Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

22 April 2008

ISIS berkhidmat untuk semua


Oleh: MAZLAN NORDIN

SEHARI selepas menyambut ulang tahunnya yang ke-25 pada 8 April lalu ISIS menganjurkan forum Hubungan Dua Hala Malaysia-Indonesia: Penilaian dan Masa Depan. Lalu pelbagai pendapat disampaikan dan saranan diajukan oleh Pengerusi Persatuan Usahawan Muda Indonesia, Sandiaga S. Uno.

Demikian antara peranan ISIS mengenai strategi dan dasar negara dalam dan luar negara seperti dirakam waktu penubuhannya pada tahun 1983, dengan bekas Perdana Menteri Tun Hussein Onn sebagai pengerusi pertama. Ertinya, ISIS sentiasa pantas meneliti apa juga hal yang memerlukan perbicaraan dan kajian sewajarnya secara teratur.

Sebilangan tokoh pelbagai negara turut serta dalam forum demi forum anjuran ISIS. Antara mereka, bekas Perdana Menteri British Margaret Thatcher; bekas Setiausaha Negara Amerika Dr. Henry Kissinger; Presiden Tanzania Dr. Julius Nyarare (tiga kali), bekas Perdana Menteri Australia Malcolm Fraser; Perdana Menteri India Manmohan Singh (ketika itu Setiausaha Agung South-South Commission).

Bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela; Putera Noradom Sihanouk dari Kampuchea, bekas Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu Boutros Ghali; bekas Menteri Luar Thailand, Tun Thanat Khoman dan Toh Puan Nelly, balu Tun Adam Malik, Menteri Luar Indonesia yang berperanan menamatkan konfrontasi.

Maka dalam segala majlis perbincangan apa jua pendapat disuarakan dengan bebas oleh para diplomat, tokoh politik, para sarjana, golongan intelektual dan juga wakil-wakil media massa.

Satu contoh ialah perbicaraan mengenai Islam Hadhari baru-baru ini manakala seorang peserta warga Arab membawa persoalan mengenai nama manakah yang tepat: Islam Hadhari (Islam is civilizational) atau Hadratul Islam (Civilisation of Islam) atau Al-Islam Hadhara (Islam is Civilisational). Bagi beliau persoalan berbangkit kerana nama berasal daripada bahasa Arab.

Sejak permulaan, ISIS dipandu oleh pengerusi-pengerusi yang berpengalaman luas seperti Tun Hussein Onn hingga 1990. Tan Sri Datuk Zainal Abidin Sulong, bekas Setiausaha Agung Kementerian Luar (1990-1997) dan Tan Sri Noordin Sopiee (1997-2005).

Adakala mereka berbicara dengan tegas seperti Hussein Onn yang mengingatkan Jepun bahawa keburukan akan berlaku jika ia berusaha memainkan peranan ketenteraan di rantau Asia. “Lebih baik mencari kawan dari lawan. Yang bakal menjadi musuh hendaklah dijadikan bakal kawan. Kerana belum luput dari ingatan ialah penaklukan oleh bala tentera Jepun dalam masa perang di timur Asia.

Menyarankan

Noordin Sopiee pula ketika berucap mengenai kerjasama yang diperlukan di antara negara-negara membangun mengingatkan dalam bahasa Inggeris: “We need neither despondent pessimism nor wide-eyed optimism, but cold-blooded realism.” Lalu beliau menyarankan kritikan diri sendiri, bukan perbuatan menuding jari atau putus asa.

Kata-kata seumpama pembuka selera seperti itu mendorong para peserta forum berbincang dengan bebas. Namun, tidak ada pula yang hilang sabar. Seperti kata seorang diplomat asing selepas menyertai forum “right mix of relish and restraint.”

ISIS juga membuat kajian atau analisis mengenai pelbagai dasar dengan kerjasama pakar-pakar atau organisasi luar. Antaranya: Rancangan pembangunan tiga segi Indonesia, Malaysia, Thailand dan kajian mengenai pengambilan babu dari negara lain serta penubuhan Islamic Development Bank (IDB). Ia juga membantu perancangan Visi 2020 dan kerjasama antara negara-negara selatan serta mengatur sidang meja bundar Asia-Pasifik.

