Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@nstp.com.my
MENARA kayu cengal dihias ukiran lama Kuala Kangsar dan Baba Nyonya menjadi pintu utama ke banglo Sayang Pusaka.
Banglo milik Henry Bong dipenuhi tata hias daripada perabot dan barangan antik
SAYANG Pusaka berinspirasikan keindahan dan pertembungan seni tradisi dunia Melayu dan Malaysia menjadi saksi betapa kecintaan pada rumpun sendiri mampu dibingkiskan menjadi sesuatu yang begitu unik, elegan dan tersendiri.
Berteraskan campuran eklektik barangan lama berusia ratusan tahun dan hasil seni kontemporari seperti artifak, kendi dan seramik purba juga paparan lukisan di segenap ruang dinding rumah memberi 'nyawa' kepada kediaman serba mewah terletak di pinggir ibu kota ini.
Mungkin ada beranggapan memenuhkan setiap ruang dan penjuru rumah dengan barangan lama tidak sukar bagi pemiliknya Henry Bong sekali gus memudahkannya untuk terus bereskperimen sementelah beliau sendiri adalah pengasas Muzium Diraja Pucuk Rebung terletak di Suria KLCC. Tapi usahanya menggabungkan semuanya menjadi sebahagian dari gaya hidup kontemporari dan elegan harus diberi pujian.
Malah kediamannya itu juga dijadikan rumah contoh untuk pelanggan dan rakan niaga bertandang kerana bagi Henry, itu adalah cara terbaik untuknya mendidik masyarakat mengadaptasi warisan serantau ke dalam kehidupan seharian.
Namun, Henry yang menjadi generasi ketiga dalam keluarga serta mula mengumpul barangan antik sejak 40 tahun lalu menganggap tanpa keazaman dan minat terhadap sejarah juga seni budaya sendiri pasti tidak akan mendatangkan sebarang hasil.
BARANGAN antik dan perabot lama digandingkan dengan sette kulit gaya Chesterfield menjadi pilihan Henry.
"Lihat saja bagaimana minat dan cinta yang mula dipupuk sejak kecil mampu beralih menjadi pintu rezeki kepada saya namun sayang sekali kerana ramai masyarakat kita melihat sesuatu yang halus dalam barangan warisan lama sebagai sesuatu yang tidak bernilai.
"Saya pasti ramai yang membuang barangan lama peninggalan nenek moyang apabila reput dimakan anai-anai tanpa mengetahui ada cerita dan sejarah keturunan yang dibawa bersama barangan berharga itu. Lagipun kita sememangnya belum terdedah dengan konsep konservasi," katanya.
Siapa sangka hasil usaha Henry menjadi. Melihatkan menara kayu cengal beratap tinggi ditempah khas umpama menara peninjau istana lama dihiasi ukiran lama Kuala Kangsar dan Nyonya Melaka di halaman rumah membuatkan timbul rasa kagum. Malah, terasa kedatangan seperti dialu-alukan.
Melangkah kaki ke banglo dua setengah tingkat dan melihat sendiri tata hias rekaan dalaman kediaman dibuat menjurus pada konsep Baba Nyonya dan Anglo Melayu yang sememangnya semula jadi mengalir dalam darah anak Peranakan kelahiran Sarawak memberi jawapan pengetahuan dan kepakarannya tidak diragui .
GANDINGAN artifak purba.
Suasana mewah dan penuh nilai tradisi membuai diri dan garapan yang dibuat masih relevan dengan gaya hidup masa kini. Percampuran pelbagai budaya dan warisan setiap kaum berjaya diadun indah menampilkan Sayang Pusaka sebagai kediaman berkonsep warisan dalam gaya kontemporari.
Titik tumpu di ruang tamu Sayang Pusaka adalah melalui penggunaan katil antik digunakan pengantin keturunan Baba Nyonya Pulau Pinang buatan khas pengukir dari Cina Selatan yang diletakkan di tepi tangga menuju ke ruang utama.
Istimewanya katil ini adalah pada ukirannya. Walaupun berasal dari China namun tiada ukiran naga dapat dilihat melainkan ukiran sang kancil dan sejenis burung Phoenix berasal dari dongengan China.
