Oleh Nazmi Yaakub
BEDAH KARYA: Mohd Taufik Arridzo (kiri) ketika membincangkan teks Tukku Paloh pada majlis yang dipengerusikan Prof Kanan APM, Datuk Dr Abu Hassan Sham.
Kesungguhan perangi jenayah akidah dikesan dalam beberapa tulisan Sayyid Abd al-Rahman
PENINGGALAN kitab Ma’arij al-Lahfan li al-Taraggi ila Haqa'iq al-Irfan (Ma'arij al-Lahfan) karangan Sayyid Abd al-Rahman Muhammad Zayn al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tukku Paloh hanya dalam bentuk salinan pendua atau fotostat harus menjadi iktibar terhadap kepentingan memelihara warisan ilmu tinggalan generasi lalu.
Ini kerana salinan asli kitab yang ditulis pada 1900 bersamaan 1300 Hijrah (H) berkemungkinan besar sudah musnah, manakala salinan penduanya pula hanya ditemui tiga versi yang disalin oleh anak murid dan cucunya.
Lebih malang, Tukku Paloh dikatakan meninggalkan banyak penulisan tetapi hanya Ma’arij al-Lahfan dapat dipastikan sebagai kitab tulisannya, manakala kitab yang lain masih belum dapat dikesan.
Kepentingan memelihara dan memulihara kitab warisan keilmuan dunia Melayu yang berasaskan Islam itu menjadi mesej tersirat dalam Siri Seminar Bulanan Naskhah Melayu 2008 berjudul Tukku Paloh: Kesungguhannya Memerangi Jenayah Aqidah di Terengganu di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (APMUM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu APMUM, Mohd Taufik Arridzo Mohd Balwi, berkata versi pertama yang diterimanya adalah salinan pendua daripada cucu Tukku Paloh, Syed Mustapha Syed Abdullah (Tuan Baru) yang turut menjadi Imam Masjid Lama Kampung Paloh di Kuala Terengganu pada 2004.
“Berdasarkan kenyataan beliau, salinan kitab yang ada di tangannya adalah yang sebenarnya ditulis oleh Tukku Paloh meskipun versi ini tidak menyatakan penulis dan tahun penulisannya.
“Kitab versi yang mengandungi 101 halaman dengan setiap halaman mempunyai 17 baris perkataan ini, diterima oleh Tuan Baru daripada bapanya, iaitu menantu Tukku Paloh yang diturunkan kepadanya,” katanya pada siri seminar yang dipengerusikan Profesor Kanan Jabatan Kesusasteraan Melayu APMUM, Prof Datuk Dr Abu Hassan Sham.
Mohd Taufik yakin terhadap pengakuan Tuan Baru sehingga memperakukan kitab itu sebagai naskhah utama kerana beliau mengesahkan pernah membacanya di hadapan bapa saudaranya dan kemudian penulisannya disudahkan anak Tukku Paloh, Syed ‘Aqil Syed ‘Abd ar-Rahman.
“Versi kedua pula saya peroleh daripada sahabat ketika menziarahinya di Kuala Terengganu pada 2002 dan mendapati ia mengandungi 112 halaman dengan setiap halaman ada 21 baris perkataan.
“Pada pandangan Tuan Baru, kitab versi ini berkemungkinan disalin semula oleh salah seorang anak murid Tukku Paloh, iaitu Abdul Rahman Limbong dengan nama pengarangnya ada dinyatakan di bahagian hadapan, selain turut mencatatkan tahun penulisan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, dua naskhah itu tidak mempunyai penamat, manakala perbincangan dalam kitab versi pertama lebih pendek kerana ia hanya sehingga penyenaraian nama tarikat ke-37 yang masyhur, iaitu Maqbuliyah, sedangkan perbincangan naskhah versi kedua lebih panjang sehingga 22 halaman.
“Ia diakhiri dengan perbincangan mengenai zikir selepas solat fardu dan berdasarkan halaman terakhir dalam naskhah itu, sepatutnya masih ada halaman lain tetapi malangnya ia tidak disertai dalam salinan berkenaan.
“Versi ketiga pula ialah kitab yang disalin semula oleh orang terkemudian yang mengandungi 129 halaman dengan setiap halaman ada 19 baris perkataan yang turut berada dalam simpanan Tuan Baru, sekali gus isi kandungannya didapati lebih lengkap dan dikatakan berdasarkan catatan Syed ‘Aqil Engku Syed Abd al-Rahman,” katanya.
Berdasarkan pengakuan Tuan Baru itu, Mohd Taufik Arridzo mengesahkan tiga versi itu boleh dikatakan berasal daripada sumber yang sama, iaitu Tukku Paloh.
