Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 April 2008

Sayang selamatkan khazanah Melayu


Oleh Nazmi Yaakub


Azah di samping Unku Aziz dan Zeti pada pelancaran Pantun & Seloka Kanak-kanak Sayang.

Azah Aziz ketengah pantun, seloka kanak-kanak yang sudah lama dilupakan

SAYANG, kumpulan pantun dan seloka kanak-kanak susunan Sharifah Azah Mohamed Alsagoff atau lebih dikenali sebagai Azah Aziz, muncul di tengah-tengah pasaran buku yang agak kontang dengan buku kanak-kanak yang mengangkat sastera tradisional.

Pantun dan seloka yang menjadi pilihan pengarang untuk dimuatkan dalam buku ini, bertepatan dengan khalayak sasaran di kalangan kanak-kanak kerana bersifat pendek dan ringkas selain mengutamakan rentak serta irama yang rancak.


Buku yang diceriakan dengan lukisan Allahyarham Dzulkafli Buyong yang terkenal dengan lukisan kanak-kanak sebagai objek kegemarannya ini, terbahagi kepada lima bahagian iaitu pantun dan seloka Bermain, Keluarga, Alam, Nasihat dan Dodoi.

Pantun dan seloka Bermain pasti mengingatkan pembaca dewasa mengenai kehidupan pada zaman kanak-kanak mereka khususnya dekad sebelum dan sebaik merdeka, seperti Main Masak-masak, Lenggang-lenggang Kangkung dan Pok Amai-amai.

Sesuai dengan pendidikan kanak-kanak yang mempunyai kaitan dengan alam sekeliling, buku ini menampilkan pantun dan seloka yang menarik perhatian mereka kepada alam sekeliling seperti Air Pasang Pagi berhubung kehidupan pada awal hari, selain seloka O Bangau! yang membantu perkembangan minda mereka dengan teknik soal jawab.

Nasihat yang menjadi unsur penting dalam sastera dan budaya Melayu turut menjadi pilihan penyusun, apabila membariskan pantun Burung Kenek-kenek yang mengandungi nasihat mudah, tetapi sangat bererti dalam ketamadunan bangsa, manakala Itu Bulan, Itu Bintang pula, membuktikan kebijaksanaan orang Melayu dalam pendidikan anak kecil.

Masyarakat hari ini mungkin lebih mengenali lagu dodoi dari Barat sehingga lagu dodoi tradisi yang kental dengan kasih sayang keluarga terhadap anak semakin diabaikan seperti diakui penyusun yang turut memberi keutamaan pada lagu seperti O Bulan, Tok Tok Noyang dan Tidurlah Adik.

Azah dalam buku itu mengakui sebahagian puisi itu dikutip dan dipilih daripada perbendaharaan puisi Melayu lama, manakala sebahagian yang lain pula adalah kesan daripada pengalaman peribadi apabila didendang dan diajarkan ibunya.

"Manakala selebihnya saya peroleh daripada orang tua dan ada yang saya dapat daripada kawan dan rakan yang didesak bagi mengingatkannya semula. Kecuali beberapa rangkap seloka dan pantun yang masih terkenal, sebilangan daripada puisi dalam buku ini sudah hampir lesap dan lenyap ditelan zaman," katanya.

Lukisan Dzulkafli pula mempunyai tarikan tersendiri kepada kanak-kanak dengan objek dan warna yang memikat, sekali gus memudahkan pemahaman mereka untuk mendalami pantun dan seloka terbabit.


Jalinan karya Azah Aziz

SHARIFAH Azah Mohamed Alsagoff atau lebih dikenali sebagai Azah Aziz yang dilahirkan di Singapura, pada 21 Ogos 1928 dan dibesarkan di negara ini, mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Convent Inggeris di Johor Bahru, tetapi pengajiannya terganggu akibat perang.

Azah mengambil kursus kesetiausahaan, sempat berkhidmat sebagai Setiausaha di Jabatan Pengajian Sosial, Universiti Malaya (UM), Singapura dan Setiausaha Ketua Pengarang New Straits Times, Tan Sri Leslie Hoffman, yang memperkenalkannya kepada dunia kewartawanan, sebelum dilantik sebagai Pengarang Wanita Berita Harian serta Pengarang (Rencana) Utusan Melayu.

Beliau berkahwin dengan Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dan dikurniakan seorang anak, Tan Sri Dr Zeti Akhtar, menghasilkan buku berkaitan sastera tradisional dan kekeluargaan seperti Ibu, Kenangan Budi, Keluarga Kita, Pantun-pantun Melayu, Pantun Kanak-kanak, Adik Sayang, Bangau Kurus serta Di Taman Seni.

Pada 2006, beliau menghasilkan buku Rupa dan Gaya: Busana Melayu hasil daripada pelantikannya sebagai Karyawan Tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Azah bergiat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) apabila turut mengasaskan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama), selain pernah dilantik sebagai Presiden Pertama.

Dzulkafli Buyong yang dilahirkan pada 1948, pernah mendapat bimbingan pelukis terkenal, Patrick Ng ketika bersekolah di Sekolah Menengah Victoria sehingga tidak hairanlah beliau memenangi pelbagai hadiah pada pertandingan lukisan seawal usia 16, termasuk pingat emas dari Raja Permaisuri Agong pada masa itu, Tengku Budriah Tengku Ismail dan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman 'bagi penyertaan terbaik keseluruhan' pada Pertandingan Pelukis Muda.

Lukisan beliau boleh dinikmati di Balai Seni Lukis Negara, selain galeri di institusi pengajian tinggi (IPT), bangunan korporat dan koleksi peribadi pencinta seni.

Dzulkifli yang terkenal dengan lukisan bertema kanak-kanak, meninggal dunia kerana serangan asma, di rumahnya di Ampang Jaya, pada Februari 2004.


INFO: Pantun & Seloka Kanak-kanak Sayang

  • Penyusun: Azah Aziz
  • Lukisan: Dzulkiafli Buyong
  • Halaman: 96
  • Penerbit: MPH Publishing
  • Harga: RM30 senaskhah