Dalam pada itu ada juga pihak-pihak lain menerbitkan buku, dokumen atau kertas kerja mengenai hal-hal di Malaysia termasuk perbezaan watak orang Melayu di rantau ini. Contohnya Contesting Malayness: Malay Indentity Across Boundaries terbitan Singapore University Press. Suatu lagi ialah kajian ramalan mengenai meningkatnya bilangan orang Melayu di Malaysia hingga lebih 62 peratus pada tahun 2010, iaitu kajian organisasi asing seumpamanya bertukar-tukar bahan-bahan kajian masing-masing.

Pengerusi ISIS kini, Datuk Seri Mohamed Jawhar Hassan pernah menjadi Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Kebangsaan. Beliau juga telah berkhidmat dengan Kementerian Perdagangan dan Industri serta kedutaan-kedutaan Malaysia di Indonesia dan Thailand.

Turut mengendalikan ISIS ialah Profesor Dr. Mahani Zainal Abidin sebagai Ketua Pengarah. Darinya penjelasan: “Semenjak ditubuhkan, ISIS banyak memberi input dan pandangan terhadap polisi nasional termasuklah dalam bidang ekonomi, pendidikan, alam sekitar dan perhubungan antarabangsa. Isu-isu nasional terutamanya yang berkepentingan tinggi perlu mendapat pandangan pelbagai pihak dan di sinilah ISIS memainkan peranan sebagai platform yang boleh menggemblengkan pandangan pelbagai pihak. Di antara laporan yang disediakan ialah “knowledge-based Economy Master Plan.” “Housing the Nation” dan Kajian Proses dan Prosedur Pengajian.”

Menganalisa

Sekarang ini, satu kajian tentang “Energy Blueprint” sedang disediakan yang akan menganalisa persoalan yang dihadapi oleh sektor tenaga negara dan seterusnya cadangan akan dibuat untuk mewujudkan sektor tenaga yang cekap dan memenuhi keperluan negara.

Seperti namanya, ISIS Malaysia memang banyak berkecimpung dan menyertai perbincangan di peringkat antarabangsa. ISIS adalah wakil negara dalam rangkaian institusi kajian strategik negara-negara ASEAN atau lebih dikenali sebagai “ASEAN-ISIS network.” Tumpuan perbincangan dan kerjasama adalah untuk mengeratkan lagi integrasi dan persefahaman di kalangan negara-negara di rantau in. Selain dari itu, ISIS juga menjadi ahli jalinan institusi-institusi penyelidikan Asia Timur (Network of East Asian Think-tanks atau lebih terkenal sebagai NEAT) yang mendukung usaha kerajaan negara-negara Asia Timur untuk mewujudkan hubungan serantau yang lebih menyeluruh dan mapan.

Sebagai institusi penyelidikan, ISIS juga menyumbang kepada perbincangan isu-isu antarabangsa. Jawhar Hassan turut berucap di “East Asia Forum Dialogue” yang diadakan di Sydney, Australia pada bulan Mac 2008. Turut serta di majlis dialog ini ialah Dr. Surin Pitsuwan, Setiausaha Agung ASEAN, Prof. Ross Garnaut, Ketua “Garnaut Climate Review” dan Prof. Zhang Yunling dari Akademi Sains Sosial China. Saya sendiri kesempatan membentangkan kertas kerja mengenai “Demographic Changes in Asia: Factors of Uncertainty or Source of Strength?: di Asian Development Bank Institute, Tokyo baru-baru ini. Kerja-kerja sebegini boleh mengetengahkan pandangan-pandangan dari Malaysia di peringkat antarabangsa di samping memahami pihak luar mengenai isu antarabangsa,” demikian kata Dr. Mahani.

Hakikatnya ISIS berkhidmat untuk negara dan pentadbiran negara, bukan untuk ahli-ahli politik atau parti-parti politik. Semoga ia terus berbakti.

Catatan kaki:

Tidak semua “think-tank” seperti ISIS. Majalah Amerika, The Atlantic keluaran bulan Januari/Februari lalu mengulas mengenai satu majlis anjuran Ethic and Public Policy Center yang dicap “right- of-center think tank,” iaitu daripada sayap kanan.

Berucap di majlis itu ialah Profesor Bernard Lewis, sarjana yang kerap menulis mengenai Islam dan mengkritik. Dilaporkan di Amerika ialah organisasi dan universiti yang mendukung perjuangan golongan neo-conservatives (ringkasnya, neo-cons). Lain negara, lain cara.

- Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat

peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.