Selain pemilihan perabot antik bercirikan tempatan, hiasan dalaman Sayang Pusaka turut diadun dengan artifak purba dari kurun ke 19 dan perabot zaman kolonial Inggeris. Penggunaan almari tinggi 'tall boy' Baba Nyonya dari kayu Jati dihiasi ukiran ringkas 'neo classic shell' diganding bersama sette kulit coklat gelap dalam gaya Chesterfield pada awal kurun ke-20 pula jelas menunjukkan cita rasa tinggi pemiliknya.
Henry berkata, dia mahukan sebuah rumah yang menonjolkan tamadun dan karektor asli rumpun dunia Melayu di aplikasi bersama barangan lama berkualiti tinggi yang dibaik pulih bersama barangan antik lain yang kekal usang juga kelengkapan baru.
"Hasilnya tidak pernah mengecewakan malah lebih menarik," katanya sambil menunjukkan daun pintu lama Baba Nyonya menuju ke ruang makan yang turut dibaiki dan dicat baru.
Minda lelaki pertengahan umur ini juga penuh dengan idea dan sentiasa kreatif. Di ruang dapur misalnya, dia mengubah sebuah kabinet ubat berlaci penuh yang biasa dilihat di kedai tabib Cina lama menjadi sebuah almari tinggi mencecah siling yang begitu unik.
"Asalnya ia hanya sebuah kabinet berlaci untuk menyimpan ubat saja. Kerana tertarik melihat kabinet itu membuatkan saya membuat tawaran membelinya dari tabib berkenaan. Rupanya agak buruk ketika dibawa pulang tapi benda yang lama tidak semestinya perlu dibiar buruk untuk mengekalkan nilai antik.
"Saya cat semula dan reka sebuah lagi kabinet berbentuk sama lalu digabung menjadi sebuah kabinet tinggi yang unik dan berguna untuk menyimpan koleksi sudu dan pelbagai barangan dapur lain," katanya tersenyum.
Dari ruang dapur, kaki terus melangkah dan mata masih ralit melihat segenap ruang. Paparan lukisan dan aksesori hiasan rumah benar-benar kelihatan 'majmuk' dari Peranakan, seni budaya Melayu dan seni budaya rumpun Melayu semuanya bersatu.
Menghiasi segenap sudut malah memenuhi ruang dinding di tangga adalah pelbagai lukisan koleksi peribadi milik Henry. Daripada lukisan klasik, potret dan kontemporari, semuanya penuh sehingga mencecah ruang siling. Pilihan lukisan penuh cerita membuatkan ruang sarat kelihatan unik dan mengasyikkan.
Puas menjelajah kediaman berkeluasan 557.4 meter persegi, kaki melangkah pula ke taman indah yang dibina sekeliling kediaman. Tangga yang dibina di cerun kiri dan kanan kediaman sengaja dibuat tinggi bagi memberikan ilusi luas.
Rahsia halaman belakang seolah-olah menjadi milik peribadi terlindung dek pintu lama Kelantan dari kayu Cengal bercat putih dihias tombol tembaga kepala singa. "Saya masih mengekalkan rekaan seni bina Melayu lama melalui pilihan pagar besi berukir motif bunga berasal dari England tapi dibaik pulih dan dicat semula dengan warna putih menjadikan ia mirip taman Inggeris zaman kolonial - Straits Settlement," katanya.
Patio yang terletak di halaman belakang umpama 'lokasi persembunyian' paling sesuai untuk pemilik melarikan diri seketika dari kesibukan kota. Binaan indah dihiasi ukiran Kuala Kangsar atau cucur atap di sepanjang tepian hujung bumbung mengingatkan kembali pada binaan rumah lama di kampung.
Ketenangan terasa apabila mata disaji hutan hijau di belakang rumah bertemankan suara unggas membuai perasaan. Di situ juga Henry menempatkan akuarium besar bersama pelbagai jenis ikan hiasan, kucing, kura-kura, ayam serama dan anjing yang menjadi teman di kala beristirehat pada waktu senggang.
INFO
Sayang Pusaka
Pemilik: Pengarah Urusan dan Pengasas Galeri Muzium Diraja Pucuk Rebung Suria KLCC, Henry Bong
Jenis kediaman: Banglo dua tingkat setengah
Konsep Kediaman: Rumah Warisan Melayu Kontemporari
Keluasan: 557.4 meter persegi
Lokasi: Pinggir ibu kota Kuala Lumpur