Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 April 2008

Epilog: Awasi filem hina agama, budaya


Oleh Akmal Abdullah

MUNCUL satu lagi kerja filem atas nama kebebasan berkarya dan demokrasi seni menyebabkan pembikinnya mengambil peluang menghina agama orang lain. Kebiasaannya, Islam menjadi mangsa. Sikap prejudis pengkarya beginilah yang merosakkan keharmonian masyarakat sejagat hingga boleh mewujudkan sikap prejudis antara agama dan kaum di peringkat masyarakat global.

Ketika ini kecoh mengenai sebuah filem hasil garapan seorang ahli perundangan Belanda yang menghina Islam dan al-Quran. Filem itu dihasilkan ahli politik antipendatang asing dan pengkritik Islam, Geert Wilders menerusi filemnya bertajuk Fitna. Filem itu menafsirkan surah al-Quran daripada persepsi pengarah kafir itu yang antiIslam, diselang seli paparan serangan pengganas dan ucapan penuh kebencian dibuat pemimpin ekstremis terbabit.

Kerajaan Belanda sudah memberi amaran kepada Wilders mengenai filem berkenaan boleh mencetuskan kemarahan dunia Islam sama seperti pernah berlaku dua tahun lalu apabila lakaran menghina Nabi Muhammad SAW di siarkan media. Masyarakat Islam Malaysia juga membantah keras filem biadap itu.


Sebelum ini, filem Evan Almighty yang ditayang di negara ini juga menyebabkan ramai umat Islam marah kerana ceritanya mempersendakan Tuhan dan kisah Nabi Nuh. Suatu ketika dulu, filem dokumentari Belanda yang menghina penduduk Islam Indonesia, dinobatkan sebagai juara Pesta Filem Dokumentari Antarabangsa Amsterdam menerusi judul Stand Van De Maan arahan Leonard Retel Helmrich. Pada November 2004, media pernah melaporkan seorang penerbit filem di Belanda yang menghasilkan filem menghina Islam dibunuh. Theo van Gogh, dibunuh selepas beliau diancam akibat menghasilkan filem kontroversi yang mengkritik layanan Islam terhadap wanita hingga menimbulkan kemarahan penganut agama itu. Van Gogh sememangnya terkenal sebagai pengkritik Islam sejak dulu.

Sebenarnya banyak lagi filem yang menghina Islam cuba masuk di pasaran Malaysia. Pada Mac 2002, Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) Kementerian Dalam Negeri (KDN) pernah mengharamkan 21 filem luar negara kerana mengandungi unsur tidak sihat seperti menghina Islam. Pada 1999, LPF juga mengharamkan penayangan filem animasi muzikal Hollywood berjudul The Prince of Egypt dan pada 2005, LPF menarik balik kelulusan filem berkaitan Chin Peng, Lelaki Komunis Terakhir dan sekuelnya, Orang Kampung.

Pada 1996, filem Hollywood, Executive Decision juga membangkitkan kemarahan umat Islam di Amerika kerana karya itu memberi gambaran buruk mengenai orang Islam. Filem itu memaparkan antara lain bagaimana orang Islam melakukan keganasan dengan memegang al- Quran di sebelah tangan, menyebut ayat yang menghalalkan pembunuhan orang tidak berdosa dan satu adegan pengganas Islam menunaikan solat.

Indonesia pernah menghentikan tayangan filem yang menghina Islam, berjudul True Lies yang dibintangi Arnold Schwarzenegger.

True Lies dikecam kerana menggambarkan Islam sebagai ganas. Filem berkenaan juga dikecam pertubuhan wanita dan umat Islam di Amerika Syarikat kerana jalan ceritanya banyak memuatkan penindasan wanita. LPF juga pernah berjaya mengesan mengesan pengedaran filem dalam bentuk video tidak bertapis berjudul Dangerous Desire di pasaran tempatan apabila ceritanya ada unsur menghina Islam mengenai sepasang lelaki dan perempuan menari dalam situasi mengghairahkan berlatarkan muzik serta enam kali laungan azan.

Isu filem yang menghina Islam dan budaya masyarakat negara ini, khususnya Melayu sering berlaku atas sebab mereka yang tidak suka pada Islam dan tidak senang dengan nilai murni dalam masyarakat kita. Mereka menggunakan medium seni untuk luahkan kebencian, atas alasan ia adalah kerja seni berdasarkan eskpresi jiwa pengarah filem dan kononnya tidak salah bagi mereka.

Di negara kita juga sudah lama menampakkan sentimen pembikin filem yang kononnya mencari kebebasan berkarya atas nama seni menghasilkan filem yang mencemarkan Islam dan budaya, menghina insitiusi raja dan kedaulatan negara, mempromosikan kelucahan dan gay-lesbian serta mengagungkan pengganas komunis.

Golongan yang menghasilkan filem menentang arus sebegini bukan saja berbangga kerana diberi pujian daripada kelompok sesama mereka tetapi ada juga yang mendapat sokongan daripada cerdik pandai filem dan golongan akademik, kononnya filem dalam pemikiran dan ciri sedemikian adalah karya berestetika dan bernilai artistik tinggi. Malah, kelompok ini juga bermegah kerana karya mereka dicanang ‘berani’ dan ‘terbuka’ lalu dibawa pula ke festival filem luar negara untuk ditayang dan diberi hadiah juri, kononnya filem seperti inilah disukai ada pemikiran baru. Hakikatnya ia satu hipokrasi secara halus. Pakatan terancang mengangkat filem sedemikian menyebabkan kelompok yang menentang arus ini semakin berani menghasilkan filem mual. Akhirnya filem itu ditolak majoriti masyarakat di negara ini. Masyarakat kita kena awasi filem yang menghina agama dan budaya kerana ia ibarat senjata halimunan yang merosakkan jiwa dan pemikiran masyarakat.

Kata orang, kokok berderai-dera, ekor bergelumang tahi...