Mohd Taufik Arridzo turut mendedahkan keistimewaan kitab itu dengan menyifatkannya sebagai rekod terhadap gambaran pegangan agama masyarakat Melayu di Terengganu pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20.
“Ia turut mengandungi fatwa yang dikeluarkan Tukku Paloh terhadap beberapa amalan dan pegangan orang Islam di Terengganu, iaitu fatwa haramnya amalan main peteri atau bagih dan buang ancak serta kelompok Wujudiah.
“Naskhah itu turut ditulis dengan pengaruh sebutan tempatan seperti menghilan, mekapuskan, capokkan, enggang, kasu’, lipah, kampun, kerijakan, setuh, anok, pihok, basoh, papang dan gerahang,” katanya.
Dalam bahagian tauhid kitab itu, beliau berkata, Tukku Paloh memperkenalkan mazhab sesat yang tergelincir akidah dengan merujuk kepada pandangan ulama Ahli Sunnah wa al-Jamaah dengan mengklasifikasikan enam mazhab, iaitu Rafidiyah, Kharijiyah, Qadariyah, Jabariyah, Jahimiyah dan Murji’ah, sekali gus menjadi asas kepada kelompok lain yang berjumlah 72 kumpulan.
“Tukku Paloh turut mengemukakan kumpulan mulhid, iaitu kumpulan yang menganggap diri mereka sufi dan menyangka kehidupan sufi boleh ditiru begitu saja sehingga beliau menganggap mereka sebagai sejahat-jahat jalan serta boleh dikelompokkan ke dalam golongan fasik dan kafir.
“Beliau membahagikan mereka kepada 13 kumpulan seperti Hubbiyah yang menganggap seseorang yang sampai ke martabat kasih sayang kepada Allah, segala taklif (tanggungjawab) syarak dan ibadat terangkat sehingga perkara yang haram menjadi halal, selain kelompok Hululiyah yang berpegang kepada fahaman Allah masuk ke dalam diri mereka dan jisim,” katanya.
Mohd Taufik Arridzo berkata, Samrakhiyah pula ialah kumpulan yang tidak mengharamkan segala permainan dan Ibahiyah mengharuskan maksiat kerana berpendapat ia kehendak Allah serta Haliyah yang mengharuskan menari dan bertepuk tangan.
“Tukku Paloh turut memberikan nasihat dan pedoman supaya pembaca berpegang dengan akidah yang benar, menuntut dan mempelajari daripada guru yang faham serta berpengetahuan tentang al-Quran dan al-Hadis, selain berhati-hati menerima ilmu yang disampaikan daripada kitab yang tidak diketahui pengarangnya.
“Ia menjelaskan situasi umat Islam di Terengganu yang sebahagiannya terpengaruh dengan gaya hidup dan kefahaman sufi yang menyeleweng sehingga Tukku Paloh mengingatkan masyarakat terhadap kesesatan itu berkali-kali serta berharap mereka tidak terus terpesona dengan ajaran sufi yang dibawa individu yang tidak diketahui latar belakang,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, masyarakat Melayu di negeri itu turut melakukan bidaah yang boleh menjejaskan akidah sehingga Tukku Paloh memberikan tumpuan terhadap amalan berubat melalui main peteri dan membuang ancak kerana melihat perbuatan berkenaan tidak ada asas dalam Islam, selain boleh membawa kepada syirik.
Tukku Paloh yang menjadi penasihat utama Sultan Zainal Abidin III dan diberi tanggungjawab mentadbir daerah Sungai Nerus itu, turut mengesyorkan pemerintah untuk mengambil tindakan tegas terhadap pesalah jenayah akidah seperti mengenakan hukuman takzir kepada pesalah yang mengatakan boleh melihat Allah di dunia dengan mata sekiranya tidak bertaubat.
“Wajib mengenakan hukuman bunuh pada orang yang berpegang dengan fahaman Hululiyah sekiranya enggan bertaubat dan kembali kepada ajaran Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah kerana dianggap murtad daripada Islam.
“Perlu mengambil tindakan tegas terhadap pengamal upacara membuang ancak dan berubat dengan main peteri sehingga pihak pemerintah perlu membasmi amalan itu dengan bersungguh-sungguh, manakala pengamal yang tidak mahu bertaubat, hendaklah dijatuhkan hukuman pancung,” katanya.
Tukku Paloh dilahirkan di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu pada 1817, mempunyai keturunan yang bersambung kepada Rasulullah SAW dan mendalami ilmu di Makkah kira-kira 10 tahun sebelum pulang ke Terengganu.