Oleh Nazmi Yaakub
Dokumentasi sejarah negara dirakam dalam buku Cik Inspektor Selamat
POLIS Wanita: Sejarah Bergambar 1955-2007 karya Cif Inspektor Selamat Sainayune, muncul di pentas penerbitan buku mewah sebagai dokumentasi sejarah pembabitan golongan wanita dalam profesion keselamatan dalam negara seawal 1948 ketika pembentukan Persekutuan Tanah Melayu berdepan dengan pemberontakan bersenjata komunis.
Bermula dengan pasukan Home Guard yang memakai lilitan kain biru tua bertanda HG di lengan kiri, tetapi masih mengekalkan penampilan kewanitaan seperti berkain batik, golongan wanita mula mengorak langkah mempertahankan kawasan kampung, ladang dan estet daripada serangan pengganas komunis, Bintang Tiga.
Keganasan komunis yang tidak padam memaksa darurat diisytiharkan pada 18 Jun 1948, sekali gus kerajaan meluluskan pengambilan orang awam sebagai Special Constabulary (SC) termasuk 87 anggota wanita sebagai Women Special Constabulary (WSC), dua hari selepas pengisytiharan itu.
Pembabitan wanita dalam WSC membuka lembaran baru dalam sejarah kepolisan sehingga penghujung 1957 menyaksikan jumlah keanggotaannya menjangkau 853 orang.
Bab 8: Polis Wanita dan Perkembangan Kerjaya mendedahkan peluang kepada pegawai dan anggota polis wanita untuk berkhidmat dalam unit dan cawangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Unit Payung Terjun, polis trafik serta Unit Tindakan Khas (UTK).
Anggota wanita mula terbabit sebagai ahli payung terjun PDRM pada 1988 yang bermula dengan tujuh anggota termasuk seorang pegawai dengan menjalani latihan lasak seperti turun dari tebing tanah rendah, tebing tanah tinggi, menara tinggi dan bangunan empat serta 10 tingkat.
Meskipun anggota wanita mula diserapkan ke Cawangan Polis Trafik seawal 1950-an, mereka terbabit secara rasmi dalam cawangan itu pada 1973 dan hanya menunggang motosikal ringan, sebelum diberi kepercayaan mengendalikan kereta peronda serta motosikal berkuasa tinggi.
UTK yang dianggap pasukan elit PDRM tidak terlepas daripada jangkauan pembabitan anggota wanita apabila beberapa anggota kelompok terbabit berjaya menghadapi halangan getir sebelum melepasi latihan berperingkat yang melayakkan mereka menyertainya.
Tugas UTK sentiasa diuji dengan risiko kerana mereka terbabit dalam operasi khas menggempur pengganas dan penjenayah kejam, selain terbabit dalam kawalan keselamatan Perdana Menteri serta Timbalan Perdana Menteri dalam lawatan dalam dan luar negara.
Buku setebal 306 halaman terbitan Kelana Publication Sdn Bhd (Kelana Publication) ini turut menampilkan evolusi pakaian seragam polis wanita bermula Home Guard, sebelum tampil segak dengan mengekalkan ciri kewanitaan lewat pakaian seragam polis berpangkat inspektor dan konstabel pada 1955.
Selaras dengan peningkatan imej PDRM pada 1994, pakaian polis wanita turut direka bentuk bersesuaian tuntutan tugas yang mementingkan ketangkasan dan kecergasan dengan pemakaian seluar serta baju berlengan panjang, manakala pemakaian tudung di kalangan anggota pula mencatat sejarah pada 2004.
Buku ini turut menyentuh kegiatan kesenian di kalangan anggota wanita dengan penubuhan Badan Seni Budaya (BSB) PDRM yang bukan saja bertindak sebagai penghubung antara polis dan masyarakat, bahkan terbabit dengan persembahan dalam acara rasmi negara serta antarabangsa.
INFO: Polis Wanita: Sejarah Bergambar 1955-2007
Penerbit: Kelana Publication Sdn Bhd (Kelana Publication)
Tebal: 306 halaman
Naskhah: Mewah
Bintang: 4 bintang
PROFIL PENULIS:
Polis lelaki rakam perjuangan wanita
CIF Inspektor Selamat Sainayune dilahirkan di Paloh, Kluang, Johor, pada 1 September 1964, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Paloh (I) dan Sekolah Menengah Paloh, sebelum mengambil keputusan untuk menabur bakti kepada negara sebagai anggota polis selepas menamatkan pengajian menengahnya.
Selamat mula berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 April 1984 sebagai anggota berpangkat konstabel dan menyambung pengajian dalam bidang pemuziuman di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1999, sebelum menjawat jawatan Penolong Kurator Bahagian Kajian dan Penyelidikan Muzium PDRM dengan pangkat Cif Inspektor.
Beliau menjawat jawatan itu sehingga sekarang dan berkesempatan membuat kajian dan penyelidikan terutama dalam memperkemas serta menambahkan data sejarah kepolisian tanah air selain turut menyumbang tulisan kepada majalah terbitan polis.
Antara buku yang pernah ditanganinya ialah Buku Sejarah Bergambar Institusi Polis di Malaysia yang diterbitkan oleh Persatuan Muzium Malaysia pada 1982 manakala penerbitan kedua buku berkenaan oleh Muzium PDRM pada 1997.