Oleh Mohd Azis Ngah
KERETAPI turut menjadi sasaran keganasan komunis. |
Perkhidmatan kereta api dan sistem perhubungan melalui telefon terputus selama dua hari
KETIKA penduduk Kampung Tasek Gelugor, Pulau Pinang sedang lena diulit mimpi dan ada yang baru hendak melelapkan mata, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan gegaran kuat berlaku berhampiran kawasan perumahan terletak bersebelahan landasan kereta api.
Ada yang menyangka ia adalah dentuman guruh menyebabkan rumah mereka bergegar. Namun apa yang terjadi sebenarnya ialah jambatan merentasi Sungai Jarak, yang terletak kira-kira dua batu dari kawasan perumahan itu diletupkan pengganas komunis.
Detik hitam pada tengah malam 9 Mac 1971 itu menyebabkan landasan kereta api rosak teruk tetapi jambatan tidak terjejas. Komunis dikatakan gagal meletupkan sasaran utama iaitu jambatan yang bertujuan memutuskan terus hubungan utara-selatan semenanjung.
Kejadian itu menyebabkan sistem pengangkutan darat menggunakan kereta api tergendala, sistem perhubungan melalui telefon terputus kerana kabel di sepanjang laluan landasan terkena letupan bom.
Beribu penumpang terkandas, semua laluan utara (Padang Besar dan Bangkok, Thailand) ke selatan ditutup selama dua hari dan kereta api barang juga menerima kesan sama. Akibatnya banyak urusan tergendala dan kerugian dianggarkan mencecah ratusan ribu.
PEGAWAI keselamatan sedang memeriksa kerosakan jambatan. |
Polis yang bergegas ke tempat kejadian mendapati sebahagian besar landasan rosak tetapi jambatan masih boleh digunakan.
Paling menyakitkan hati, pasukan keselamatan menemui sehelai sepanduk bertulis beberapa tulisan Cina dan mempunyai dua lambang bintang merah. Ia jelas perbuatan komunis yang mencabar pasukan keselamatan dan cuba membuktikan kewujudan mereka.
Polis juga menemui satu beg plastik kosong yang dipercayai bungkusan bom serta serpihan letupan di tempat kejadian. Mujur ia tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa kerana ketika ini tiada kereta api melintasi laluan berkenaan.
Kereta api terakhir yang melalui jambatan itu ialah kereta api dari Alor Setar, Kedah menuju ke Butterworth, Pulau Pinang pada jam 8.30 malam iaitu kira-kira tiga jam sebelum kejadian. Jika ia berlaku ketika kereta api melintasi jambatan, sudah pasti banyak nyawa terkorban.
Penduduk dikatakan terkejut dan bingung dengan apa yang berlaku. Ada yang menyangkakan dentuman kuat kereta api tergelincir atau merempuh sesuatu.
Seorang penduduk yang bekerja sebagai pengawal keselamatan Parit dan Tali Air, Hussin Abdullah, 42, menyifatkan kejadian itu sebagai gegaran yang sangat kuat, menakutkan dan mengejutkan seluruh penduduk kampung.
“Kami baru hendak masuk tidur, tiba-tiba rumah bergegar. Saya sangka bumbung rumah saya bergegar disebabkan guruh, peliknya tiada tanda hari hujan. Kami sungguh terkejut dan tergamam, tidak dapat buat apa-apa kira-kira lima minit.
“Saya keluar untuk menyiasat apa yang berlaku, tercium bau asap tetapi tidak menemui apa-apa dan kami nampak polis baru tiba di situ,” katanya.
Berikutan kejadian itu, satu kompeni Askar Renjer Malaysia dari pangkalan Taiping, Perak dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan kerja mengesan perbuatan komunis berkenaan.
Ketua Turus Angkatan Darat, Leftenan Jeneral Ungku Nasaruddin Ungku Mohamed memaklumkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.20 pagi dan segera mengarahkan Ketua Kejuruteraan Angkatan Tentera, Brig Jeneral V Selvarajah menyiasat, menilai, mengesan kerosakan dan jenis bahan letupan yang digunakan.
Keesokannya, satu pasukan dari Pasukan Jurutera Malaysia tiba di situ untuk membantu menjalankan tugas menilai kerosakan. Bahkan, mereka juga mendapatkan khidmat pakar letupan yang diterbangkan khas menaiki dua helikopter dari Kuala Lumpur.
Di Alor Setar, Kedah, semua perkhidmatan kereta api barang antara utara selatan dibatalkan, hanya dua daripada tiga kereta api penumpang yang menuju ke selatan dibenarkan meneruskan perjalanan tetapi setakat ke Sungai Petani saja.
Kereta api penumpang ketiga dari Butterworth ke Padang Besar dan Hadyai, Thailand yang sepatutnya berlepas jam 8.30 pagi turut dibatalkan. Perkhidmatan kereta api barang dari Butterworth ke Alor Setar juga mengalami nasib sama.
Kerja penyelenggaraan diketuai Jurutera Kereta api Daerah Bukit Mertajam, Lam Tin Khein dan Ketua Inspektor Lalu lintas Kereta api, S Nadarajah. Timbalan Ketua Jurutera KTM, Patrick Lowe juga berada di tempat kejadian untuk melihat sendiri kesan angkara pengganas komunis.
Selepas dua hari, barulah perkhidmatan kereta api pulih seperti biasa termasuk Ekspres Butterworth ke Bangkok membawa 500 penumpang yang sepatutnya berlepas jam 7.40 pagi tetapi hanya dibenarkan bergerak pada jam 6 petang.
INFO: Jambatan Sungai Jarak
- Letupan bom menyebabkan lapan jalur kawat telefon di sepanjang landasan berhampiran rosak tetapi berjaya dipulihkan pada jam 11 pagi keesokannya, kira-kira 12 jam selepas kejadian.
- Keretapi Tanah Melayu (KTM) mengarahkan kerja membaik pulih dijalankan segera membabitkan 100 pekerja.
- Penumpang yang menaiki perjalanan Bangkok Ekspres yang sepatutnya berlepas dari Butterworth ke Padang Besar diarah meneruskan perjalanan dengan menaiki bas.