanya meletakkan sasaran selebriti tanah air sebagai pelanggan utamanya tahun ini.

Sebelum ini, katanya mereka yang mahu mendapatkan perkhidmatan dan rawatan di spa ala Bali atau Jawa terutama di kalangan selebriti dan golongan VIP sering ke Indonesia kerana menganggap negara berkenaan saja yang boleh menawarkan perkhidmatan terbaik.

“Dengan membawa spa ala Jawa dan Bali ke Malaysia, mereka tidak perlu lagi terbang ke republik berkenaan kerana rawatan sama ada di sini. Ahli terapi dan petugas di spa ini adalah terlatih kerana mendapat latihan daripada akademi Marthar Tilaar - Gaya Spa,” katanya yang bangga terbabit dalam industri wanita dan berhasrat membuka akademi spa di negara ini.

Mengakui mendapat galakan ibu bapanya, beliau bercadang mengambil pelatih untuk menjadi ahli terapi terutama dari Kelantan negeri asalnya selain dari Sabah dan Sarawak.

“Saya mahu masyarakat mengubah persepsi negatif mereka terhadap spa. Spa adalah tempat untuk berehat dan memberi rawatan kecantikan dan kesihatan kepada wanita,” katanya.