Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

22 April 2008

Eksport babi bertentangan dengan status negara Islam


KUALA LUMPUR 19 April - Pelbagai pihak hari ini membantah dan mendesak kerajaan supaya tidak melayan cadangan sekumpulan pelabur China untuk menjadikan Malaysia sebagai pengeksport daging babi ke republik berkenaan.

Mereka berpendapat langkah mengeksport daging babi itu adalah bertentangan dan merosakkan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang disegani.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan kenapa pelabur berkenaan tidak membuka ladang ternakan babi di China.

Katanya, jika dieksport pula adakah harga daging babi itu masih murah selepas diambil kira kos penghantaran.

"Jumlah penduduk China lebih satu bilion, sepatutnya dia yang keluarkan daging babi sendiri, kenapa mahu melibatkan Malaysia?

"Kita tidak menolak kepentingan masyarakat bukan Islam di negara ini, apa yang ada sekarang sudah mencukupi," katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Ketua Unit Penternakan Babi Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Beh Kim Hee mengenai cadangan sekumpulan pelabur China yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai peng- eksport daging babi ke negara mereka.

Cadangan itu dibuat kerana harga daging babi yang ditawarkan di ladang-ladang negara ini cukup kompetitif, malah antara yang termurah di Asia.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, cadangan itu mesti ditolak kerana Malaysia telah diisytihar dan dikenali umum sebagai sebuah negara Islam yang dihormati.

"Penternakan haiwan tersebut bagi menampung keperluan dalam negara menjadi hak orang bukan Islam di negara ini kerana ia makanan mereka.

"Tetapi sehingga ke tahap eksport saya berpandangan itu bukan lagi hak. Tidak ada keperluan untuk itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub berkata, tidak pernah ada dalam sejarah mana-mana negara Islam yang muncul sebagai pengeskport babi.

Katanya, kerajaan mesti menolak cadangan tersebut kerana ia bertentangan dengan latar belakang negara ini.

"Latar belakang sebagai sebuah negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam perlu dihormati, tiada negara Islam di dunia ini yang menjadi pengeksport babi," tegasnya.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, kerajaan mesti meletakkan keutamaan maruah dan imej negara berbanding keuntungan.

Katanya, pengeluaran besar-besaran itu akan membuatkan negara berdepan dengan masalah yang tidak dapat dijangka walaupun penternakan babi itu kelak menggunakan teknologi canggih.

"Akan ada risiko pencemaran dan kerana itu kita lihat negara-negara lain tidak begitu berminat.

"Kerajaan mesti ada keutamaan, imej dan maruah itu lebih penting dari aspek keuntungan," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berharap kerajaan membuat penelitian mendalam terhadap permintaan para penternak babi itu.

Katanya, banyak aspek yang perlu dilihat kerajaan terutama dari aspek dasar sebagai negara Islam dan kesan alam sekitar ekoran peningkatan jumlah babi untuk menampung pasaran eksport.