Oleh Salbiah Ani
Digarap Ain Maisarah dalam Aku Mahu Popular
AKU Mahu Popular karya Ain Maisarah tampil sebagai bahan bacaan mesti baca untuk ibu bapa mengenali pergolakan jiwa remaja masa kini yang semakin sukar diselami kerana jurang generasi kedua-dua kelompok terbabit.
Ain Maisarah merakam kisah semasa pelajar sekolah di Malaysia dengan gelagat nakal mereka dalam mengharungi kehidupan serba mencabar segala tatasusila masyarakat bersopan akibat rempuhan globalisasi yang melanda dunia.
Tidak ketinggalan, karya daripada pengarang muda ini mengangkat realiti kelompok terbabit hari ini yang cenderung dengan barangan berjenama, suka bergaya dan berlagak kerana status keluarga sehingga sanggup saling kena mengena.
Pengarang novel remaja ini nyata berjaya mengikat perhatian pembaca semua peringkat umur untuk meneruskan bacaan mereka dengan sesetengahnya akan pasti tersenyum, malahan terkekek menahan geli hati menghayati gelagat dua watak utama yang ditampilkan Ain Maisarah.
Farah dan Ina, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Sri Bangsar, meskipun datang daripada keluarga kelompok pertengahan dan cemerlang dalam pelajaran, tetapi tidak sepopular pelajar perempuan daripada kumpulan The Wannababes.
Ain Maisarah memilih nama di kalangan artis remaja Malaysia seperti Fasha, Shasha, Sazzy, Nana, Fazura, Linda dan Diana, mewakili ahli kumpulan The Wannababes, kalangan anak orang berada yang mementingkan gaya daripada pelajaran.
Sebagai remaja yang sedang membesar dan mengalami perubahan emosi, mereka juga ingin popular seperti The Wannababes hanya kerana ahli kumpulan itu dengan mudah dapat berbual mesra dengan enam jejaka paling kacak di sekolah.
Tengku Affin, Fahrin, Anuar, Zain, Farid dan Kamil yang mewakili kelompok cemerlang dalam sukan di sekolah mereka menjadi intaian hampir semua pelajar perempuan sehingga sesiapa berkesempatan berkomunikasi dengan jejaka tampan akan dicemburui.
Pada peringkat awal, Farah dan Ina menggunakan saluran biasa untuk menjadi sebahagian daripada The Wannababes dengan berusaha dipilih sebagai ahli kumpulan sorak sekolah sekalipun tidak berkenaan perangai mereka kerana sering tergedik-gedik.
Bagaimanapun tindakan Fasha selaku ketua kumpulan yang sengaja tidak mahu memilih mereka berdua menyebabkan Farah dan Ina mengatur rancangan untuk menjadi popular dengan apa cara sekalipun terpaksa melakukan perkara di luar kebiasaan.
Farah berpakat dengan Ina untuk meluruskan rambutnya di kedai terpaksa membatalkan rancangan itu apabila kedudukan kewangan tidak mengizinkannya, mendorong mencari jalan keluar dengan meminta sahabatnya menggosoknya.
Bagaimanapun rambutnya yang kerinting itu bukannya lurus, sebaliknya hangus terbakar dan seterika lekat di rambut memaksa Farah meletakkan kepalanya di papan seterika sementara menunggu abang Ina, Amir menyelesaikan masalah itu dengan menggunting rambutnya.
Rambut Ina yang diwarna perang oleh Farah menjadi merah apabila pewarna dibiarkan terlalu lama sehingga gadis itu malu untuk hadir ke sekolah dan terpaksa mencari jalan keluar masalah mereka agar tidak menjadi bahan ketawa.
Pembaca pasti tersengih dengan gelagat nakal Farah yang mengajak Ina untuk membeli barangan tiruan jenama LV di Petaling Street untuk beg duit dan sandang mereka dalam percubaan meletakkan diri setara dengan ahli kumpulan The Wannababes sehingga memerangkap diri sendiri.
Percubaan ketiga mereka mendekatkan diri dengan jejaka tampan sekolah dan mengenakan The Wannababes melalui kelas tambahan yang dikelolakan pelajar pintar mengakibatkan pelbagai perkara tidak masuk akal berlaku, akhirnya menyedarkan mereka untuk tidak bersaing.
Sesetengah gelagat nakal pelajar dalam novel ini tidak pernah terfikirkan oleh pembaca akan sanggup dilakukan mereka kerana ada kalanya sama sekali tidak masuk akal, tetapi tetap menyebabkan pembaca ketawa terkekek dan bimbang jika ada ahli keluarga berbuat demikian.
Novel remaja setebal 222 halaman terbitan PTS ONE Sdn Bhd berharga RM14.50 senaskhah ini antara karya yang akan dilancarkan dalam bentuk mobile book (m-book) pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 4 hingga 13 April ini.
INFO: Aku Mahu Jadi Popular
Pengarang: Ain Maisarah
Penerbit: PTS One Sdn Bhd
Harga: RM14.50 senaskhah
Tebal: 222 Halaman
Bintang: 4 bintang
Biodata penulis: Lulusan TESL pikat pembaca remaja
AIN Maisarah, 26, lulusan Ijazah Sarjana Muda TESL, Universiti Darul Iman Malaysia, anak jati Johor ini mula berkarya sejak 2005 dengan menceburi bidang penulisan teknologi baru iaitu mobile book (m-book) bersama Maxis, ketika masih menuntut.
Penulis yang memberi tumpuan kepada karya untuk remaja ini sudah menulis hampir 30 novel dalam bentuk m-book bersama gergasi telekomunikasi itu dan Aku Mahu Popular, diterbitkan dalam bentuk novel daripada m-book pada 2006 sudah mencatat tiga kali ulang cetak.
Impiana juga diangkat daripada m-book sudah pun menemui pembaca manakala novel keduanya, Aku Mahu Saiz S, juga berkisar mengenai keinginan remaja dan cara merealisasikannya, sudah dua kali diulang cetak manakala novel ketiganya, Aku Mahu Buli, mula menjenguk pasaran pada tahun ini.
Ain Maisarah sedang berusaha membina empayar koleksi buku remaja, Siri Aku Mahu dan antara yang dijangka akan terbit sepanjang tahun ini ialah Aku Mahu Teman Tapi Mesra, Aku Mahu Bertudung serta Aku Mahu Jadi Romeo serta menjangka 10 buku akan lahir dalam koleksi terbabit.
Pengarang yang menyimpan hasrat untuk tampil sebagai novelis terkemuka sebelum mencapai usia 35 tahun, kini dalam proses menyiapkan manuskrip novel muzikal, Tak Bisa Memilihmu yang ditangani bersama-sama Kumpulan 6ixth Sense, mengisahkan liku-liku hidup dunia sebenar selebriti.
Novel muzikal terbabit dijangka dilancarkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pada 5 April ini sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 dan pembaca yang membeli Tak Bisa Memilihmu akan menerima nada dering kumpulan terbabit secara percuma.