Oleh Shaidah Shafie
PENTAS Opera naskhah Zakaria Ariffin di tangan Pensyarah Jabatan Teater, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Syahrul Fithri Musa, membangkitkan nostalgia primadona penggiat panggung Melayu di Tanah Melayu sekitar 1940-an hingga 1960-an.
Malahan, Syahrul mengambil langkah berani menterjemah Pentas Opera ke dalam rentak kontemporari sambil menggali subteks yang mungkin akan menimbulkan semangat nasionalisme sekiranya mesej berkenaan berjaya sampai kepada khalayak..
Beliau mempertaruhkan bakat muda, Harith Syah Idris Hamshah sebagai Tuan Syekh Abdul Kadeer, tauke kumpulan Bangsawan Seri Nilam Opera yang dianggotai pelakon seperti Osman Bombay, Dolah Pacak, Mohd Nasruddin Syah, Ruby Soeparno, Tuminah, Juliah, Khatijah dan Siti Zaleha.
Kecergasan Bangsawan Seri Nilam Opera terencat apabila primadonanya, Ruby Soeparno, diambil secara terhormat oleh Raja Abdul Muluk dan Nasruddin dengan membawa mereka berpindah ke Singapura dan keadaan bertambah tenat apabila Inggeris merampas Tanah Melayu dari Jepun.
Tuan Syeikh Abdul Kadeer kemudian membawa primadona muda, Siti Zaleha, tetapi tidak berjaya mengembalikan kegemilangan Sri Nilam Opera terutama apabila tersebar khabar angin bahawa bangsawan itu akan dijual kepada tauke Cina.
Situasi berkenaan menimbulkan konflik memelihara tradisi dengan kepentingan hidup dan mampukah Osman Bombay serta rakan operanya mengekalkan kesinambungan panggung Melayu pada zaman kebangkitan semangat Melayu walaupun secara senyap.